in , , , , ,

Atomic Heart – Boleh Beli Or Boleh Blah!?

Adakah itu Bioshock? Atau Fallout? Atau Wolfenstein: The New Order? Tidak. Ini ialah Atomic Heart.

Atomic Heart merupakan sebuah game first-person shooter dengan gabungan elemen RPG yang dibangunkan oleh Mundfish dan diterbitkan oleh Focus Entertainment untuk platform PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X/S dan PC.

Plot

Plot Atomic Heart berlatarbelakangkan sejarah alternatif pada tahun 1955. Kesatuan Soviet telah menghasilkan teknologi yang dikenali sebagai Polymer. Teknologi itu sangat canggih sehingga ia membawa kepada penciptaan pelbagai jenis teknologi dan robot secara besar-besaran yang dapat membantu manusia dalam kehidupan harian dan tenaga buruh.

Kesedaran AI robot-robot dikumpulkan menjadi satu iaitu Kollektiv 1.0. Namun, Dmitry Sechenov iaitu seorang saintis yang bertanggungjawab kepada penciptaan Polymer mahu meningkatkan lagi keupayaan Kollektiv 1.0 dengan menghubungkan manusia dengan robot menerusi Kollektiv 2.0.

Tapi seperti yang korang sangka, ada duri dalam daging yang cuba untuk menghalang pelancaran Kollektiv 2.0 daripada berlaku.

Korang akan bermain sebagai Agent P-3, seorang bekas veteran perang dunia kedua yang ditugaskan oleh Dmitry Sechenov untuk menyiasat Facility 3826 dan mencari dalang yang cuba merosakkan rancangan Kollektiv 2.0 untuk dipasarkan ke seluruh dunia spesifiknya Amerika Syarikat.

Saya boleh simpulkan plot Atomic Heart senang untuk difahami dan predictable. Namun cara penyampaiannya agak mengelirukan dengan exposition dump yang berlebihan dalam perbualan antara P-3 dan Charles. Charles merupakan sarung tangan robotik yang akan menemani pemain.

Dialog-dialog antara P-3 dan Charles juga kadangkala tak kena dengan pacing semasa gameplay. Bila mana pemain tengah sibuk menembak boss dan musuh lain, P-3 dengan relaks boleh sembang dengan Charles dalam situasi tu. Ada juga dialog humor yang agak memaksa.

Implementasi open world mechanic juga berlawanan dengan plot. Plot Atomic Heart yang memerlukan pemain untuk selamatkan dunia dengan kadar segera. Namun, pemain ada masa untuk explore sehingga saya pun lupa dengan flow cerita. Apabila masuk ke Act 3 barulah cerita mula kembali ke landasan fokus pemain.

Satu lagi berkaitan suara. Walaupun ini game yang dihasilkan oleh studio dari Rusia, tapi rasa seperti main game buatan Amerika Syarikat. Saya mengharapkan suara Inggeris yang mempunyai accent Rusia. Tapi tak ada. Ada juga pilihan untuk tukar suara kepada Bahasa Rusia.

Tapi dengan gameplay yang chaotic dan dialog yang terlalu banyak serta saya malas nak baca sari kata. Memang susah nak tukar walaupun itu pilihan yang terbaik.

Gameplay

Atomic Heart menggabungkan gameplay dari segi combat, RPG dan exploration. Combat memfokuskan pemain untuk menggunakan pelbagai jenis senjata yang disediakan dan juga kuasa yang datang dari sarung tangan Charles.

Terdapat pelbagai jenis senjata dari kapak, pistol, AK-47 sehinggalah ke railgun. Setiap darinya boleh di-upgrade untuk menambah kekuatan dan fungsi. Apabila pemain upgrade senjata, reka bentuk juga akan berubah. Malah reload animations juga berbeza mengikut senjata.

Terdapat beberapa kuasa atau skills pada sarung tangan Charles. Pemain boleh equip 2 skills dan 1 skill default. Shock merupakan kuasa pertama yang di-unlock oleh pemain. Ia digunakan untuk stun musuh terutamanya robot. Namun, efek elektriknya yang lemah dan tidak menunjukkan kekuatan skill itu kadang-kadang buat saya tak sedar musuh dah kena stun sebab efeknya yang tidak gah.

Polymer Jet juga antara skill yang tidak satisfied untuk digunakan. Fungsinya untuk kuatkan lagi serangan elemental dari senjata pemain. Senjata pemain boleh attach elemental katrij seperti freeze, fire dan shock. Pemain sembur gel polymer pada mana-mana permukaan dan tembak untuk hasilkan kesan berbeza. Tapi bagi saya ia memakan masa dan musuh senang untuk serang korang.

Frostbite, Mass Telekinesis dan Polymer Shield merupakan skill favorite saya. Frostbite boleh membeku pergerakan musuh, sangat berguna untuk early game yang mana kebanyakan musuh banyak menggunakan melee.

Mass Telekinesis boleh angkat musuh ke udara dan hentam ke lantai, sangat berguna untuk pemain yang berhadapan dengan ramai musuh. Polymer Shield bersifat defensif, guna untuk halang serangan dan reflect serangan musuh.

Ada juga elemen stealth disediakan dengan pemain boleh lakukan special kill di belakang musuh. Namun agak sukar untuk tahu bilakah musuh sedar akan kehadiran pemain. Jadi lebih baik korang go loud saja.

Skill dan senjata korang boleh di-upgrade di sebuah vending machine bernama NORA yang sangat suka berdialog seksual dengan Agent P-3. Berapa jauh korang boleh upgrade bergantung kepada berapa banyak yang korang loot items. NORA juga boleh craft senjata, ammo dan item-item lain.

Apa yang best dalam Atomic Heart adalah bila mana korang nak loot item, korang tak perlu klik setiap laci untuk ambil barang. Dengan hanya klik dan hold, Charles boleh sedut semua item dari semua laci dengan mudah. Dan lagi best, tak seperti setiap game RPG lain yang mana kalau beg storan sudah penuh, korang dah tak boleh loot lagi. Dalam Atomic Heart tidak, lebihan item akan dihantar ke NORA dan korang boleh loot tanpa risau.

Pemain tak perlu mencapai tahap XP points tertentu untuk unlock skills seperti game lain. Cukup item yang dikehendaki, korang boleh unlock terus. Dan kalau korang bosan dengan skill atau senjata tu, korang boleh saja tebus balik item dan craft senjata baru atau equip skill baru.

Dari segi exploration, Atomic Heart ada memperkenalkan open world dalam game ini. Terdapat banyak robot yang berkeliaran di Facility 3826. Walaupun seronok untuk tembak mereka. Tapi jadi tak seronok bila yang dah mati tetap hidup balik. Di setiap kawasan mesti ada kamera, tapi senang untuk matikan dengan shock buat sementara waktu.

Tapi jika pemain dikesan oleh kamera, robot-robot di kawasan itu akan memburu pemain. Robot yang berjaya dibunuh oleh pemain akan dibaiki semula oleh dron-dron yang akan tetap datang tanpa henti walaupun dah berkali-kali dibunuh. Dron-dron ni akan baiki apa saja termasuk kamera. Jadi pemain tiada ruang untuk bernafas dan kadangkala situasi boleh jadi stress.

Apabila saya mengetahui dron-dron itu datang dari sebuah stesen kubah, saya cuba musnahkannya dengan pelancar roket. Malangnya tak boleh dan dron itu terus keluar tanpa henti.

Pemain boleh lakukan malfunction kepada semua robot termasuk dron dengan pergi ke sebuah stesen, tapi untuk sementara waktu. Di stesen itu pemain boleh godam di setiap kamera untuk tujuan aktifkan pintu masuk ke Testing Ground. Bagi saya developer sangat miss opportunity di sini untuk perkenalkan skill hacking seperti godam ke robot lain supaya kita boleh gunakan dia untuk bunuh robot lain.

Testing ground merupakan dungeons yang pemain boleh masuk untuk dapatkan rare loot terutamanya upgrade senjata. Saya lebih suka berada dalam Testing Ground ini daripada berada di open world. Di sini pemain akan selesaikan beberapa puzzle yang melibatkan magnet dan skill dari Charles. Ianya menarik dan mencabar.

Saya boleh simpulkan bahagian open world mempunyai beberapa kawasan menarik tetapi ada sesuatu yang tak kena, ada sesuatu yang hilang yang membuatkan saya tidak menyukai open world-nya. Mungkin dunianya yang terlalu luas dan dipenuhi dengan hutan yang membosankan. Mungkin tidak banyak side content selain daripada Testing Ground. Mungkin plotnya berlawanan dengan open world yang mana ceritanya lebih ke arah sense of urgency.

Jika map-nya seperti dalam Deus Ex 1 di mana kawasan sandbox-nya tidak terlalu besar atau luas tapi cukup untuk mempunyai banyak ruang dan jalan untuk pemain kreatif menyelesaikan objektif mengikut cara pemain.

Perkara yang sama boleh disebut mengenai boss fight, banyak menekankan menembak daripada mengimbangi antara menggunakan senjata dan kuasa Charles. Malah persekitaran di tempat perlawanan juga tidak banyak pilihan untuk pemain bereksperimentasi kecuali satu boss. Tapi satu saja.

Muzik dan Efek Bunyi

Muzik dalam Atomic Heart saya boleh katakan best dan kena dengan situasi semasa combat. Cuma semasa di setiap Testing Ground, korang akan dengar muzik genre House. Pada mula saya rasa muzik tu tak kena pada tempat dan saya mula persoalkan kenapa saintis-saintis Soviet ni dengar lagu House genre dalam makmal. Tapi kemudian saya sedar dengan puzzle-nya yang mencabar, muzik House yang rancak mampu menaikkan semangat.

Dari segi efek bunyi, bunyi tembakan senjatanya tidaklah bagus dan tidaklah teruk. Sama juga dengan efek letupan. Namun, bunyi-bunyi mekanikal pada robot bagi saya bagus.

Grafik

Ini merupakan selling point Atomic Heart bagi saya. Konsep art style robotik yang menarik dan elegan serta diselitkan dengan poster-poster dan kartun propaganda membuatkan saya tertarik dengannya. Mesti ada reka bentuk yang tak masuk akal tapi cantik dipandang. Malah setiap serangan tak kira melee atau tembakan mesti akan tinggalkan kesan pada tubuh badan robot.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Atomic Heart sesuai bagi korang yang minat gameplay seperti Bioshock dan Wolfenstein: The New Order. Tapi kalau korang die hard fan Bioshock, korang mungkin akan kecewa dengan Atomic Heart kerana ia mengambil banyak inspirasi dari game tersebut tapi tidak membawakan apa-apa yang baharu.

Namun bagi saya, untuk game pertama dari Mundfish, saya memuji hasil usaha mereka kerana berjaya menghasilkan game yang details sebanyak ini terutamanya pada konsep art style.

+ Konsep art style yang menarik
+ Muzik yang best
+ Combat yang bagus
+ Elemen RPG yang simplify dan mudah

– Plot yang mudah difahami tapi cara penyampaiannya yang mengelirukan
– Bahagian open world yang membosankan
– Bunyi tembakan dari setiap senjata yang biasa

Written by Danial DaxZuher

Seorang penulis yang suka bermain game menembak, membaca novel aksi, mendengar lagu OST video games dan movies serta mencipta cerita pendek.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Uniqlo Malaysia lancarkan 4 design tshirt eksklusif PlayStation

Gimik Marvel’s Spider-Man 2 dekat Lot 10, Bukit Bintang Kuala Lumpur!