Awal tahun ini, kita dikejutkan dengan pengumuman The Witcher: Nightmare of the Wolf, sebuah filem anime yang bakal diterbitkan oleh Netflix. Apa yang sudah kita ketahui sebelum ini ialah ia merupakan prekuel kepada musim pertama live-action The Witcher, yang membawakan Vesemir, mentor kepada Geralt, semasa muda sebagai hero.
Ketika bercakap kepada Comicbook.com, salah seorang penulis untuk filem anime ini, Beau DeMayo, ada berkongsikan beberapa butiran baharu untuk projek ini — antaranya seperti beberapa babak dalam filem anime itu nanti yang tidak akan dapat direalisasikan dalam bentuk live-action.
“Sesuatu dengan magik dan raksasa dan pengembaraan dan babak percintaan yang kamu tidak semestinya perlu menggunakan live-action sebagai medium untuk disampaikan,” ujar DeMayo. “Dan saya fikir bila penonton lihat anime ini apabila ia dilancarkan, ada beberapa keputusan spesifik yang kami buat. Dan skrip itu sendiri, ada beberapa perkara yang ia menggunakan kelebihan dari animasi yang mana hanya animasi yang boleh lakukannya.”
“Dan itu adalah apa yang saya paling teruja yang saya tak sabar untuk para peminat menyaksikannya. Bila kamu tonton anime ini nanti, ia bukan sahaja peristiwa, ia tentang apa yang Studio Mir mampu lakukan. Sesuatu yang rakan kongsi kami di divisi anime Netflix mampu lakukan. Ia sesuatu… satu jalan cerita yang tak dapat disampaikan dalam live-action dalam apa jua cara, bentuk atau gaya.”
Untuk filem anime ini, Netflix akan bekerjasama dengan studio terkenal dari Korea, Studio Mir — yang pernah mencipta The Legend of Korra dan Voltron: Legendary Defender.
Deskripsi yang didedahkan setakat ini ialah “Lama sebelum menjadi mentor kepada Geralt, Vesemir memulakan perjalanannya sendiri sebagai seorang Witcher selepas Deglan yang misteri menuntutnya melalui Law of Surprise.”
Tiada tarikh mula tayang yang didedahkan setakat ini, namun mereka menjadualkan The Witcher: Nightmare of the Wolf akan dikeluarkan sebelum musim kedua live-action The Witcher bermula.
Comments
Loading…