[KEMASKINI]: Dalam satu kenyataan media pembetulan yang diedarkan Microsoft, mereka telah mengatakan yang previu untuk PC Game Pass sebenarnya hanya mengenakan caj sebanyak RM0.50 sahaja, bukan RM1 seperti yang dilaporkan sebelum ini.
[LAPORAN ASAL]:
Setelah sekian lama pasaran Asia Tenggara menanti, berita gembira ini akhirnya diumumkan oleh Microsoft.
Mulai 29 Mac 2022, pemain dari beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam boleh mendaftar untuk previu PC Game Pass yang memberikan akses kepada lebih 100 game berkualiti tinggi.
Katalog dalam PC Game Pass ini termasuklah game-game keluaran Xbox Game Studios baharu yang tersedia pada hari pertama pelancaran, game-game Bethesda, dan langganan EA Play.

Kepada yang berminat, previu PC Game Pass ini boleh dicuba melalui aplikasi Xbox Insider.
Paling menarik tentang previu ini adalah ia mengenakan bayaran hanya RM1. Apabila previu ini tamat, iaitu masih belum diumumkan bila, seterusnya PC Game Pass dilancarkan sepenuhnya, harga normal langganan PC Game Pass adalah RM15.
Antara objektif sesi previu ini adalah untuk membina dan menguji sistem pembayaran tempatan.
Dalam kenyataan media yang diedarkan, Microsoft berkata sebagai langkah pertama untuk menyediakan akses PC Game Pass ke rantau ini, pemain boleh menguji dan berkongsi maklum balas supaya servis ini terus menambah baik setiap aspek perkhidmatan.
Microsoft akan berkongsi maklumat lanjut tentang cara untuk menyertai PC Game Pass apabila perkhidmatan tersebut dilancarkan di rantau Asia Tenggara.
“Di Xbox, misi kami memang mudah, untuk membawakan keseronokan dan komuniti permainan kepada semua insan di bumi. Langkah membawakan PC Game Pass ke negara-negara baharu di Asia Tenggara adalah sebahagian penting daripada usaha kami untuk mencapai matlamat ini dan mendapatkan berbilion pemain,” kata Jeremy Hinton, Ketua Perniagaan Xbox Asia.
“PC Game Pass menawarkan rangkaian luas permainan bermutu tinggi daripada pelbagai studio permainan, dengan pengalaman dari setiap genre permainan. Xbox Insiders akan mendapat peluang pertama untuk menikmati pengalaman yang ditawarkan PC Game Pass dan tidak sabar-sabar untuk menyediakannya kepada lebih ramai pemain tidak lama lagi.”
Harus diingat, pengumuman ini hanyalah untuk PC Game Pass, dan bukannya Xbox Game Pass. Seperti kita tahu, sehingga hari ini, Microsoft masih belum membawa masuk jenama Xbox secara rasmi ke pasaran Malaysia.
Kami berharap agar permulaan previu PC Game Pass ini menjadi langkah pertama Microsoft untuk lebih mendekati gamer di rantau ini, seterusnya membawa masuk Xbox secara rasmi ke lebih banyak negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Comments
Loading…