Masihkah anda ingat akan Assassin’s Creed Rogue?

Ketika semua orang heboh dan kecewa tentang Assassin’s Creed Unity semasa keluar pada tahun 2014, mungkin anda ada terlepas pandang dengan satu lagi game dalam siri terkenal ini yang dikeluarkan pada tahun sama dan lebih disukai oleh peminat Assassin’s Creed.

Game ini adalah Assassin’s Creed Rogue – hanya dikeluarkan untuk PS3 dan Xbox 360. Ini menjadikan Assassin’s Creed Rogue sebagai game Assassin’s Creed terakhir yang dikeluarkan untuk konsol PS3 dan Xbox 360 sebelum siri ini berangkat ke konsol next-gen.

Kalau anda tak puas hati main Haytham Kenway sebagai seorang Templar semasa Assassin’s Creed 3, maka Assassin’s Creed Rogue mungkin menjadi pilihan hati anda untuk menjadi seorang Templar terulung macam kalau anda bertukar jadi Sith Lord dalam Star Wars.

Haytham Kenway bertemu dengan Shay Cormac.

Assassin’s Creed Rogue mengikut cara gameplay sama sahaja seperti Assassin’s Creed 4: Black Flag (anda boleh berlayar sehingga ke benua Artik dan memburu beruang kutub) tetapi daripada menjadi seorang Assassin, anda akan melihat jalan cerita Shay Cormac yang pernah menyertai Assassin Brotherhood sebelum dia berpaling tadah menjadi seorang Templar.

Menurut satu tweet dari AccessTheAnimus, ‘Assassin’s Creed Rogue HD’ akan datang ke dalam konsol PS4 dan Xbox One tersenarai di dalam tiga laman sesawang dari Itali. Namun, ini adalah cuma desas-desus sahaja dan masih lagi belum ada kata rasmi oleh Ubisoft.

Kepada pengguna PC pula yang teringin nak cuba main, Assassin’s Creed Rogue sudah pun dikeluarkan pada tahun 2015.

Bagi mereka terlepas Assassin’s Creed Rogue di konsol last-gen, ini mungkin adalah peluang keemasan untuk boleh main Assassin’s Creed Rogue versi HD di konsol next-gen kerana boleh saling melengkapi dengan Assassin’s Creed: The Ezio Collection kan? Itupun kalau ura-ura ini benarlah.

JomKomen!