AMARAN: Spoiler untuk dua episod pertama siri The Last of Us di HBO.
Pada ketika ini, para penonton boleh berbeza pendapat tentang manakah yang lebih bagus — game asal The Last of Us atau siri televisyen adaptasinya?
Kita boleh melontarkan pelbagai pandangan mengenai perdebatan ini, tapi bagi aku, terdapat satu perkara yang membuatkan siri tv ini lebih baik daripada game asalnya.
Dan perkara tersebut adalah babak-babak pembukaan yang telah disajikan dalam dua episod pertama siri ini. Kalau korang dah tonton kedua-dua episod ini, tentunya korang tahu babak manakah yang aku sebutkan ini.
Dalam episod pertama, siri ini telah dibuka dengan perbualan dalam satu rancangan televisyen pada tahun 1968. Seorang saintis, dilakonkan oleh John Hannah, telah bercakap mengenai bagaimana jangkitan kulat Cordyceps boleh menyerang manusia, dan meramal sekiranya situasi itu berlaku, manusia sejagat akan “tewas”.
Dalam episod kedua pula, kita disajikan pula dengan satu kisah pendek berdurasi kira-kira 8 minit, yang mana detik inilah yang membuatkan siri tv ini lebih baik daripada game asal dari segi penceritaannya.
Kita dipaparkan dengan satu babak yang cukup mengejutkan. Kita dibawa ke hiruk pikuk bandar Jakarta, Indonesia pada 2003, iaitu tahun di mana outbreak berlaku dalam siri ini. Kita dipersembahkan dengan lakonan yang cukup mantap oleh Christine Hakim sebagai Ibu Ratna, seorang profesor yang khusus dalam mikologi, iaitu bidang yang mengkaji kulat.
Babak ini sangat memberi impak. Kita dapat lihat ton babak ini yang cukup mendebarkan. Kita dapat saksikan bagaimana Ibu Ratna terkejut kerana dipanggil oleh pihak polis ketika sedang menikmati sarapan. Kemudian, setelah meneliti satu mayat yang sudah terjangkiti (zombi) yang sudah berjaya dibunuh, beliau menggeletar ketakutan.
Ibu Ratna begitu cemas sehingga sanggup mencadangkan agar seluruh bandar Jakarta dibom kerana gusar jangkitan tersebut akan tersebar dengan cepat. Babak tersebut akhirnya ditamatkan dengan permintaan beliau untuk kembali ke rumahnya, untuk meluangkan waktu-waktu terakhir bersama suami dan anak-anaknya.

Babak kira-kira 8 minit ini sebenarnya telah menghubungkan satu lagi babak dalam episod pertama. Kalau korang masih ingat, Joel, Sarah dan Tommy terdengar di corong radio tentang “kekacauan” yang sedang meletus di Jakarta.
Berdasarkan dua episod pertama ini, aku meramalkan yang episod-episod seterusnya akan explore lagi backstory Jakarta ini. Kita mungkin akan dapat saksikan detik di mana outbreak benar-benar berlaku di Jakarta, dan bagaimana pihak berkuasa melepaskan bom pertama di bandar yang cukup padat itu. Ini bukan spoiler, ini hanya jangkaan aku kerana aku juga masih belum tonton episod 3.
Babak-babak pembukaan dalam dua episod pertama inilah yang membuatkan aku berani katakan bahawa penceritaan dalam siri tv ini lebih baik daripada game asal. Ia memberikan lebih konteks tentang bagaimana individu-individu di belakang tabir, bukan orang awam, yang pertama kali menemukan ‘zombi’ ini.
Sampai satu tahap, aku seolah-oleh mahu HBO membikin satu lagi siri spin-off, menceritakan lebih mendalam mengenai apa yang berlaku di Jakarta dan bagaimana sebenar-benarnya kulat itu berjaya menjangkiti manusia. Mungkin ia akan diceritakan dalam episod-episod The Last of Us seterusnya, atau mungkin juga siri spin-off sememangnya dah dirancang?

Sebagai seorang peminat setia filem dan karya-karya dari Indonesia, aku tumpang gembira apabila syarikat sebesar HBO, dan siri segah The Last of Us memilih Indonesia sebagai lokasi untuk explore asal-usul outbreak dalam siri ini.
Siri ini sememangnya sudah disempurnakan dengan skrip, lakonan dan produksi yang cukup mantap untuk mengadaptasi kisah yang ada dalam game The Last of Us. Faithful to the source materials, bak kata orang putih. Apabila ditambah pula dengan backstory yang lebih mendalam sebegini, aku semakin jatuh cinta dengan siri ini.
Aku sememangnya tidak sabar untuk menonton episod-episod seterusnya. Aku berharap, dan aku yakin, di sebalik segala ramalan-ramalan aku ini, aku tetap akan dikejutkan dengan apa yang mereka akan lakukan dengan backstory Jakarta ini.
I may need your help. I’ve been doing research on gate io recently, and I’ve tried a lot of different things. Later, I read your article, and I think your way of writing has given me some innovative ideas, thank you very much.