Adakah Anthem berbaloi untuk korang beli selepas di-patch? Atau adakah ianya masih boleh blah dari senarai game-game untuk korang beli? Jom baca.

Sejak pertama kali trailernya disiarkan di E3 2017, Anthem selaku IP terbaru dari BioWare – studio yang menghasilkan pelbagai permainan video RPG yang ikonik telah menjadi buah bicara para peminat dengan premis game yang segar dalam genre shooter-looter & live services.

Rata-rata dapat dilihat reaksi penuh keterujaan terhadap ciri-ciri unik yang terdapat dalam permainan tersebut dan taruhan harapan yang mengunung agar ianya berjaya dan menjadi  tanda aras yang baharu bagi game genre ini.

Penulis sendiri sudah menulis reviu pandangan pertama terhadap Anthem semasa sesi Beta. Korang boleh baca untuk dibandingkan dengan apa yang akan penulis huraikan didalam artikel ini pula. Kenapa kena bandingkan? Sebab kesudahannya selepas 6 tahun dibangunkan, Anthem dapat diwakilkan dengan perkataan bermula dengan huruf “H”. Nak tahu huruf-huruf pelengkap seterusnya? Teruskan membaca.

Untuk makluman, reviu ini dibuat setelah melalui launch day PlayStation 4 sehinggalah situasi selepas patch 1.0.3 9 Mac lalu.

Persekitaran Bastion yang cukup menawan

Dunia Yang Tidak Lengkap (Pun Intended)

Dunia Anthem terletak di planet yang terbengkalai dan ditinggalkan ribuan tahun yang lalu oleh entiti bernama Shapers. Tiada latar belakang yang diketahui berkenaan entiti ini namun mereka meninggalkan pelbagai artifak yang boleh memanipulasi sumber kuasa yang kuat yang dinamakan Anthem of Creation, watak utama didalam permainan ni. Anthem of Creation mempunyai kuasa yang mengawal kehidupan dan kematian di dalam dunia ini dan ianya mempunyai kesedaran dan semangat tersendiri yang boleh menukar lanskap serta makhluk sekeliling.

Kisah Anthem bermula di negara Bastion dan bandar Freemark yang merupakan pangkalan bagi Freelancer, sekumpulan askar upahan yang mengambil kontrak untuk memastikan keselamatan sejagat bagi kawasan diluar bidang kuasa Sentinels. Freemark telah diserang oleh The Dominion yang merupakan kumpulan autoritarian yang cuba mendapatkan artifak yang bernama Cenotaph di bawah Freemark yang dipercayai boleh mengawal Anthem of Creation.

Pengaktifan Cenotaph telah menyebabkan letupan yang besar berlaku dan memusnahkan Freemark dan meninggalkan bencana yang dinamakan “Heart of Rage”. Kisah kita sebagai Freelancer bermula 2 tahun dari kejadian ini untuk memulihkan reputasi Freelancer sepenuhnya sebagai hero di Bastion. Kalau ada yang tengok/baca Attack On Titan, Sentinels ni umpama Garrison Corps & Freelancer ni pula Survey Corps.

Disconnect dari server itu perkara biasa :3

Ketiga-tiga kumpulan ini mempunyai exosuit yang dinamakan Javelin yang berkeupayaan untuk terbang bebas dan terapung mengikut kapasiti masing-masing. Terdapat 4 jenis Javelin yang wujud iaitu Ranger (all-rounder), Colossus (Tank), Interceptor (Agile) & Storm (Elemental) dan kesemua Javelin tidak perlu naik level secara berasingan, kesemuanya bergantung kepada level Pilot sahaja.

Setiap Javelin mempunyai corak permainan yang sangat berbeza dari segi skil dan keupayaan yang menjadikan pemanduan setiap Javelin sesuatu yang menarik dan sentiasa segar. Teknik apungan di dalam Anthem telah berjaya menjadikan pertempuran vertikal sesuatu yang unik dan membezakan ianya dari genre shooter-looter yang lain dengan mengfokuskan kepada permainan berasaskan ketangkasan. Namun begitu, ketidakpelbagaian mekanik serangan oleh bos yang menjurus lebih kepada serangan ‘overheat’ bagi memaksa pemain berada di darat agak bertentangan dengan tujuan utama menjadikan pertempuran vertikal sesuatu yang menyeronokkan.

Mode penerbangan juga merupakan penyelesaian mudah bagi mengantikan keperluan kenderaan untuk meninjau peta Bastion namun terdapat kekangan tempoh penerbangan yang sedikit sebanyak agak menjengkelkan pemain apabila kerapkali perlu mendarat untuk menyejukkan Javelin. Namun begitu, kawalan semasa mode penerbangan sangat responsif telah berjaya menjadikan penerbangan sesuatu mod yang menyeronokkan dan ianya sesuatu yang sukar dilakukan oleh permainan lain.

Terbang dalam Anthem memang terbaik. Cuma perhati sikit overheat meter tu

Skill atau kebolehan Javelin memainkan peranan yang sangat penting dalam Anthem. Pemain akan sentiasa perlu mengoptimumkan pengunaan skill bagi menggunakan teknik Combo yang memberikan kesan rantaian yang lebih mengegarkan musuh. Combo hanya boleh digunakan dengan mengaktifkan skill Primer dan diikuti dengan skill Detonator pada musuh dan tidak semua skill mempunyai fungsi ini.

Pada peringkat kesukaran tinggi, komponen dan juga skill mempunyai kesan tambahan seperti meningkatkan impak sehingga 200% dah ini akan menjadikan pemain akan berlumba-lumba untuk mendapatkan Perfect Build, barulah boleh kerek dengan kawan-kawan.

Disebabkan fokus utama Anthem adalah pada skill, kebanyakan senjata yang diperolehi agak mengecewakan dan kurang menyengat dan sekaligus menjadikan pertempuran senjata agak hambar. Ditambah pula sesetengah kebolehan tambahan yang amat bergantung kepada situasi, menjadikan pertempuran senjata dikekang dengan senjata yang berkesan sahaja seperti Heavy Pistol “Avenging Herald”.

Tiada kata dapat diungkapkan bila dapat Legendary skill dengan stat yang best!

Bila sebut sahaja senjata dan skill, ianya tidak lari dari komponen utama genre ini iaitu “loot”. Loot dalam Anthem terbahagi kepada 5 jenis mengikut warna iaitu Common (putih), Uncommon (hijau), Rare (biru), Epic (ungu), Masterwork (jingga) & Legendary (kuning). Masterwork dan Legendary loot hanya akan mula muncul seawal level Pilot 25 dan ini merupakan sasaran pemain apabila berada di endgame. Selain daripada loot, senjata & skill juga boleh dihasilkan melalui Crafting System yang memerlukan ember yang boleh diperolehi dari memusnahkan senjata/skill atau mengutip dari tumbuhan di Bastion. Ini membolehkan pemain untuk mendapatkan roll yang dicari secara alternatif dan tidak bergantung kepada RNG semata-mata.

Namun selepas patch 1.0.3, kadar kebarangkalian bagi mendapatkan loot Masterwork telah diturunkan dan telah menyebabkan ramai pemain mengancam Bioware untuk memboikot dari memainkan Anthem selagi Bioware tidak meningkatkan kadar kebarangkalian tersebut kerana stat roll yang diberikan kebanyakan agak menghampakan dan kadar loot yang rendah menjadikan sistem Crafting tidak dapat digunapakai secara efisyen.

Bayangkan main sejam tapi dapat loot masterwork hanya 1 je, memang boleh mendatangkan amarah. Anthem juga tidak mempunyai sebarang “set item”, suatu komponen yang selalunya wujud didalam permainan “Live Service” bagi menambah variasi kepada pembinaan skill yang lebih mantap.

Hujan loot masa BioWare ter’on’ suis “loot shower bug”. Semua orang bergembira!

Kisah Tragis Di Bastion

Semasa memulakan Anthem buat kali pertama, pemain akan diberikan pilihan untuk memilih jantina watak dan rupa yang hanya digunapakai secara sangat minima dan tidak memberikan impak dari segi penyampaian jalan cerita Anthem kerana sepanjang masa kita samada dalam Javelin atau dalam mod pandangan orang pertama. Selainnya hanya nampak kelibat semasa loading screen atau semasa cutscene.

Tanda aras yang sering dipegang oleh Bioware adalah keunikkan jalan cerita dan naratif sepanjang permainan dan menjadikan pemain sentiasa terlibat dengan dunia yang dihasilkan dan kali ini, semua cutscenes secara jelas dapat memperlihatkan kualiti penyampaian Bioware yang dikenali ramai. Setiap watak diperhatikan bergerak dan bertutur secara realistik dan meningkatkan keberkesanan penyampaian secara mendalam.

Namun malangnya kali ini naratif Anthem agak hambar dan jalan cerita yang meleret menjadikan pemain mudah bosan dan tidak peduli dengan watak-watak serta dialog di Fort Tarsis. Terdapat satu plot twist di dalam game ini tapi secara jujurnya boleh di agak dari awal permainan bagi sesiapa yang peka dengan situasi permainan ini. Anthem juga membawa trademark Bioware dalam RPG iaitu pilihan dialog bagi setiap perbualan dengan NPC tapi ianya hanya memberikan 2 pilihan dan tidak memberikan impak yang besar terhadap jalan cerita keseluruhan. Hanya sekadar memberikan markah ekstra bagi kumpulan-kumpulan terbabit.

Haluk, seorang otai Freelancer yang lepak di Fort Tarsis

Setiap rangka misi yang berkaitan dengan jalan cerita agak berulang-ulang dari segi objektif samada perlu pertahankan sasaran, mengumpul item atau mengaktifkan artifak. Bayangkan objektif yang sama diulang-ulang sehingga tamat permainan, memang pemain akan cepat bosan dan ditambah pula dengan variasi musuh yang agak terhad. Balik-balik musuh yang sama je sampai kesudah!

Pada masa yang sama, Anthem memberikan 3 Stronghold yang perlu dimainkan secara berkumpulan. Stronghold merupakan cabaran paling sukar di dalam Anthem di mana ianya merupakan misi 3 peringkat dimana pemain perlu mengharungi musuh-musuh yang banyak dan merbahaya di setiap peringkat hingga akhir kawasan yang akan berhadapan dengan bos musuh. Dari aspek penceritaan, kemunculan Stronghold ini tidak disampaikan secara tersusun dan tiada naratif spesifik berkaitannya kecuali Stronghold Heart of Rage yang sememangnya menjadi sasaran akhir watak utama Anthem.

Uuuuu Naisss…Stronghold ada kebarangkalian beri Legendary Drop(kuning)

Anthem: Endgame

Apabila tirai cerita Anthem berakhir dengan kesudahan dari aktiviti Stronghold Heart of Rage, maka tiba giliran untuk pemain mencuba nasib dari aktiviti endgame. Jikalau korang mengharapkan Raid ke, aktiviti 16 pemain ke atau seumpamanya, korang memang pasti kecewa kerana aktiviti endgame Anthem buat masa ini adalah Legendary Contract, Stonghold dan Freeplay.

Iya..3 aktiviti sahaja dan tidak banyak variasi yang ditonjolkan bagi setiap aktiviti. Legendary Contract merupakan mode dimana setiap objektif misi dijana secara rawak namun masih menggunakan templat misi biasa iaitu bertahan, kutip barang atau aktifkan artifak. Manakala Stronghold pula adalah sama seperti yang dimainkan semasa mode cerita dan Freeplay hanya bergantung kepada World Event yang akan munculkan musuh secara rawak dengan pelbagai objektif dimana setiap World Event akan memberikan kotak untuk dibuka bagi mendapatkan loot yang berpotensi menjadi Masterwork & Legendary.

Cantik mana Bastion pon..cantik lagi loot drop yang 2 ketul ni

Melalui mod Freeplay, pemain boleh meronda keseluruhan Bastion yang 90% daripada lanskap mukabumi hanyalah hutan belantara semata-mata. Walaupun permandangan Bastion amat indah, namun kekurangan aktiviti hidupan di sini sedikit sebanyak menjadikan persekitaran Bastion nampak ‘kosong’ ditambah pula tiada fungsi waypoint memudahkan pemain sesat dalam peta yang cukup luas.

Lebih menyedihkan mod Freeplay ini tidak boleh dilancarkan secara ‘private’ dan maksimum 4 pemain sahaja dibenarkan bagi satu sesi. Kekangan sebegini telah menyebabkan aktiviti World Event sukar dilakukan dengan pemain rawak yang memasuki sesi kerana tiada koordinasi serta indikator dimana World Event sedang berlangsung di dalam peta.

Tahniah, anda akan lebih sengsara lepas ni

Bagi pemain yang sukakan cabaran dan mahu mengumpul loot bertaraf tinggi, mode kesukaran Grandmaster I, II & III akan dibuka setelah Pilot telah mencapai level 30. Mod kesukaran ini merupakan lonjakan yang besar dimana pemain yang tidak bersedia pasti akan tumbang awal dan jadi beban kepada pemain lain.

Rata-rata pemain akan menghabiskan banyak masa mengumpul loot pada GM1 kerana GM 2 & 3 buat masa sekarang terdapat isu keseimbangan nisbah Risiko-Ganjaran dimana jurang kesukaran GM 1 & 2 amat ketara namun didapati ganjaran GM 2 lebih kurang sama dengan GM1 sekaligus menjadikan GW2 tidak berbaloi untuk dimainkan. Dahla lagi susah, dapat ganjaran sama jugak..bazir masa ja.

Kedai kosmetik dalam Anthem, boleh bayar dengan ‘coin’ atau dengan Ringgit Malaysia

Anthem amat menitikberatkan penampilan setiap pemain dan ini direalisasikan dengan fungsi pengubahsuaian kosmetik Javelin merangkumi rupabentuk, corak vinyl, material serta warna. Barang-barang kosmetik hanya boleh dibeli melalui in-game store yang menawarkan katalog baharu setiap Selasa & Jumaat samada menggunakan “coin” yang boleh diperolehi dari permainan atau Shard yang boleh dibeli menggunakan duit sebenar.

Isu yang ketara bagi kosmetik sekarang adalah bilangan barangan yang ditawarkan adalah terlalu sedikit dan tidak konsisten dengan matlamat BioWare untuk menjadikan setiap pemain kelihatan unik. Pusingan barang dari kedai in-game juga agak perlahan dimana ianya sepatutnya dilakukan setiap hari berbanding 2-3 hari sekali.

Tapi tak semua barang boleh beli pakai Ringgit Malaysia, ada yang kena paksa grind ‘coin’

Captain Obvious: Isu Teknikal

Aset game pon ada yang tak load dalam Anthem lagi..ish ish ish

Dari pemerhatian dan pengalaman bermain Anthem selama 2 minggu, di dapati sesetengah musuh kelihatan tidak seimbang terutamanya musuh yang mempunyai perisai. Kelajuan musuh untuk memenuhkan semula perisai baru hanya mengambil masa 1-2 saat sahaja dimana bagi Javelin ada yang memerlukan sehingga 5 saat bagi memenuhkan perisai kembali.

Loading Screen jua terlalu kerap muncul bagi semua aktiviti sehingga wujud meme yang mengatakan “Anthem = Loading Screen Simulator”. Bagi yang bermain di PS4, julat masa setiap loading screen adalah diantara 8 hingga 25 saat bergantung kepada lokasi yang ingin dituju dan ini agak menjengkelkan terutamanya ketika berada di dalam misi kerana secara tidak langsung menghilangkan mood dan immersion pemain.

Diharap bersabar sebab ni skrin yang paling banyak korang akan tengok dalam Anthem :3

Sehingga kini masih lagi kelihatan banyak bugs yang muncul semasa bermain dan diselangkan seli juga dengan masalah capaian ke server EA menjadikan ramai pemain sentiasa terputus talian. Tahap keparahan bugs dalam Anthem ini sehinggakan PS4 aku pun forced shutdown dan terpaksa rebuild database. Nasib baik tak brick terus.

Ada juga kes yang terputus talian sebelum sempat nak kutip Legendary loot. Memang boleh meningkatkan tekanan darah tu kalau kena selalu. Pengunaan Mata Pengalaman (XP) juga tidak dimanfaatkan sepenuhnya selepas mencapai Level 30 dan ini sepatutnya boleh digunakan untuk memberi ganjaran kepada pemain samada dalam bentuk kosmetik atau loot yang boleh menggalakkan pemain terus menerus melakukan aktiviti bagi mendapatkan barang baharu samada dari musuh atau dari XP. Barulah syiok skit nak grind, betul tak?

Omakau!..Ingat Hantu Penanggal tadi, rupanya helmet Ranger glitch ke Interceptor
Memang betul-betul Penanggal ni..takdak kepala la pulak!!!

Kesimpulan

Anthem memang tidak dinafikan merupakan produk yang tidak siap sepenuhnya dan layak menjadi produk Free-to-Play berdasarkan apa yang ditawarkan kepada pemain buat masa ini. Ianya masih seronok dimainkan bersama rakan-rakan dan ronda-ronda Bastion jika tidak terdapat masalah, namun apabila berdepan dengan masalah teknikal macam putus talian & game crash, memang sahih semua orang akan hilang mood nak main sebab terlalu marah dengan isu-isu sebegini.

Jalan cerita dan naratif yang menjadikan Bioware amat terkenal juga agak hambar dan tidak mencerminkan visi & misi Bioware dalam menyampaikan cerita yang epik. Bagi yang bercita-cita nak jadi Ironman tu, disarankan tahan sikit nafsu membeli game ni dan tunggu sekurang-kurangnya 2-3 bulan lagi bagi memastikan aktiviti yang terdapat di dalam Anthem menjadi matang dan memberikan ganjaran setimpal.

Secara mudah, jikalau korang memang ada geng nak coop setiap malam buat aktiviti dalam Anthem atau korang memang hardcore fan BioWare yang suka kena dera, Anthem termasuk dalam kategori BOLEH BELI

Tapi kalau korang nak game yang berkualiti untuk mengisi jiwa shooter-looter serta suka tengok loot bersepah jatuh macam air hujan di musim tengkujuh, sememangnya Anthem merupakan BOLEH BLAH

Grandmaster 2 punya reward camni je?….kelakar sungguh la BioWare

+ Mod Penerbangan dan Pertempuran Vertikal yang mantap dan responsif
+ Gameplay yang fokus kepada ketangkasan dan sentiasa bergerak
+ Efek partikel, grafik dan kesan bunyi yang memuaskan hati
+ Dapat memenuhi Power Fantasy masing-masing untuk menjadi Ironman
+ Kesemua Javelin mempunyai teknik permainan yang sangat berbeza
+ Mempunyai fungsi customization warna dan komponen Javelin yang bebas
+ BANG BANG BOOM TEBABOM!! PEW PEW PEW BBZZZTTTTT PINGGGGG!!!

Rekaan Quality-of-Life yang sangat teruk untuk Live Service game
Banyak perks senjata dan skill yang tak berguna/membantu sangat
Jalan cerita yang agak hambar. Tiada ciri pilihan dialog yang beri kesan kepada dunia
Loot drop sikit sangat. Mudah bagi pemain hilang motivasi nak grind
Barang customization yang terlalu sedikit. Kedai pon lambat rotate barang baharu
Endgame yang terlalu sedikit serta sangat bosan. Lambat dikemaskini pulak tu
BUG BUG BUG BUG BUG BUG *PS4 CRASH*
DC DC DC ERROR GETTING PILOT DATA DC DC DC UNKNOWN ERROR DC DC DC
Banyak sangat LOADING SCREEN!!!!!!
Tak berbaloi dengan harga RM200++

Jadi bagi yang tertanya-tanya apa huruf sambungan bagi “H” diatas tu…perkataan lengkapnya adalah “Hellgate:London”. Ya, game shooter-looter yang pertama dari ex-staff Diablo. Tahap bug & isu game breaking Anthem ni dah sama taraf dengan game Hellgate:London yang dilancarkan pada 2007 dan nampaknya ada juga studio yang tak belajar dari kesilapan studio yang lain walaupun dah dekat 12 tahun perkara ini berlaku. Seteruk-teruk Hellgate pon, banyak juga loot best yang aku dapat berbanding Anthem.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.