in , , , , , ,

Battlefield 2018 Dilaporkan Berjudul ‘Battlefield V’, Bawakan Tema Perang Dunia Kedua

“Battlefield Vee” atau “Battlefield Five”?

Setiap kali sesebuah siri Battlefield ingin dikeluarkan, pastinya perbualan tentang ura-ura cukup hangat. Dan ianya juga tidak terlepas daripada khabar angin untuk Battlefield yang telah disahkan akan dikeluarkan pada tahun ini.

Menurut laporan terbaru daripada GamesBeat, siri Battlefield akan datang sudahpun mempunyai judulnya, iaitu Battlefield V. Seperti juga laporan sebelum ini, Battlefield kali ini nampaknya akan kembali kepada tema di mana siri ini pertama kali diperkenalkan, iaitu latar belakang Perang Dunia Kedua (WW2).

Pada asalnya, ia dilaporkan menamakan sebagai ‘Battlefield 2’, menyambung kepada Battlefield 1 yang dikeluarkan pada tahun 2016. Namun, ‘Battlefield 2’ merupakan working title untuk game tersebut, dan ia telah ditukar kepada ‘Battlefield V’ baru-baru ini.

Kami pasti ia telah ditukar bagi mengelakkan kekeliruan yang mungkin timbul memandangkan judul yang sama juga pernah digunakan pada tahun 2005. Maka, mereka telah menukarkannya kepada ‘Battlefield V’, menyambung penamaan Battlefield 4 – tetapi dengan penggunaan sistem nombor roman.

GamesBeat menyatakan yang laporan yang mereka terima ini merupakan maklumat dari mereka yang rapat dengan perancangan EA.

Dan menurut laporan Gamespot pula, semestinya Battlefield V bukanlah versi remaster untuk Battlefield 2, sebaliknya adalah sebuah game yang serba baru.

Menurut laporan USGamer pula yang mendengarkan tentang berita yang sama, Battlefield V akan mempunyai loot box. Walau bagaimanapun, ia hanya akan memberikan barangan kosmetik dalam loot box tersebut. Sebagai perbandingan, Battlefield 1 turut mempunyai loot box yang menampilkan hanya barangan kosmetik.

Kali terakhir DICE menampilkan tema WW2 dalam siri Battlefield adalah pada tahun 2009, iaitu Battlefield 1943 yang merupakan game eksklusif untuk konsol PS3 dan Xbox 360.

Pastinya para peminat tegar Battlefield sedang hangat memperkatakan tentang laporan ini. Apa yang paling menarik tentang laporan ini adalah judulnya itu sendiri. Sekiranya tema WW2 ini adalah sahih, judul ‘Battlefield V’ boleh memberikan dua makna yang signifikan. Pertama, ia mungkin bermakna ‘Battlefield 5’ yang menggunakan sistem nombor roman. Keduanya, ‘V’ itu boleh membawa maksud isyarat tangan ‘Victory’ yang dilakukan oleh Winston Churchill selepas memenangi WW2.

Battlefield untuk tahun 2018 telahpun disahkan akan keluar pada bulan Oktober ini, dan ia akan boleh dimainkan di EA Play pada Jun nanti. Video editor DICE juga telah mendedahkan yang video trailer pendedahan untuk Battlefield ini sedang disiapkan.

Jika laporan ini adalah sahih, harap korang yang mahukan Battlefield Bad Company 3, bersabarlah ya.

Apa-apa pun, laporan ini masih lagi dikategorikan sebagai ura-ura. Apa sahaja boleh berlaku selagi EA dan DICE tidak mengumumkannya secara rasmi.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

H1Z1 Telah Keluar Dari Steam Early Access Dan Bawakan Kejutan Mode Auto Royale

Ubisoft Mengumumkan Filem Pendek Live-Action Far Cry 5