Kira-kira dua tahun lalu, EA telah mengumumkan yang mereka membatalkan sebuah game Star Wars yang berdasarkan story single-player — iaitu game yang diketuai oleh pencipta siri Uncharted, Amy Hennig.

Amy Hennig.

Apa alasan yang dikeluarkan EA ketika itu apabila mengumumkan pembatalan game yang mempunyai nama kod Ragtag itu? Game single-player tidak lagi relevan untuk menjana keuntungan.

Kemudian, kontroversi loot box dan microtransaction dalam Star Wars Battlefront 2 pun muncul. Dan segalanya berubah selepas itu.

Seperti yang kita tahu, EA telahpun memperlihatkan kali pertama kepada umum Star Wars: Jedi Fallen Order, sebuah game story single-player yang dibangunkan Respawn. Terbaru, bercakap kepada Eurogamer, Amy Hennig telah memberikan reaksi beliau tentang langkah EA yang seolah “menjilat semula ludah” mereka sendiri tentang genre single-player.

Memberikan komennya tentang tweet yang dikeluarkan akaun rasmi EA Star Wars yang mengatakan “tiada microtransactions, tiada loot box”:

“Aneh! Saya harus berterus terang dengan kamu. Maksud saya, ia datang daripada akaun Twitter EA Star Wars, jadi ia semestinya dalam perancangan, tapi saya tidak pasti sama ada komen mereka tentang projek kami [Ragtag] suatu ketika dulu dah mati?”

“Terdapat banyak perubahan dalam industri pada setiap waktu. Ketika berada dalam EA, kami berbelah bahagi tentang apa yang syarikat penerbitan mahukan. Semua orang cuba untuk dapatkan apakah langkah yang tepat.”

“Ini semua mungkin hanya spekulasi saya, saya tak tahu kenapa secara tiba-tiba mereka bertukar angin, kerana ia [single-player] sememangnya tidak boleh diterima semasa kami mengusahakan Ragtag! Tapi kamu tahulah, macam-macam boleh berubah. [Keputusan untuk membatalkan Ragatg] dibuat pada pertengahan tahun 2017. Kami hanya tahu tentangnya pada Oktober 2017. Jadi, ia hampir dua tahun lalu, dan banyak telah berubah dalam waktu itu, dan banyak kecaman secara umum menentang idea bahawa gamers tidak mahu game single-player yang mempunyai kesudahan tanpa mode-mode ekstra ini semua. Pastinya mereka mahukan, pastinya kami mahukan. Jadi mungkin ini hanya demonstrasi perubahan strategi daripada EA.”

Mengisahkan seorang Padawan yang terselamat daripada malapetaka Order 66 dan mengembara ke galaksi selepas berakhirnya Jedi Order, ia bakal membawakan genre third-person action adventure.

Star Wars: Jedi Fallen Order akan dilancarkan pada 15 November 2019 untuk PC, PS4 dan Xbox One.

JomKomen!