in , , , ,

Battlefield 2042: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Reviu ditulis bersama oleh Faiz Tobeng (PS5) dan Badd Yblyss (PC).

Setelah sekian lama menggunakan strategi kandungan yang sama, Battlefield 2042 (BF42)membawakan satu kelainan yang mungkin agak janggal kepada francais ini.

Boleh dikatakan sejak siri Bad Company sehinggalah kepada Battlefield V, kesemua game utama Battlefield membahagikan kandungan utamanya kepada dua, iaitu Story Campaign dan Multiplayer.

Kini, buat kali pertamanya sejak sekian lama, DICE menampilkan sebuah game Battlefield yang hanya memfokuskan kepada Online Multiplayer — tiada lagi Story Campaign.

Melalui tiga mode utama, iaitu All-Out Warfare, Hazard Zone dan Portal, BF42 pada pandangan kami membawakan satu pengalaman yang bercampur baur. Ada kandungan dan ciri-ciri yang membangkitkan semula kekuatan siri ini, namun ada juga yang terasa tidak kena kepada sasaran.

Mengapa kami mengatakan sebegitu? Jom ikuti reviu ini.

Kembalinya Era Yang Dinantikan

Dari segi gameplay, terutamanya gunplay, BF42 menyajikan sesuatu yang memuaskan. Dengan kembalinya latar belakang dan persekitaran kepada era moden, atau lebih tepat masa hadapan terdekat (near-future), ia memberikan kenikmatan Battlefield semula setelah dua game sebelum di era Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Senjata-senjata, gajet-gajet, kenderaan-kenderaan ketenteraan yang moden telah mengubati kerinduan para peminat francais yang sudah penat bermain latar belakang klasik. Apabila tiba moment-moment yang tegang — peluru-peluru bersimpang-siur, letupan-letupan di sana sini, sniper di mana-mana, ketibaan kenderaan-kenderaan menakutkan — semuanya membuatkan pengalaman Battlefield tercapai ke puncaknya.

Masih ada macam-macam benda mengarut boleh dilakukan dalam game ini sepertimana dalam BF yang lain sebelum ini. Masih ada banyak exploit dan bug yang boleh menjadikan pemain melakukan kerja gila, sambil menembak orang dan menjalankan operasi ketenteraan. Semestinya, bug dan exploit ini akan hilang selepas dipatch nanti, namun gameplay asal BF42 cukup menghiburkan kami yang dahagakan aksi tembak-menembak ala BF.

All-Out Warfare Yang Tak Kesampaian

All-Out Warfare merupakan mode pertama diperkenalkan, dan mode utama kepada BF42.

Sebagai sebuah mode utama yang paling ke hadapan dalam promosinya, ia seharusnya menjadi sebuah mode yang paling lengkap, paling membuatkan pemain melekat, paling banyak kandungan. Tapi malangnya kami tidak merasakan semua ini.

Bayangkanlah, terdapat hanya dua mode dalam All-Out Warfare, iaitu Conquest dan Breakthrough dalam cuma 7 map. Tiada Team Deathmatch, tiada Rush dan tiada mode-mode lain yang selalunya berlambak dalam game-game Battlefield sebelum ini.

Ada Bau-Bau Battle Royale

DICE dah lama rancang, kita je yang lalai.

Ramai pemain tegar Battelfield ada menyatakan ini, dan kami bersetuju dengan mereka, iaitu bermain All-Out Warfare memberikan banyak petanda bahawa BF42 sebenarnya pada asalnya dibangunkan untuk sebuah game battle royale, namun kemungkinan di pertengahan pembikinan, ia telah ditukar pengarahannya kepada sebuah game ‘Battlefield yang tradisional’.

Banyak fakta menuding kepada BF42 sebenarnya dibangunkan sebagai game BR. Berikut adalah beberapa ciri unik francais Battlefield yang TIADA di dalam BF42.

  • Rekaan map yang TERLALU besar, walaupun dengan kehadiran 128 pemain. Map BF sebelum ini memang besar, tapi tidak terlalu besar sehinggakan terasa penat berjalan.
  • Jenis-jenis senjata yang terlalu sedikit. Sama seperti senjata di dalam game BR. Hanya archetype bagi setiap senjata disenaraikan.
  • Senjata-senjata POWER dikunci di sebalik level dan hanya boleh diunlock dengan levelling up.
  • Kehadiran senjata 1-hit kill seperti senjata BR yang ada di dalam Apex Legends.
  • Ketiadaan sistem gunplay, recoil control yang meyakinkan. Sebaliknya, menggalakkan spray & pray jarak dekat. Tiada lagi kemahiran burst fire merentasi map. Tiada lagi kemahiran menggunakan satu senjata di pelbagai jarak.
  • Levolution dan destruction yang meh. Sebaliknya tahap kemusnahan yang ditawarkan terasa separuh hati aje.
  • Kehadiran Armor Plates sebagai satu kebolehan yang ada. Ini paling mengingatkan kami kepada Warzone. Sejibik.
  • Class system dah tiada. Kini ada Specialists dengan skill & perk tersendiri. Sama seperti Apex, BF42 seperti ingin menggabungkan CoD, BF n Apex Legends dalam satu game military shooter.
  • Tidak boleh menukar / bikin skuad. Ini paling menjengkelkan. Sebagai sebuah game operasi ketenteraan, tiada lagi kebolehan menukar skuad untuk PTFO atau permainan taktikal bersama skuad.
  • Ketiadaan leaderboard. Sebaliknya, pemain hanya boleh melihat prestasi masing-masing ketika mati menunggu respawn.
  • Ketiadaan server browser. Selamat melompat masuk server yang pelik-pelik. Kalau server OK, nice. Kalau server ping pelik, selamat malam.
  • Ketiadaan server hardcore. Ciri paling ganas untuk pemain BF elit ini tiada di dalam BF42. Sedih.
  • Game mode hanya ada 2 — Conquest & Breakthrough. Untuk bermain game mode lain seperti TDM, perlu dimainkan di dalam BF PORTAL.
  • Tiada lagi Commander System. Immersion operasi ketenteraan dikurangkan lagi.
  • Animasi melee/knife yang unik mengikut pisau. Sama seperti animasi finisher di dalam Apex Legends. Tiada lagi animasi melee ketika prone, crouch ataupun berdiri.
  • Walaupun DICE mendakwa BF42 tiada BR, mode Hazard Zone merupakan BR versi BF42 yang paling ketara. Jika dilihat dari sudut permainan Hazard Zone, kesemua isu di atas akan terjawab.

Specialists – Kontroversi Terbesar

Disebabkan kehadiran Specialists merupakan perubahan terbesar dalam BF42, ia menjadi satu topik yang begitu hangat dibincangkan. Setelah mengamati secara mendalam, kami cuba selami kenapa sebahagian pemain benar-benar membencinya, dan mengapa sebahagian lain meraikan perubahan ini.

Mengapa Specialists dibenci?

Tanda paling besar membuktikan BF42 sebenarnya pada asalnya dibangunkan untuk BR? Kehadiran Specialists.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Battlefield, DICE meninggalkan sistem Class yang sudah ada sejak azali. Kini, dalam Battlefield 2042, terdapat Specialist yang mempunyai satu abiliti dan satu gajet khas yang rekaannya memang mengambil inspirasi daripada abiliti yang ada dalam game seperti Call of Duty: Warzone dan Apex Legends.

Kehadiran Specialist dan pembuangan sistem Class ini menambah keanehan dalam BF42. Kita boleh memadankan Specialist Casper (abiliti bersifat recon) dan membawa Medic Crate; kita boleh mainkan Maria Falck (abiliti bersifat medic) dan membawa rocket launcher.

Ia membuatkan pembahagian karakter dan tugas para pemain menjadi cacamarba. Setiap pemain seolah-olah tidak perlu bergantung kepada pemain lain kerana masing-masing boleh memadankan abiliti dan gajet apa yang ingin dibawa dengan bebas.

Mengapa Specialists diterima dan diraikan?

Sistem Specialist yang menggantikan sistem Class membawa nafas baru kepada francais BF. Purists mungkin akan mengatakan ianya terlalu COD, tapi pada kami, bring it on.

Lagi banyak kepelbagaian/variable, lagi banyak Battlefield moments boleh dihasilkan. Bagi mereka yang menginginkan gaya permainan dengan sistem Class, boleh aje korang bikin Loadout. Ada 8 slot Loadout yang boleh korang susun. Muatkan Class/Role yang korang biasa mainkan dari BF lama. Jika bermain dengan member-member, pastikan masing-masing mengisi Role standard BF.

Jika tidak, eksperimen lah. Mana tahu, korang menghasilkan meta BF yang baru?

128 – Indah Khabar Dari Rupa

Antara ciri paling kuat diketengahkan dalam promosi BF42 adalah kehadiran bilangan pemain maksimum dalam sesebuah perlawanan yang paling tinggi dalam sejarah francais ini, iaitu seramai 128 pemain.

Hanya satu frasa dapat kami simpulkan daripada 128 pemain ini: Lebih ramai tidak semestinya lebih bagus.

Pada hemat kami, siri Battlefield telahpun menemui satu titik sempurna untuk bilangan pemain dalam mode Conquest: iaitu 64 pemain sahaja. Apabila ia terlalu ramai, yakni dua kali ganda daripada jumlah pemain yang sempurna ini, ia suatu ciri yang mengada-ngada, tidak enak dimainkan, serta terasa seperti hanya satu retorik pengiklanan yang hambar.

Mungkin salah satu faktor yang menyebabkan kami rasa seumpama ini adalah disebabkan rekaan map yang juga bermasalah.

Boleh dikatakan semua map dalam All-Out Warfare terasa terlalu besar, walaupun untuk 128 pemain. Ya, apabila sudah sampai ke satu-satu sektor, ia menemukan dengan ramai musuh, tetapi untuk berlari dari satu ke sektor yang lain itu terasa sungguh jauh.

Perasaan ini tidak seharusnya dirasai kerana dalam mana-mana game Battlefield sebelum ini, setiap inci dalam map itu akan terasa berbahaya.

Lebih membuatkan kami kecewa adalah DICE hanya menyediakan Conquest dengan 128 pemain sahaja, dan tidak membenarkan kita bermain Conquest dengan hanya 64 pemain dalam All-Out Warfare.

Grafik Yang Macam-Macam

Banyak yang boleh diulas apabila membicarakan tentang aspek rekabentuk game BF42 ini. Jom kita mulakan daripada sistem antaramuka pengguna (UI/UX) BF42.

Kehadidan plus+ menu yang membolehkan customization on the fly itu harus kami puji. Banyak kali juga kami terpaksa menukar loadout di tengah medan perang kerana keperluan dan situasi yang berbeza dan memerlukan pendekatan senjata yang fleksibel.

Bagaimanapun, untuk sampai kepada meyusun plus+ menu itu, sangatlah renyah. Pada pendapat kami, sistem UI dan sistem menu BF42 ini adalah sistem paling menyusahkan dan banyak membuang masa kami. Sistem loadout dan customization weapon diletakkan berasingan dan memerlukan kepada beberapa lapisan menu berbeza untuk menyusun attachment senjata dan akhirnya kembali menyusun loadout. Padahal sistem ini boleh aje disatukan seperti BF sebelum ini. Kalau tak pun, kembalikan Battlelog dengan kebolehan menyusun loadout di luar game. Simple.

Map design pula masih mengekalkan identiti map besar yang sinonim dengan francais BF. Tapi ianya mungkin TERLALU besar. Kalau terlepas kenderaan, good luck lah menapak dekat 2-3 minit menuju ke objektif.

Rekaan bangunan yang copy-paste dan populasi bangunan merentasi map juga diletak pada tahap minima bagi mengurangkan beban kepada sistem gaming. Ini bagaimanapun mengurangkan aspek immersion kami. Paling ketara di map Hourglass, rumah-rumah antara objektif B & D sangatlah copy-paste, ianya melucukan.

Bagaimanapun, map design di sekitar POIs/objektif direka dengan baik. Ada juga beberapa objektif yang terasa mustahil melainkan melibatkan teamwork padu gile. Jika tidak, boleh dikatakan kesemua map menampilkan keunikan dan aliran peperangan yang sekata. Itu pun kalau tidak menerima zerg rush daripada 64 orang musuh sekaligus. Haha.

Hazard ZOne – Hilang Pedoman

Paling kurang menarik bagi kami adalah Hazard Zone. Mode Battle Royale ala BF42 ini semestinya punca kepada segala permasalahan BF42. Namun begitu, game mode ini hadir untuk mereka yang inginkan variasi di dalam permaian BF mereka. Kalau korang inginkan corak permainan ala Battle Royale, lebih baik main game BR yang lebih sempurna digilap seperti Apex Legends.

Mode Hazard Zone adalah bukti hidup bahawa pasukan pembangunan di DICE sekarang sudah hilang pedoman dalam mendefinisikan apakah pengalaman sebenar bermain Battlefield.

Melalui kehadiran Specialist yang ingin menjadi Apex Legends, Hazard Zone pula merupakan sebuah mode extraction-royale yang ingin menjadi seperti Escape from Tarkov dan Hunt: Showdown.

Bunyian Peperangan Masa Depan

Kebanyakan game shooter moden menampilkan rekabentuk bunyian yang meyakinkan dan menambah kepada pengalaman berperang di dalam dunia yang ditampilkan. BF42 juga begitu.

Setiap langkah kaki, setiap das tembakan, setiap dentuman letupan, setiap ping gajet dan setiap deruan kenderaan perang jelas kedengaran dan jika anda memakai headphone atau sistem audio yang berkualiti, pasti boleh menghargai aspek bunyian BF42 ini.

Bagaimanapun, kerana isu bilangan senjata yang kurang, tiada banyak variasi di dalam letusan senjata api.

Bunyian persekitaran map juga memain peranan di dalam permainan. Lebih-lebih lagi apabila Levolution puting-beliung hadir mengganggu pendengaran dan penglihatan.

Tapi, aspek bunyian yang paling mengecewakan kami adalah soundtrack BF42. Pada pendapat kami, soundtrack BF42 ini adalah yang paling tidak layan didengar. Malahan, di dalam game pun, lagu-laguannya tidak memotivasi atau menambah hype. Ianya hanya lagu generik di latarbelakang. Tidak menambah apa-apa nilai tambahan. Hanya menandakan game bermula, dan game berakhir. Mungkin kami terlalu terkenangkan lagu-laguan BF3 & BF4 yang ikonik dan menambah kepada hype peperangan alam maya waktu itu. Mungkin.

Sistem Progression & Achievements

Beberapa senjata, gear, dan vehicle boleh digunapakai terus dari Level 1. Bagaimanapun, untuk mendapatkan lebih banyak senjata, gajet dan kenderaan yang best – korang kenalah level up!

Main aje BF42 dan korang akan dapat XP untuk unlock semuanya in the end. Bagaimanapun, ada beberapa senjata best yang dikunci di level-level tinggi. Jadi, bersabar aje lah bila korang berjumpa dan mati kena 1-hit kill dengan orang-orang yang dah grind level tinggi tu.

Seperti yang kami nyatakan di atas; bilangan senjata yang ada di dalam BF42 sangatlah sedikit. Ini boleh cepat membawa kepada kebosanan. Limitation ini juga telah menghasilkan beberapa meta senjata dan gajet yang boleh memaksimakan progression korang. Apa yang boleh kami katakan adalah, SMG dan Proximity Grenade sangat berguna untuk cepat menaikkan XP. GLHF!

Surat Cinta Portal

Apabila mode Portal pertama kali diperkenalkan kepada umum, DICE menggambarkannya sebagai sepucuk surat cinta untuk para peminat tegar Battlefield. Dan nampaknya ia adalah satu gambaran tepat.

Para pemain diberikan kebebasan yang begitu besar untuk mencipta dan mengubahsuai mode ini dengan peraturan sendiri, senjata, kenderaan, gajet, kostum dan map — merentasi tiga game Battlefield terdahulu yang paling ikonik, iaitu Battlefield 1942, Battlefield: Bad Company 2, Battlefield 3 dan tentunya Battlefield 2042 yang terbaharu.

Seperti yang kami katakan tadi, All-Out Warfare terasa seperti sebuah mode yang pada asalnya dibikin untuk battle royale, namun telah ditukar di pertengahan jalan. Portal ini pula terasa seperti satu idea yang datang selepas mereka sudah menukar dari perancangan battle royale kepada Battlefield tradisional itu.

Portal seolah-olah menjadi penyelamat kepada BF42 secara keseluruhan. DICE sepertinya tahu bahawa All-Out Warfare tidak akan mampu untuk memuaskan peminat tegar kelak, maka mereka datang dengan idea untuk menyuapkan pemain dengan segala nostalgia yang pernah dikecapi francais ini.

Kami amat sukakan kebebasan dan segala perkakasan dan setting yang DICE berikan dalam Portal. Kami melihat Portal adalah masa hadapan BF42 untuk menjadi sebuah game live-service seperti yang dijanjikan.

Apabila dapat kembali ke map-map popular dari game-game Battlefield lama ini sememangnya membangkitkan satu kenangan yang cukup indah. Lebih-lebih lagi dalam enjin, grafik dan mekanisme gameplay masakini.

Kami hanya mampu berharap agar DICE akan terus menambah lebih banyak map dari tiga game Battlefield lama yang sedia ada kini, serta turut menambah game-game Battlefield lain pula, terutamanya Battlefield 4.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Apa yang boleh kami rumuskan: BF42 merupakan sebuah game yang terlalu dilumuri lumpur kotor yang menyembunyikan permata yang tersembunyi di sebaliknya.

Kami mengharapkan daki lumpur ini akan hilang apabila DICE mengeluarkan patch-patch awal nanti. Iya. BF42 terlalu banyak isu, tapi itu tidak dapat menafikan BF412 mungkin Battlefield paling dekat dengan Battlefield 3 & 4 yang menjadi kegilaan ramai shooter moden.

Namun begitu, keseronokan kami ketika bermain sedikit dicacatkan dengan pengalaman game yang terasa seperti tidak siap. Ataupun mungkin lari dari tujuan asal.

Kepada peminat tegar siri Battlefield, yang ingin bermain beberapa map klasik dalam enjin, grafik dan mekanisme gameplay masakini, serta untuk dapatkan kembali Battlefield moments (yang setakat ini jarang nak jumpa) dalam mode Portal, BF42 adalah game BOLEH BELI.

Namun, sekiranya korang tidak pernah bermain Battlefield sebelum ini, tidak perlulah buang masa dan wang untuk mendapatkan game ini kerana core gameplay dan kandungan dalam BF42 boleh dapat dirasai dan dimainkan dengan lebih baik dalam game-game lain seperti Apex Legends, Call of Duty: Warzone, Escape from Tarkov atau Hunt: Showdown. Game ini BOLEH BLAH untuk korang.

+ Masih menampilkan core gameplay sandbox shooter BF
+ Masih terbuka kepada eksploitasi glitch & bug yang melucukan
+ Sistem Specialist yang fresh, sekurang-kurangnya untuk BF
+ BF PORTAL yang menyajikan 4 game BF dalam satu

– Rekaan map yang TERLALU besar
– Jenis-jenis senjata yang terlalu sedikit
– Senjata-senjata POWER dikunci di level tinggi
– Kehadiran senjata 1-hit kill
– Ketiadaan sistem gunplay, recoil control yang meyakinkan
– Levolution dan destruction yang meh
– Armor Plates sejibik Warzone
– Sistem Class dah tiada.
– Tidak boleh menukar / bikin skuad
– Ketiadaan leaderboard
– Ketiadaan server browser
– Ketiadaan server hardcore
– Game mode hanya ada 2 – Conquest & Breakthrough
– UI/UX yang membuang masa & menjengkelkan
– Tiada lagi Commander System
– Tiada lagi animasi melee ketika prone, crouch ataupun berdiri
– Masih ada glitch & bug yang melucukan, mungkin juga break the game
– Soundtrack hambar

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Warner Bros Umum MultiVersus, Game Fighting Percuma – Superman, Batman, Arya Stark, Bugs Bunny, Banyak Lagi

Tarikh Pelancaran Sifu Diawalkan 2 Minggu, Saksikan 2 Video Gameplay Baharu