Bangga melihat anak Malaysia melukis sehingga ke Ubisoft Montreal, Kanada!
Video game kini berkembang menjadi lebih daripada sekadar permainan interaktif semata-mata. Malahan, video game kini merupakan industri mega dan merupakan salah satu medium yang memberi peluang untuk manusiawi berinteraksi secara terus terhadap seni visual yang dihasilkan. Karya ini seterusnya terpampang di skrin lalu membawa erti dan makna lebih mendalam kepada para pemain.
Concept artist adalah individu yang bertanggungjawab untuk menghasilkan seni reka grafik memukau dari karakter sehinggalah ke persekitaran game. Itulah tugas yang diberikan oleh seorang anak Malaysia, Aadi Salman yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.

Aktif dalam bidang seni lukisan lebih daripada 19 tahun, Aadi adalah seorang concept artist berjaya dan telah terlibat dalam penghasilan karakter game-game AAA seperti Far Cry 4 dan Watch Dogs 2 di Ubisoft Montreal.
Dalam artikel ini, JomGaming.my berpeluang untuk menemuramah Aadi tentang detik-detik kerjaya sebagai ilustrator, pelukis komik dan pengalaman beliau bekerja sebagai concept artist di studio game terbesar di dunia.
JomGaming: Boleh beritahu permulaan kerjaya sebagai seorang ilustrator dan concept artist?
Aadi Salman: Saya memulakan karier saya sebagai ilustrator dan pelukis komik di Urban Comics pada sekitar tahun 2001. Saya menimba dan mempelajari banyak ilmu ketika itu seperti menghasilkan susun atur muka depan majalah.
Selepas pembubaran Urban Comics, saya banyak buat kerja-kerja freelance untuk pelbagai klien di luar dan juga dalam negara.

Saya juga pernah buat freelance untuk Volta, sebuah syarikat visual kreatif berpengkalan di Quebec QC, Kanada. Pada tahun 2009, saya ditawarkan untuk bekerja sepenuh masa sebagai concept artist di studio yang memberi khidmat outsourcing dari segi pembangunan visual game untuk pelbagai studio game terkenal seperti Riot (League of Legends) dan WB Games (Shadow of Mordor).

JG: Bagaimana boleh diterima masuk ke Ubisoft Montreal?
AS: Tawaran itu datang daripada rakan sekerja yang pernah berkhidmat di Volta tetapi kini telah menyertai Ubisoft Montreal. Ketika itu, dia mempelawa saya untuk memohon untuk concept artist di studio sama.
Saya berjaya menerima panggilan temuramah melalui telefon bersama penolong pengarah seni (assistant art director) semasa itu. Prosesnya juga mudah kerana mereka telah melihat keseluruhan portfolio saya dan dapat diterima masuk atas cadangan rakan saya.
JG: Apa projek pertama anda di Ubisoft Montreal? Apakah peranan anda buat masa itu?
Projek pertama saya ceburi bersama Ubisoft adalah Far Cry 4. Peranan saya adalah untuk menghasilkan lakaran konsep awal sehinggalah ke gambaran akhir karakter untuk watak utama, Ajay Ghale dan watak-watak lain seperti Amita, Sabal, Yuma serta Pagan Min.

Proses penghasilan aset seni selalunya berada di bahagian awal produksi game development yang makan masa satu tahun setengah berjalan lancar kerana dibantu oleh arahan daripada pengarah seni (art director).
Saya bersama 2 concept artist lain membuat sedikit research tentang perwatakan yang berpadanan lazimnya melalui gambar-gambar yang telah dibekalkan di Ubisoft dan membangunkan moodboard yang diinspirasikan oleh selebriti, pelakon dan sebagainya untuk rujukan profil bagi setiap watak.
JG: Apa kisah di sebalik Pagan Min yang mempunyai penampilan hampir serupa dengan Chef Wan?
AS: (gelak) Ada orang buat gabungan dua gambar antara Pagan Min dan Chef Wan. Selepas itu, mereka dapat tahu pula ada orang Malaysia terlibat dalam development Far Cry 4, jadi mereka betul-betul fikir Chef Wan adalah inspirasi untuk Pagan Min.
Sebenarnya, saya tak terfikir pun akan jadi begini dan ini cuma adalah hasil daripada arahan seni yang diberikan. Tiada sangkut-paut pun. Memang 100% kebetulan. (gelak)
JG: Pada pendapat anda, apa perasaan apabila game zaman kini memberi ruang kepada watak berlainan bangsa dan budaya seperti Watch Dogs 2?
AS: Saya memang sangat teruja dapat menghasilkan karakter pelbagai bangsa dan budaya terutamanya dalam Watch Dogs 2 kerana hampir semua watak mempunyai kepelbagaian budaya menghuni bandar San Francisco, California iaitu sangat berbeza dengan Watch Dogs 1.


Sebagai contoh, Sitara adalah orang India Amerika dan protagonis, Marcus Holloway berketurunan Afrika Amerika.
JG: Adakah anda terlibat dalam Far Cry: New Dawn?
AS: Tidak tapi saya kenal orang yang terlibat dalam projek itu. Setiap tahun, Ubisoft akan mengetengahkan gaya konsep dan seni baru untuk setiap Far Cry. Far Cry 4 lain, Far Cry 5 pun lain dan Far Cry 6 juga akan ada konsep berbeza juga.
JG: Far Cry 6 ada dalam perancangan ke? Apa projek anda seterusnya di Ubisoft?

AS: Far Cry 6? Saya tak tahu (gelak). Untuk projek saya seterusnya, saya baru sahaja menyertai projek For Honor. Ini adalah cabaran seni baru untuk saya kerana sebelum ini, hasil kerja saya lebih fokus kepada seni kontemporari dan moden.
Namun, For Honor tertumpu kepada zaman medieval yang dibahagi kepada Samurai, Knights dan Viking tetapi memandangkan saya baru masuk projek ini, saya tak tahu karakter apa yang saya akan lukis.
JG: Sebagai seorang concept artist khusus kepada karakter, bahagian mana yang anda tumpu terlebih dahulu?

AS: Wajah itu penting dalam pembikinan karakter tetapi saya lebih tumpu kepada postur karakter kerana seluruh gaya badan (body language) depan, tepi dan belakang karakter memainkan peranan besar untuk serlahkan personaliti sesuatu karakter. Kadang-kala, gaya karakter itu berdiri juga ada makna tersendiri.
JG: Apakah game kegemaran anda dan boleh beritahu sebabnya?
AS: Game kegemaran saya sepanjang zaman ialah siri Metal Gear. Saya selalu mengikuti perkembangan game yang dibangunkan oleh Hideo Kojima. Memang tak sabar nak main Death Stranding.
Selain itu, saya juga minat siri Dark Souls dan Bloodborne. Saya tertarik dengan gaya seni gothic dan medieval fantasy dalam game itu. Saya suka main game yang mencabar diri saya dan terpulang kepada diri anda untuk habiskan game.
JomBaca: Dark Souls III: Boleh Beli or Boleh Blah!?
JG: Apa nasihat anda mahu berikan kepada pelukis baru berjinak dalam industri seni kreatif?
AS: Nasihat saya adalah teruskan melukis dan teruskan berlatih. Apa yang paling penting adalah ikut gaya seni sesuai dengan anda terlebih dahulu kerana dari situ, barulah lahirnya fokus yang mendalam. Setiap artis mempunyai gaya kreatif dan kekuatan mereka tersendiri tetapi pada masa yang sama, cubalah cari inspirasi daripada pelbagai sudut seni visual lain. Kalau anda minat concept art, anda boleh lihat kepada hasil seni lain seperti komik, filem, fesyen dan sebagainya.
Komunikasi juga sangat penting kepada seorang artis. Melalui rangkaian sosial yang betul, ini boleh meluaskan skop anda. Saya pun tidak terfikir untuk menjadi concept artist untuk video game kerana saya datang daripada latar belakang pelukis komik. Lebih-lebih lagi, sekarang kita sudah ada Internet, jadi lebih mudah untuk pelukis baru untuk belajar pelbagai bentuk seni.
+++
Itu sahaja sesi temuramah kitorang bersama Aadi Salman. Terima kasih kepada Aadi Salman kerana sudi meluangkan masa bersama kami!
Sumber gambar dari ArtStation dan Instagram Aadi Salman
Comments
Loading…