Kalau tanya mana-mana gamer yang meminati game shooter battle royale, pastinya mereka sudah mula jatuh cinta dengan Apex Legends. Kelmarin, EA mendedahkan bahawa game ini telah memperoleh 2.5 juta pemain unik dalam masa hanya 48 jam pertama.

Terbaru, CEO Respawn, Vince Zampella dalam satu kenyataannya di laman web rasmi telah mengumumkan Apex Legends telah berjaya mengumpulkan 10 juta jumlah pemain dalam masa 72 jam sejak pelancaran. Dalam waktu ini juga, ia pernah mencapai 1 juta pemain yang bermain serentak dalam satu-satu masa.

Zampella berkata:

“Ini merupakan satu perjalanan yang mengagumkan. Kami telah uji dan perbaiki. Kami berhujah dan bersetuju. Kami telah sampai ke satu tahap di mana kami rasakan ada magik. Kami tahu yang ia adalah berisiko untuk membawa francais ini ke arah ini, pergi ke arah percuma (free-to-play), dan membawakan pelancaran mengejut. Tapi kami telah jatuh cinta dengan Apex Legends dan mahukan, perlukan, orang lain bermainnya juga.”

Beliau mengakhiri kenyataan dengan berterima kasih kepada semua yang telah menyokong game ini dan mengajak yang lain untuk sama-sama bermain game ini.

Apex Legends kini boleh dimainkan secara percuma di PC, PS4 dan Xbox One.

JomKomen!