in , , , ,

Aku OKU. Ini Kisah Bagaimana Video Game Merealisasikan Cita-Cita Bolasepak Ku Pendam Selama Ini

Terima kasih video game.

Zaman Keemasan Bolasepak Aku Di Sekolah

Bagi yang mengenali diri ini, tahulah mereka bahawa aku adalah golongan istimewa. Aku menghidap penyakit yang secara saintifiknya digelar Mucopolysaccharidosis IV (MPS IV). Ya, memang berbelit lidah nak sebut. Aku taip ini pun copy paste dari Wikipedia je.

Aku nak jelaskan pun aku tak berapa nak pandai. Korang bolehlah Google sendiri kalau nak tahu lebih lanjut. Tapi senang cerita, ia merupakan penyakit yang aku ada sejak lahir yang membantutkan tumbesaran fizikal aku, dan membuatkan aku tidak lagi boleh berjalan, apatah lagi berlari.

Aku semasa kecil yang dibasuh dengan ideologi-ideologi bola sepak Itali. Maaf resolusi rendah, gambar lama, kan.

Aku bukanlah tidak boleh jalan sejak lahir. Malah, semasa di bangku sekolah rendah, zaman kanak-kanak aku sama sahaja seperti kanak-kanak riang lain yang boleh berlari pecut, main kejar-kejar, kayuh basikal, main badminton, main bola sepak dan segala aktiviti yang aku memang rindukan sekarang ini.

Seperti kebanyakan insan-insan lain, aku adalah peminat tegar bola sepak. Zaman sekolah dulu, kemikkan tin kosong dan jadikan bola; isi botol air plastik dengan pasir kemudian dijadikan bola — semua itu rutin harian yang memang aku dan rakan-rakan akan lakukan. Ketika subjek PJ, akulah yang paling ke depan untuk menendang bola. Pernah suatu ketika dulu, aku pernah mengimpikan untuk menjadi pemain bola sepak terkemuka antarabangsa. Lol. Zaman budak-budak, kan.

Menginjak Remaja, Persaraan Awal

Namun, semua itu hanyalah kenikmatan yang Tuhan kurniakan semasa awal usia aku. Lama-kelamaan, kekuatan kaki aku, terutamanya di bahagian lutut semakin melemah, lebih-lebih lagi apabila mula memasuki fasa sekolah menengah. Dan kini, pada umur 24 tahun, aku tidak boleh berjalan dengan normal lagi, hanya berjalan secara melutut serta perlu menggunakan kerusi roda jika hendak keluar dari rumah.

Aku dan rakan-rakan SMK La Salle, Klang semasa Majlis Restu Ilmu sebelum mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.

Apa-apapun, bukan itu yang aku nak ceritakan dalam artikel ini. Aku sebenarnya ingin bercerita tentang bagaimana mode FIFA Pro Club telah mengembalikan segala memori aku bermain bola sepak semasa di bangku sekolah dulu dan mungkin telah ‘merealisasikan’ cita-cita aku dulu untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

Aku pertama kali bermain mode Pro Club adalah semasa FIFA 17, yang mana musim lalu, EA Sports telah memberikan dua kali sesi ‘free trial’ game penuh dan aku bersama-sama geng-geng clan WolfPack bermain mode Pro Club. Itu kali pertama aku bermain mode ’11vs11′ secara online dalam siri FIFA, yang mana sebelum ini aku hanya pernah bermain mode Be A Pro (offline).

Liga Pro Club Di Alam Maya

Pertama kali bermain Pro Club dalam FIFA 17, aku sudah terus jatuh cinta. Dan minggu lalu, bersempena E3 2018, EA Sports memberikan pula ‘free trial’ untuk FIFA 18, dan semestinya aku dan geng-geng WolfPack tidak melepaskan peluang untuk bermain Pro Club sekali lagi. Cinta aku terhadap mode ini semakin kukuh.

Bersama geng-geng clan WolfPack semasa gathering di Shah Alam pada tahun 2015.

Bagi mereka yang tak tahu apa itu Pro Club, ia merupakan mode yang seseorang hanya mengawal seorang pemain dalam game sahaja. Berbeza dengan mode tradisional yang hanya membenarkan satu-lawan-satu di mana seorang pemain boleh mengawal mana-mana 11 pemain dalam satu-satu pasukan, Pro Club pula membenarkan maksimum 22 orang pemain dalam satu-satu game.

Ia merupakan mode yang paling dekat dengan permainan bola sepak dunia sebenar, secara tak langsung mengingatkan kembali aku kepada sesi permainan aku semasa kecil. Mengawal seorang sahaja pemain dalam satu-satu game FIFA benar-benar membuat aku rasa seperti sedang bermain bola sepak di dunia luar.

Bangkit Menyerang Di Padang Bola Elektronik

Posisi kegemaran aku adalah Attacking Midfielder. Sebab idola aku adalah Zinedine Zidane dan Steven Gerrard. Apabila bermain Pro Club, aku perlu jaga posisi aku. Aku perlu membuat larian-larian off-the-ball yang boleh membuka ruang kepada rakan. Aku perlu menjerit kepada rakan sekiranya aku kosong untuk di-pass.

Apabila dapat menjaringkan gol, ia satu nikmat yang sukar untuk digambarkan. Yelah, kita bermain dengan mengawal seorang pemain sahaja. Nak dapat bola pun susah, apatah lagi untuk jaringkan gol. Namun, aku bukanlah terlalu mengejar jaringan. Aku lebih senang untuk assist kepada rakan-rakan dan menjadi Playmaker yang disegani. Ehem.

Pro Club benar-benar menaikkan aura bola sepak sebenar yang aku rindukan sejak beberapa tahun lalu. Sebelum game bermula, semua rakan sepasukan perlu berbincang, bagaimana corak permainan yang akan kita main nanti. Setiap posisi diambil oleh pemain yang paling sesuai. Setiap percubaan akan diberikan galakan yang baik. Setiap gol akan diraikan bersama-sama. Kalau ada pemain yang buat ‘hal’, dia akan dimaki beramai-ramai. Setiap momen-momen lucu akan diketawakan bersama-sama.

Apa yang membezakan bermain bola sepak di dunia sebenar dengan bermain FIFA Pro Club adalah di dunia sebenar, saat-saat ini dilalui bersama di atas padang, sesuatu yang aku tidak boleh lagi lakukan, manakala dalam FIFA Pro Club pula, ia dikongsi bersama dalam Party Chat.

Antara PES dan FIFA Di Hatiku

Bagi pembaca-pembaca yang tidak mengenali aku, korang mungkin akan berkata, “Pro Club ini dah lama kot ada dalam FIFA, kenapa FIFA 17 baru nak main?”

Ya, aku adalah peminat setia siri Winning Eleven/Pro Evolution Soccer (PES) sejak azali. Dari zaman PS1 lagi, aku sentiasa bermain PES dan menyentuh game FIFA ini umpama ‘dosa’ kepada aku. Haha! Aku sebelum itu hanya bermain Become Legend (offline) dalam siri PES. Jadi, sebab itulah, hanya pada FIFA 17, yang diberikan sesi percubaan percuma, barulah aku mencuba Pro Club ini.

Rakan-rakan yang mengenali aku pula mungkin akan terkejut dengan artikel aku pada kali ini. Korang pasti akan berkata, “Kau bukan peminat setia siri PES ke? Dalam PES pun ada mode ’11vs11′ ni. Kenapa beriya-iya mengangkat bakul FIFA ini?”

Jangan salah faham. Kesetiaan aku kepada PES masih lagi utuh. Gameplay di atas padang (on-the-pitch gameplay) dalam PES masih lagi bertakhta di hati aku. Aku masih lagi sukakan gameplay di atas padang yang ada dalam PES kerana bagi aku, PES menyajikan gerakan dan pengalaman yang lebih smooth, realistik dan mantap berbanding FIFA.

Ya, PES juga mempunyai mode ’11vs11′ online iaitu dipanggil Team Play. Tetapi, korang perlu tahu apa yang ditampilkan dalam Team Play dalam PES dan Pro Club dalam FIFA. Dan perbezaannya sangat ketara.

FIFA Pro Club – Memikat Dalam Diam

Apa yang ingin aku puji tentang Pro Club yang ada dalam siri FIFA adalah bagaimana gameplay di luar padangnya (off-the-pitch gameplay) yang membuatkan aku dan pemain-pemain Pro Club lain sentiasa ingin kembali dan bermain lagi dan lagi mode ini. Longevity yang lebih berkesan dalam Pro Club.

Pro Club akan dimulakan dengan penciptaan karakter. Pemain perlu memilih segala ciri-ciri asas untuk menjadi pemain bola sepak seperti memilih posisi, ketinggian, berat badan, kekuatan kaki (kidal atau kanan), dan banyak lagi. Kemudian, pilih pula bentuk penampilan — nak rambut macam mana, pakai but apa, nak pakai sarung tangan ataupun tidak dan macam-macam lagi.

Seterusnya, pemain Pro Club akan membentuk/menyertai kelab-kelab yang boleh diberikan nama. Maka, pemain dan rakan-rakan sepasukan akan berkumpul untuk naikkan kelab itu ke Division-Division seterusnya. Ada format liga, ada format piala dan ada juga custom match yang boleh adakan perlawanan persahabatan antara kelab-kelab lain.

Karakter yang telah dicipta akan meningkat naik statistiknya sedikit demi sedikit, bergantung kepada prestasi karakter tersebut dalam setiap perlawanan. Kemudian, ada pula skill rating yang perlu diisi pemain. Skill rating ini menggunakan skill tree seakan-akan elemen dalam game RPG. Pemain ada pilihan sama ada ingin kuatkan karakter tersebut di bahagian mana. Nak kuatkan Shooting? Finishing? Tackling? Passing? Physical Strength? Pilihlah ikut cara bermain masing-masing.

Peluang PES Untuk Merealisasikan Impian Aku Pula

Mode Team Play dalam PES agak berlainan daripada Pro Club dalam FIFA. Ya, Team Play adalah mode 11vs11 online juga, yang mana kita akan turut mengawal seorang pemain sahaja. Tetapi mode ini hanya one-off exhibition sahaja. Ia hanya memberikan pemain untuk memilih kelab dari dunia sebenar, kemudian menggunakan sahaja pemain sedia ada dalam kelab itu.

Maksudnya, sebagai contoh, pasukan A pilih Barcelona dan pasukan B memilih Liverpool. Pemain-pemain dalam pasukan A boleh pilih pemain-pemain seperti Messi, Coutinho dan lain-lain, dan pasukan B boleh pilih pemain seperti Salah, Mane dan lain-lain. Satu perlawanan tamat, ia habis begitu sajalah. Tiada sistem matchmaking, tiada rekaan karakter, tiada kelab sendiri untuk dibentuk/disertai, tiada sistem ranking.

Inilah yang membuatkan Team Play dalam PES sangat hambar. Tiada sense of belonging kepada pemain kerana tiada penciptaan karakter sendiri, serta tiada perasaan sayang kepada kelab kerana ia hanya one-off game yang menggunakan kelab-kelab sedia ada dari dunia sebenar.

Sebab itulah aku ingin utarakan satu pendapat yang mungkin tidak berapa popular ini.

Konami harus membangunkan versi Pro Club mereka sendiri dengan segera. PES harus ‘meniru’ FIFA dalam kes ini kerana aku secara peribadinya berpendapat, sekiranya PES mempunyai mode yang sekurang-kurangnya sama baik seperti Pro Club, jika tidak lebih baik, PES akan menyajikan sebuah mode yang lebih mantap daripada siri FIFA.

Cuba korang bayangkan, siri PES kini mempunyai sebuah fungsi yang membenarkan kita memasukkan patch ke dalam game. Kita boleh mewujudkan logo dan jersi kita sendiri dengan kelab yang kita bentuk sendiri. Fungsi ini telahpun digunakan dalam myClub, mode pesaing kepada FIFA Ultimate Team.

Bayangkan kita boleh membentuk sebuah pasukan dengan nama, logo dan jersi sendiri dalam PES, pastinya pasukan-pasukan ini akan menjadi lebih unik dan lebih bersifat personalized berbanding pasukan-pasukan dalam FIFA Pro Club yang mana hanya menggunakan logo dan jersi dari pasukan sebenar sedia ada.

Cita-Cita Bolasepakku Tidak Lagi Terkubur

Aku benar-benar berharap agar Konami membawakan mode ’11vs11 online’ yang lebih mantap dalam PES 2019. Dengan gameplay di atas padang yang menjadi pujaan aku, kemudian ditambah pula dengan ciri-ciri seperti dalam FIFA Pro Club, pasti aku akan tidak berganjak daripada mode ini. Namun, daripada apa yang mereka promosikan setakat ini untuk PES 2019, nampaknya aku perlu menunggu lebih lama lagi untuk menjadi ‘pemain bola sepak profesional’ dalam PES.

Kemungkinan besar, buat pertama kalinya, tahun ini aku akan membeli kedua-dua game bola sepak ini — membeli PES 2019 untuk mengekalkan kesetiaan aku kepada gameplay di atas padangnya yang mantap, serta membeli FIFA 19 untuk meneruskan merealisasikan cita-cita aku sejak kecil dalam mode Pro Club.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

Leave a Reply
  1. Apa itu plastik? Pernahkah anda tertanya-tanya tentang komposisi kimia plastik atau bagaimana ia dibuat?

    Kebanyakan plastik moden adalah berdasarkan bahan kimia organik yang menawarkan pelbagai jenis sifat fizikal kepada pengeluar.

    Jadi, di dalam artikel ini, kami akan berkongsi maklumat asas mengenai plastik, jenis-jenisnya dan juga kepentingannya di dalam kehidupan pada masa ini.

JomKomen!

Loading…

0

Punca Sony Tidak Mahu Benarkan Cross-Play Adalah Kerana Duit Semata-Mata, Kata Bekas CEO Sony Online

DotA 2: The International 2018 – Berapa Banyak Prize Pool Kali Ini?