in , , , , , , , ,

Arcane Adalah Adaptasi Terbaik Francais Game, Penerbit Lain Harus Belajar Daripada Riot Games

Kegagalan satu per satu projek untuk mengadaptasi sesebuah francais video game umpama satu episod ngeri yang tidak berkesudahan. Dari semasa ke semasa, ada saja adaptasi yang meletakkan harapan tinggi, namun akhirnya mengecewakan.

Bagaimana sebenarnya untuk mengatasi masalah ini? Penulis sudah menemuinya: belajar daripada apa yang Riot Games telah lakukan terhadap francais League of Legends melalui Arcane.

Penulis baru sahaja menghabiskan sembilan episod dalam musim pertama Arcane yang disiarkan di Netflix. Mungkin sedikit lewat berbanding peminat tegar League of Legends lain yang mula menonton sejak hari pertama tayangan pada 6 November 2021.

Penulis menekan butang ‘play’ ketika memulakan siri ini dengan pengetahuan kosong terhadap kisah latar (lore) League of Legends kerana sejujurnya, penulis tidak pernah bermain game MOBA itu.

Namun, penulis menamatkan sembilan episod siri ini dengan menjulang Arcane sebagai siri animasi adaptasi dari video game terbaik yang pernah penulis saksikan.

Penulis menutup aplikasi Netflix sejurus menamatkan Arcane sambil berkata, “aku yang tidak pernah sentuh League of Legends, kerana tidak pernah suka dengan genre MOBA, tapi mungkin inilah masanya untuk aku cuba game ini kerana aku sudah jatuh cinta dengan lore game ini.”

Menonton Arcane memberikan satu pengalaman tontonan animasi yang tidak pernah dirasai penulis sebelum ini, tidak kisahlah sama ada adapatasi game ataupun bukan. Penulis tidak teragak-agak untuk mengungkapkan bahawa pasukan produksi Arcane telah menyajikan sebuah siri yang hampir sempurna.

Animasinya, dunia persekitarannya, pengarahan seninya, babak pertarungannya, gaya suntingannya, lagu-lagunya yang digubah khas, persembahan lakonan suaranya — ia mengadunkan satu rasa yang serba serbi lengkap.

Bahkan, promosinya juga amat berkesan, lebih-lebih dengan kehadiran video muzik untuk lagu temanya ‘Enemy’ yang dipersembahkan Imagine Dragons & JID.

Animasi yang dibikin untuk siri ini merupakan satu bentuk animasi yang boleh penulis katakan sebagai satu gaya yang sungguh matang, kasar dan keras. Cocoklah dengan jalan cerita dan kandungan dewasa yang ingin disampaikan.

Arcane menggunakan universe yang telah dicipta dalam League of Legends, sebuah game MOBA yang dilancarkan untuk PC pada tahun 2009. Musim pertama ini merupakan prekuel atau kisah-kisah asal (origin stories) kepada beberapa karakter ikonik dalam game tersebut.

Dalam beberapa episod awal, kita mungkin tidak akan mengenali watak-watak yang ada dalam siri ini, mungkin disebabkan umur dan penampilan yang berlainan, tetapi dalam beberapa episod akhir, barulah watak-watak ini bertukar penampilannya menjadi apa yang lebih dikenali dalam League of Legends.

Dunia sains-fantasi-steampunk yang dibawakan ke dalam Arcane sangatlah mengasyikkan. Kita dapat rasakan dua dunia yang cukup berbeza antara Piltover, sebuah bandar utopia yang begitu mewah, dan Zaun, sebuah lubuk bawah tanah yang penuh dengan kegagalan dan kesengsaraan.

Arcane mengangkat kisah penindasan dan ketidakpedulian sesebuah kerajaan yang kaya raya terhadap rakyat marhaen bawahan. Piltover memandang hina segala apa yang berkait dengan kehidupan masyarakat bawah tanah Zaun, sehingga sampai satu waktu, masyarakat di situ berkata “sudah cukup, masa untuk bertindak”.

Inilah konflik permukaan Arcane — kisah antara dua darjat.

Arcane menyajikan perjalanan cerita yang memberikan keadilan yang secukup rasa kepada setiap karakter di dalamnya. Setiap watak utama mampu menyerlah dengan sendirinya, menghidangkan kepada para penonton dengan pelbagai juadah perkembangan karakter yang seimbang.

Kita mungkin sukar untuk memilih siapakah watak yang paling disukai dan yang paling dibenci kerana dalam Arcane, setiap luka ada ubatnya, dan setiap yang indah ada buruknya.

Satu lagi elemen yang menonjol, membuatkan penulis benar-benar jatuh cinta dengan siri ini adalah aksi pertarungan jarak dekat yang amat mengagumkan. Sebagai seorang peminat genre aksi sebegini, setiap tumbukan, elakan, kuisan, dan tendangan terasa cukup memuaskan — ditambah pula dengan rekaan audio yang menakjubkan. Sukar untuk penulis fikirkan mana-mana animasi yang memuntahkan aksi sepuas ini.

Pujian tertinggi harus diberikan kepada studio animasi berpangkalan di Paris, Perancis, iaitu Fortiche yang membikin siri ini, dengan penyeliaan oleh Riot Games.

Penulis berani menyimpulkan bahawa adaptasi dalam bentuk animasi sebenarnya lebih memberikan keadilan kepada sesebuah francais video game berbanding live-action, khususnya apabila francais itu memiliki lore yang bertemakan fantasi.

Live-action kurang memberikan kepuasan atau mungkin tidak akan mampu mencapai kepada satu tahap potensi maksimum terhadap lore tersebut disebabkan bermacam kekangan yang dimiliki manusia sebenar dalam menjayakan babak-babak live-action.

Dengan musim kedua sudahpun disahkan dalam pembikinan, penulis sememangnya tidak sabar menantikan apakah lagi kejutan yang bakal disajikan. Bak datang, Riot!

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Bully 2 Dilaporkan Sepatutnya Diumumkan Semasa The Game Awards 2021, Ura-Ura Dalam Pembikinan

Ubisoft Akhirnya Umum Game Splinter Cell Baru Sedang Dibangunkan, Masih Fasa Awal Pembikinan