Bermain video game umpama menjalani kehidupan seharian juga. Ada hari, ia cerah, dan kadang-kala, ada hari, ia mendung. 

Sumber gambar.

Ia seperti roda, ada waktu kita bermain dengan cantik, ada masa kita tidak memberikan persembahan yang baik. Dan semestinya, jika kita tidak pernah melakukannya, kita pasti pernah melihat rakan atau pihak lawan ‘rage quit’. Tetapi, fahamkah kita sebenarnya apa itu ‘rage quit’ (RQ)?

Untuk kali ini, kami ingin memfokuskan kepada istilah RQ dalam sesi online multiplayer. Secara mudahnya, RQ adalah satu perbuatan yang meninggalkan sesebuah perlawanan dalam video game dalam keadaan yang marah atau kecewa, sama ada perlawanan sudah menghampiri penamatnya, atau meninggalkannya pada pertengahan perlawanan.

Lazimnya, RQ berlaku apabila rakan sepasukan bermain terlalu teruk (noob) atau bertembung dengan barisan pemain lawan yang mereka fikir mereka tidak mampu kalahkan.

Persoalan timbul, dari mana datangnya istilah RQ ini? Sebelum kita pergi ke istilah RQ itu sendiri, jom kita menelusuri sedikit sejarah video game. Sebuah game bernama Pong merupakan antara video game arcade yang paling awal pernah dihasilkan. Kejayaan Pong menarik minat Ralph Baer, yang mana beliau turut dikenali sebagai “Bapa Video Game” kerana pelbagai sumbangan beliau kepada industri ini.

Beliau telah mencuba game Pong, dan rakaman di bawah dikatakan oleh para pengguna Internet bahawa ia adalah RQ yang pertama dilakukan oleh manusia pada tahun 1969.

Semestinya pada waktu itu, istilah RQ belum lagi digunakan. Terma RQ dikatakan telah mula digunakan seawal zaman Internet Relay Chat (IRC) dan chatroom lagi. Walau bagaimanapun, istilah ‘ragequit’ hanya dimasukkan ke dalam Urban Dictionary pada 28 Mac 2005.

Akibat popularitinya dalam kalangan para gamers, RQ turut ditampilkan secara rasminya oleh developer dalam pelbagai game. Antara yang paling diingati adalah kesan bunyi dalam Quake 2, sebuah game keluaran id Software yang dilancarkan pada tahun 1997. Anda boleh dengarkannya di bawah.

Di bawah, kami gariskan beberapa jenis RQ yang sering muncul dalam sesi online multiplayer:

Riuh Sekampung: Jenis pemain RQ ini adalah yang paling menakutkan (atau mungkin melucukan). Dia akan memarahi setiap seorang daripada pasukannya dan menyatakan kesilapan setiap pemain lain, tanpa memikirkan ia adalah kesilapan seluruh pasukan. Dia akan ‘mengamuk’ tanpa henti dalam beberapa minit dan terus keluar daripada game bagi menampakkan kekecewaannya.

Koyak Rabak: Situasinya seakan sama seperti Riuh Sekampung, di mana Pemain X akan memarahi Pemain Y. Mungkin apa yang dimarahkan Pemain X ada benarnya, tetapi disebabkan mental Pemain Y yang ‘cepat koyak’, maka Pemain Y akan RQ sambil mengesat air matanya.

Diam Seribu Bahasa: Pemain ini sedang marah atau kecewa dengan rakan sepasukannya, namun dia tidak vokal dalam menyatakan apa yang dia tidak berpuas hati. Akhirnya, dia akan menutup game tersebut, tanpa memberikan salam atau mengucapkan selamat tinggal – meninggalkan rakan sepasukan tertanya-tanya apakah punca dia RQ.

Bijak Lagi Licik: RQ jenis ini biasanya berlaku antara sekumpulan rakan-rakan yang rapat. Dalam sesi ini, pemain ini tidak mempersembahkan permainan yang baik, maka ia terperosok ke kedudukan yang agak bawah. Disebabkan tidak mahu rakan-rakan yang lain mengambil screenshot kedudukan tersebut dan ‘membahannya’ pada keesokan hari, pemain ini akan RQ dengan pantas. Sangat licik permainannya.

Sepasukan Ketewasan: Situasi ini mungkin adalah yang paling lazim kita lihat. Pada permulaannya perlawanan berjalan seperti biasa. Namun, setelah beberapa siri perlawanan, pasukan yang sentiasa kalah sahaja ini akan RQ beramai-ramai daripada game tersebut, seterusnya memberikan kepuasan kepada pasukan yang menang.

Berundur Sebelum Bertempur: Apabila melihat mereka telah ditembungkan dengan pasukan yang jauh lebih hebat daripada mereka, sekumpulan pemain ini akan RQ tanpa perlu masuk ke dalam game lagi, kerana mereka takut akan dilanyak teruk oleh pihak lawan itu. Sikap tidak percaya kepada diri sendiri ini membuatkan mereka tidak berpegang kepada prinsip ‘berpantang undur sebelum bertempur’.

Alasan Tak Masuk Akal: Pemain yang melakukan RQ ini cukup penuh dengan alasannya. Dia tidak mahu mengaku bahawa dia RQ tetapi menyatakan alasan yang tidak masuk akal mengapa dia meninggalkan game tersebut. Antara contoh alasan adalah seperti sambungan Internet terputus, jiran sebelah ada kenduri atau mungkin ada rakannya muntah dan dia terpaksa membersihkannya.


Itulah sedikit sebanyak daripada definisi, sejarah, dan jenis-jenis RQ yang kami pernah alami sepanjang kami bermain video game. Ada info-info tentang RQ yang kami tertinggal? Kongsikan dengan kami.

JomKomen!