Apex Legends merupakan satu bukti yang kuat di mana sebuah game yang bukan indah khabar daripada rupa akan mendapat tempat yang cukup baik dalam industri.

Tanpa angin, tanpa ribut, kita semua tidak menyangka yang EA dan Respawn Entertainment akan mengeluarkan sebuah game berbentuk ini. Di kala banyak ura-ura tentang Titanfall 3 pada tahun lalu, timbul pula laporan yang mengatakan Respawn akan mengeluarkan sebuah game battle royale percuma yang berlatarbelakangkan dunia Titanfall — hanya beberapa hari sebelum game ini dilancarkan.

Apex Legends ialah bukti bahawa sebuah game masakini tidak perlukan pemasaran gah yang merepek, hanya memerlukan sebuah gameplay yang mantap dan pelancaran yang stabil untuk menambat hati gamers — sehinggakan game ini berjaya mengumpulkan 10 juta pemain hanya dalam 72 jam sejak pelancaran.

Persoalan yang paling penting — apakah yang membuatkan game ini begitu cemerlang bilangan pemainnya tanpa perlu pemasaran yang besar-besaran?

Menyegarkan Genre Yang Semakin Layu

Secara jujurnya, penulis sudah lama bosan dengan genre battle royale. Setelah bermain Fortnite, PUBG, H1Z1, CoD: Blackout, serta beberapa mini game seakan battle royale dalam game lain seperti dalam GTA Online dan Red Dead Redemption 2 — penulis merasakan tiada apa lagi yang boleh dicuba dalam genre ini.

Walau bagaimanapun, Apex Legends telah memperkenalkan pelbagai fungsi dan mechanics, menyegarkan semula genre yang sudah semakin layu ini. Pada hemat sesetengah pemain, ia mungkin perubahan yang kecil, namun ia sesuatu yang perlu untuk mewarnakan semula battle royale yang semakin bosan ini.

Tak Sah Game Dari Respawn Kalau Tiada Respawn

Salah satu mechanics baru yang tidak ada dalam mana-mana game battle royale lain ialah sistem respawn. Dibandingkan dengan game-game battle royale lain, ia hanya ada sistem revive. Sekiranya rakan tidak berjaya untuk revive korang, atau musuh berjaya menamatkan terus nyawa korang dalam tempoh revive itu, korang terus tiada peluang lagi untuk bermain semula dalam pusingan tersebut. Korang akan terus pergi spectate mode dan melihat sahaja rakan-rakan korang yang lain meneruskan permainan.

Namun, dalam Apex Legends, ada tambahan sistem respawn, yang digelar Recovery. Apabila tempoh revive korang telah tamat, rakan masih lagi boleh mengambil Banner korang (seperti kad cip), dan bawakannya ke Spawn Beacon berdekatan.

Melalui kehadiran sistem Recovery ini, ia telah menambah satu rencah baru ke dalam genre battle royale. Pertamanya, tempoh untuk mengambil Banner itu dari “mayat” juga ada masa yang terhad, dan semestinya mengambilnya mempunyai risiko kerana musuh pasti akan menjaganya agar korang tidak boleh menghidupkan semula pemain dalam skuad korang.

Keduanya, apabila korang dah berjaya mengambil Banner tersebut, untuk hidupkan semula pemain tersebut di Spawn Beacon juga mempunyai risikonya lain kerana kapal yang akan membawa karakter korang hidup semula adalah besar dan mengeluarkan bunyi bising yang sangat kuat — seterusnya mampu menarik perhatian musuh berdekatan.

Sistem Ping Yang Bijak

Selain itu, satu lagi mechanics baru yang diperkenalkan dalam game ini ialah sistem Ping yang sangat berguna. Di sebalik game-game lain yang memiliki hanya satu kegunaan ping, Apex Legends memperkenalkan satu sistem Ping yang mempunyai variasi komunikasi.

Menekan butang Ping sekali akan mengajak skuad korang untuk pergi ke arah itu, tekan dua kali (double tap) akan memberitahu bahawa ada musuh di situ, ataupun korang boleh menekan lama (hold) butang Ping dan memilih beberapa pilihan komunikasi yang ada. Pemain juga boleh Ping senjata dan item yang ada di atas lantai, sebagai contoh sekiranya korang ingin memberikan Shield kepada rakan, korang boleh tekan butang Ping di Shield yang berada di atas lantai itu dan skuad korang akan dapat melihatnya. Mereka juga boleh membalas Ping korang dan memberitahu yang mereka berminat untuk mengambilnya.

Sistem Ping yang sangat bijak ini amat berguna sekiranya korang bermain bersama pemain yang tidak dikenali atau/dan tidak mahu berkomunikasi melalui mikrofon. Sistem ini disahkan sendiri oleh Respawn yang menyatakan mereka cuba bermain game ini tanpa menggunakan mikrofon selama sebulan bagi menambahbaik sistem Ping ini.

Hot Zone & Dropship

Satu lagi, game ini turut memperkenalkan satu pengalaman permulaan game yang agak berbeza. Sebagai contoh, dalam Fortnite, sekiranya pemain sukakan permulaan yang terus beraksi tegang, mereka akan sentiasa turun ke Tilted Towers. Namun, dalam Apex Legends, ia memperkenalkan Hot Zone dan Supply Ship.

Hot Zone merupakan kawasan di bawah yang mempunyai senjata dan item yang lebih lumayan. Supply Ship juga sama seperti Hot Zone, tetapi ia merupakan kapal terbang yang bergerak yang mana para pemain boleh mendarat di atasnya selepas lompat dari kapal utama (permulaan game). Kedua-dua lokasi ini akan sentiasa berubah secara rawak dalam setiap game, dan ia membuatkan pemain tidak akan pergi satu lokasi spesifik sahaja untuk mendapatkan loot yang lumayan. Makna kata, permulaan pusingan yang terus beraksi tegang akan sentiasa berubah lokasi dalam setiap pusingan.

Gunplay atau Abiliti — Mana Lebih Penting?

Satu kelainan besar yang dibawakan ke dalam Apex Legends adalah kita boleh memilih karakter, yang digelar Legends — dan setiap Legends mempunyai abiliti uniknya yang tersendiri.

Dalam beberapa jam pertama penulis bermain, di sebalik setiap Legends mempunyai abilitinya, gunplay tetap menjadi fokus utama dalam game ini untuk menang. Makna kata, walaupun korang sudah mahir menggunakan abiliti yang ada pada setiap Legends, namun sekiranya korang tidak cekap dalam pertempuran tembakan (gunplay), korang tetap mudah untuk dikalahkan.

Inilah sesuatu yang harus diberikan pujian. Mereka menambah abiliti dari genre hero shooter ke dalam genre battle royale, tetapi DNA asas sesebuah game battle royale itu, iaitu gunplay, masih lagi dikekalkan. Abiliti-abiliti yang pada setiap Legends ini umpama menambah perisa dan perasa kepada gunplay yang sudahpun mantap.

Lumrah Game Baru

Di sebalik semua fungsi dan gameplay yang mantap, Apex Legends semestinya tidak dapat lari daripada lumrah sebagai sebuah game yang baru dilancarkan. Walaupun tidaklah terlalu kerap, beberapa insiden game crash pada saat-saat genting seperti sedang gunfight dengan musuh sememangnya satu perasaan yang amat mengecewakan.

Kadang-kala, ada juga beberapa kali penulis mengalami game crash semasa sedang bertukar-tukar skin di menu utama. Beberapa kali terkena dalam beberapa minit, penulis terus tukar game lain.

Di samping itu, ada beberapa ketika game ini mengambil masa yang agak lama untuk login ke dalam server sehingga mampu membantutkan keterujaan untuk memulakan game ini.

Isu-isu seperti ini memanglah sesuatu yang biasa untuk game baru, namun Respawn harus menyelesaikannya dengan pantas agar hype game ini dapat diteruskan tanpa cacat cela.

Harapan Untuk Ke Hadapan

Apex Legends menampilkan hanya 3 pemain dalam satu skuad, 20 skuad dalam satu-satu perlawanan, menjadikan maksimum pemain yang ada dalam satu server ialah 60 pemain sahaja.

Ada yang suka dengan jumlah 60 pemain ini, kerana kata mereka satu-satu perlawanan itu habis dengan lebih cepat dan server terasa lebih stabil. Ini sememangnya benar.

Walau bagaimanapun, secara peribadi, penulis lebih gemarkan sebuah game battle royale yang mempunyai 100 pemain dan 4 pemain dalam satu skuad. Pertempuran akan terasa lebih lama, dan apabila memenanginya, ia terasa lebih nikmat kerana kita tahu bahawa kita telah mengalahkan jumlah pemain yang lebih ramai. 4 pemain dalam satu skuad juga membuatkan mana-mana gunfight terasa lebih tegang dan mencemaskan kerana kita perlu menempuh pemain yang lebih ramai menentang satu-satu skuad musuh.

Di masa hadapan, mungkin Respawn boleh menambah jumlah pemain, sedikit demi sedikit sehingga ia mencapai 100 pemain dalam satu server. Ia sesuatu yang boleh dilakukan kerana Call of Duty: Blackout pernah melakukannya — di mana semasa versi beta, hanya 64 pemain dan kini, ia mempunyai 100 pemain.

Selain itu, kalau benar Respawn mahukan game ini menjadi saingan sengit kepada Fortnite, mereka perlu menyokong game ini dengan kandungan-kandungan tambahan yang menarik. Dan penulis pasti yang mereka sudahpun memiliki perancangan rapi untuk ini, memandangkan apa yang mereka telah umumkan dalam roadmap Year 1.

Satu lagi kandungan yang penulis rasakan perlu diperkenalkan segera ialah solo/duo queue. Bermain dengan lebih ramai pemain dalam satu skuad sememangnya adalah lebih seronok, namun penambahan solo/duo queue pastinya akan memberikan pemain lebih banyak pilihan.

Keputusan – ON TAK ON!?

ON – Beberapa isu dan masalah yang dihadapi semasa bermain Apex Legends adalah sangat terpencil. Secara keseluruhan, game ini sememangnya sebuah game yang sungguh mantap dari pelbagai aspek. Kepada penggemar genre battle royale, walaupun korang sudah mula bosan dengan genre ini sebelum ini, korang harus mencuba game ini terlebih dahulu. Game ini telah menyuburkan semula cinta kita kepada genre battle royale, dalam dunia Titanfall yang cukup indah.

TAK ON – Namun, kalau korang jenis yang suka battle royale, tetapi tidak gemarkan gameplay yang terlalu laju — lebih sukakan gameplay building dalam Fortnite atau gameplay yang lebih perlahan seperti PUBG — Apex Legends kurang sesuai untuk korang. Apabila berada dalam dunia Titanfall, ia semestinya mempunyai aura gameplay yang pantas.

+ Strategi pemasaran mengejutkan
+ Menyegarkan semula genre battle royale yang semakin layu
+ Pengenalan sistem respawn
+ Sistem Ping yang bijak
+ Pengenalan Hot Zone dan Supply Ship
+ Fokus terhadap gunplay
+ Abiliti karakter yang unik

Game crash pada saat genting/menu utama
Kadang-kala sukar login ke server
Ketiadaan solo/duo queue

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.