Semakin lama EA dan DICE berdiam diri, maka semakin banyaklah khabar angin yang akan berlegar.
Terkini, orang dalam industri tersohor, Tom Henderson berasa yakin yang Battlefield seterusnya (belum ada judul rasmi) tidak akan dilancarkan ke konsol generasi lama, iaitu PS4 dan Xbox One.
“Dalam berita lain, saya masih tidak mendengar apa-apa bukti kukuh yang Battlefield [seterusnya] akan dilancarkan ke konsol generasi terdahulu,” kata Henderson dalam satu tweet. “Ini menunjukkan kepada saya yang ia mungkin takkan dan faktor terbesar Battlefield bakal masuk ke Xbox Games Pass pada hari pertama pelancaran nanti adalah untuk meningkatkan bilangan pemain.”
Melihat kepada bermacam laporan sebelum ini yang menggambarkan bagaimana besarnya Battlefield seterusnya akan disajikan dengan pelbagai ciri-ciri baharu, masuk akal yang ia tidak akan dilancarkan ke PS4 dan Xbox One yang sudah terkebelakang dari segi teknologi hardware-nya.
Sekiranya inilah langkah yang akan diambil oleh DICE, reaksi para peminat Battlefield akan terbahagi kepada dua. Pertama, mereka yang belum beralih ke konsol generasi terkini (sebab utamanya adalah disebabkan kekurangan stok), akan berasa sedih kerana terpaksa ketinggalan untuk bermain Battlefield terbaharu.
Kedua, kebanyakan pemain akan meraikan langkah DICE ini. Hal ini kerana Battlefield seterusnya yang hanya akan hadir ke PC, PS5 dan Xbox Series bakal memberikan satu pengalaman generasi baharu yang lebih baik. Mereka tidak perlu memikirkan bagaimana untuk mengoptimakan prestasi di konsol generasi lama, seterusnya memanfaatkan teknologi konsol generasi baharu dengan sebaik mungkin.
Secara langsung, Battlefield seterusnya dapat mengelak daripada apa yang telah terjadi kepada Cyberpunk 2077 semasa pelancaran Disember lalu.
Sebelum ini, Henderson ada melaporkan yang Battlefield seterusnya hanya berjudul ‘Battlefield’, menggunakan latar masa 10 Tahun akan datang.
Battlefield seterusnya ini dijadualkan dilancarkan pada hujung tahun ini, dan acara pendedahannya dijangka akan berlangsung sekitar Mei ini.
Comments
Loading…