Industri gaming tempatan bukanlah calang-calang. Satu kajian telah menyatakan yang pendapatan industri gaming Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara, yang antara lain meletakkan tanah air tercinta ini di kedudukan 21 di seluruh dunia.
Apabila bercakap tentang industri ini, kita mempunyai ramai pemain esport yang bertaraf dunia. Ini sememangnya diakui sendiri oleh Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin, sehingga di bawah kepimpinan beliau, Malaysia kini sedang giat mempersiapkan pasukan esport untuk menghadapi Sukan Asia 2022.
Esport adalah salah satu cebisan daripada industri ini. Di satu lagi bahagian, kita turut mempunyai anak tempatan yang cukup hebat dalam membangunkan sesebuah video game. Satu susuk tubuh yang pastinya korang sudah biasa mendengarnya ialah Wan Hazmer Wan Abd Halim. Beliau ialah anak jati Kuala Lumpur yang telah mencipta nama di industri gaming Jepun bersama Square Enix, yang mana kini telah kembali ke tanah air untuk berbakti pula kepada industri tempatan.
Bercakap lagi tentang pembangunan video game, JomGaming ingin memperkenalkan kepada korang dengan seorang bakat muda yang kami rasakan sememangnya hebat. Ahmad Amirulradzi Bin Imawana, anak muda berusia 20 tahun berasal dari Johor ini telah membangunkan sebuah game indie melalui hasil tangannya seorang diri dan telah berjaya masuk ke dalam Steam melalui program Early Access.
Game yang diberi nama Perfect Plan ialah sebuah game single-player bergenre first-person shooter yang mengambil inspirasi daripada Borderlands 2. Amirulradzi mula belajar untuk membangunkan sesebuah video game pada usia 16 tahun dan berjaya menyiapkan game pertamanya ini setahun selepas tamat persekolahan.
Amirulradzi yang menamakan studio pembangunan game beliau sebagai Digital Upthrust pada mulanya membangunkan Perfect Plan sebagai platform beliau untuk belajar tentang selok-belok pembangunan video game.
“Perfect Plan bermula apabila saya ingin membuat game pertama saya bertujuan untuk belajar setiap proses untuk membuat video game”, katanya kepada Otakit.
Membuatkan Amirulradzi bertambah semangat menceburi bidang ini adalah apabila mendapat sokongan penuh daripada kedua ibu bapanya. “Keluarga saya memberi sokongan penuh walaupun mereka kurang faham tentang pembikinan video game. Boleh dikatakan mereka mengeluarkan sebanyak RM2,000 untuk menyokong saya,” katanya lagi yang bakal meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-20 pada 28 Januari ini.
JomGaming sempat berbual Amirulradzi untuk mengenali beliau dan game ciptaan beliau ini dengan lebih dekat. Jom kita ikuti temu bual ini!
JomGaming: Nak bangunkan game pastinya bukan sesuatu yang mudah. Jadi apa yang membuat bro memulakan langkah pertama untuk belajar membangunkan sesebuah video game?
Amirulradzi: Saya mula menggunakan komputer sejak berumur 10 tahun lagi. Daripada situ saya mula bermain video game. Saya rasa ingin tahu bagaimana mereka dapat menghasilkan sesuatu seperti video game. Saya muat-turun game maker dah saya tak faham langsung. Saya putus asa dan terus main Counter Strike 1.6 dan Dota Frozen Throne all day long lol. Sampai saya umur 14 tahun saya muat-turun Blender 3D. Saya belajar yang Blender 3D boleh buat game, jadi saya cuba belajar buat game. Tapi bila lama-kelamaan saya rasa game engine tersebut amat terhad, jadi saya berpindah ke Unreal Engine 4 . Langkah pertama saya untuk belajar membuat video game sampai siap ialah pada umur saya 14 tahun di mana saya menyiapkan sebuah game yang lengkap, tapi ye la kan game budak-budak jer tembak-tembak kotak lol.
JomGaming: Belajar pembangunan game dekat mana? Ada ambil kelas formal atau belajar sendiri?
Amirulradzi: Saya belajar membuat video game seratus peratus daripada Internet dan kebanyakannya saya bekajar melalui Youtube. Industri video game sentiasa berkembang begitu juga dengan User Interface pada engine, jadi mustahillah jikalau saya belajar melalui buku. Saya ingin juga memasuki Universiti tapi saya diberitahu di Universiti mereka hanya mengajar perkara asas dalam pembikinan video game. Jadi saya memilih untuk belajar dengan sendiri.
JomGaming: Bagaimana sambutan Perfect Plan buat masa sekarang?
Amirulradzi: Sambutan Perfect Plan tidaklah setinggi yang saya harapkan tetapi saya rasa sangat bagus dan gembira kerana ilmu yang saya dapat daripada pembikinan Perfect Plan sangat bernilai bagi saya dan dapat meyakinkan saya untuk terus mencari rezeki di dalam industri video game di arena antarabangsa dan juga di pasaran tempatan.
JomGaming: Kita tahu yang Perfect Plan mengambil inspirasi daripada Borderlands 2. Apa persamaan dan perbezaan antara dua game ini? Boleh kongsikan dengan lebih terperinci apa features yang dibawa dari Borderlands 2 ke dalam Perfect Plan? Mungkin pula ada features dalam Borderlands 2 yang diambil serta diperbaiki lagi ke dalam Perfect Plan
Amirulradzi: Borderlands 2 ialah antara game yang saya sanggup keluarkan wang ringgit untuk membelinya dan medapatkan game yang original walaupun satu-satunya sebab orang yang beli game itu secara original ialah untuk bermain dengan rakan-rakan tapi saya tidak ada rakan lol. Saya suka dengan keunikan concept art yang ada pada Borderlands 2. Saya menjadikan Borderlands 2 sebagai inspirasi untuk Perfect Plan dari segi concept art . Tetapi semua yang ada pada Perfect Plan dari segi jalan cerita dan juga cara bermain adalah berbeza.
JomGaming: Berapa lama Perfect Plan telah berada dalam Early Access?
Amirulradzi: Perfect Plan dilancarkan pada 30 Mac 2017 dalam keadaan 1.0. Tetapi pada 2 Februari 2018 akan dilancarkan Perfect Plan versi 1.1 dengan penuh kandungan dan juga pembaikan segala bug.
JomGaming: Perfect Plan akan ke konsol? Ada rancangan?
Amirulradzi: Mana mungkin. Setakat ini tiada lagi hajat untuk ke konsol untuk Perfect Plan. Tetapi Digital Upthrust akan ke konsol untuk game terbaru kami yang sedang dalam pembikinan.
JomGaming: Apa pendapat tentang persepsi gamers tentang game yang berada dalam Early Access — games takkan siap, development limbo, dan pembangun akhirnya tak keluarkan pun dari Early Access?
Amirulradzi: Early Access adalah sesuatu yang bagus untuk developer untuk mendapatkan true feedback daripada pelanggan mereka yang sudah membeli hasil kerja mereka sebelum mereka mengeluarkannya lagi. Sebelum membeli game Early Access, tengok dulu pada review dan rating di website atau Youtuber yang boleh dipercayai. Ada sahaja video game yang berada dalam Early Access ataupun beta yang tak keluar-keluar tapi dapat sambutan yang bagus contohnya Warframe. Satu-satu video game mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Contohnya Grand Thief Auto V mengambil masa 5 tahun untuk disiapkan sedangkan pemain hanya tahu tentang game tersebut setahun sebelum dikeluarkan. Tetapi ada juga pembangun yang mengunakan Early Access sebagai satu alasan untuk ketidaksempurnaan dalam video game mereka.
JomGaming: Apa perancangan Digital Upthrust untuk masa depan? Ingin memperkembangkan menjadi studio yang lebih besar? Sudah ada game baru akan datang dalam perancangan?
Amirulradzi: Pada saya, Digital Upthrust masih lagi berada di tahap mentah dengan senarai produk yang sangat muda. Tetapi dengan apa yang saya belajar, saya yakin saya boleh membawa Digital Upthrust berdiri sama tinggi dengan pembangun-pembangun lain di arena industri video game. Saya akan kekalkan title indie selama mana yang saya mahu tetapi saya akan terus mencari peluang untuk meningkatkan lagi saiz pasukan Digital Upthrust dengan mencari bakat tempatan. Buat masa sekarang saya sedang berkerja keras untuk menyiapkan satu video game yang akan menentukan masa depan Digital Upthrust.
JomGaming: Apa harapan bro terhadap industri video game tempatan, khususnya dalam pembangunan game?
Amirulradzi: Sangat-sangat terang. Saya tahu terdapat banyak graduan yang mahu memasuki industri video game dan saya yakin mereka dapat menghasilkannya. Dengan itu, saya percaya mereka mempunyai peluang untuk berjaya dalam industri video game. Secara dasarnya, negara kita mungkin ketinggalan tetapi bukan mentaliti graduan kita. Meraka kini dapat lihat peluang yang ada pada mereka dan mereka yang bising tentang terhadnya peluang perkejaan tidak mewakili semua graduan tempatan. Terdapat juga studio-studio kecil yang telah dan sedang menghasilkan video game yang bermutu tinggi. Saya rasa tiada halangan bagi mereka untuk menghasilkan video game yang setanding dengan video game yang berada di tahap trending.
JomGaming: Selain game genre shooter, game macam mana lagi yang bro minat?
Amirulradzi: Selain first-person shooter, saya minat game third-person action seperti The Last of Us, Mafia 3, Uncharted 4 , Gears of War 4, Max Payne 3 dan Tomb Raider. Kerana saya suka apabila saya dapat melihat karakter yang sedang saya kawal seolah-olah saya berada didalam video game itu. Saya juga ingin mencuba game VR yang realistik pada masa akan datang. Selain itu, saya juga suka video game yang kasual seperti Oxygen Not included dan Don’t Starve Together.
JomGaming: Game paling favourite of all time?
Amirulradzi: Urmm tak pasti… Terlalu banyak video game yang sudah saya main di mana mereka semua telah membentuk siapa saya sekarang ini. Cara saya bercakap, cara saya bergaul, cara saya berpakaian semuanya saya belajar daripada video game. Tetapi kalau kamu mahu satu saja video game saya rasa sertakan ini Life is Strange. Life is Strange membuat saya murung selama 3 bulan. Lol.
JomGaming: Game apa yang bro tengah layan sekarang?
Amirulradzi: Sekarang saya tengah layan game Oxygen Not Included dan Fortnite. Saya nak layan PUBG tapi kawan-kawan saya tak nak beli, jadi saya tak layan PUBG lah buat masa sekarang. Saya juga sedang layan game Sleeping Dog Definitive Edition dan saya akan main game Tokyo Xanadu Ex pada masa akan datang. Mungkin bila ada diskaun lol. Kalau terpaksa, duit yang saya peruntukkan untuk hobi saya iaitu bermain game adalah terhad jadi saya terpaksa memilih jalan gelap hahahaha..
JomGaming: Sudi untuk kongsi SteamID? Mungkin ada pembaca JomGaming yang teringin main game online sama-sama dengan bro?
Amirulradzi: Eh, tak mahulah.. Malulah.
JomGaming: Ada sepatah dua kata untuk mereka yang ingin berjinak-jinak dalam pembangunan game? Mungkin ada pro tips?
Amirulradzi: Pro tips, ni pro giler okey.. 20% game development, 80% marketing. Jangan takut untuk mencuba benda baru dalam hidup. Kegagalan itu bukanlah gagal tetapi kegagalan itu adalah kekal jatuh dibawah, dipetik dari mana entah tapi bunyi macam sedap, jadi ingat sampai bila-bila.

Perfect Plan telah dilancarkan di Steam pada 30 Mac 2017. Korang boleh dapatkan game ini dengan hanya RM10 sahaja dan dalam masa sama menyokong hasil kerja anak muda berbakat ini. Apa tunggu lagi, jom beli di sini.
Terbaik article ini. Keep it up!
Kursus Pengendalian Makanan
Terbaik article ini. Keep it up!
Trademark Malaysia