in , , , , ,

AirAsia Saiyan Tarik Diri Daripada Mobile Legends SEA Cup 2018 Di Indonesia Sebagai Tanda Protes

Apabila ada sahaja pasukan Malaysia menjejakkan kaki ke Indonesia, pasti tidak terlepas daripada berlakunya kontroversi.

Sumber gambar: AirAsia Saiyan.

Kejohanan Mobile Legends terbesar rantau ini, Mobile Legends Southeast Asia Cup (MSC) 2018 sedang berlangsung pada hujung minggu di Jakarta, Indonesia. Ia membawakan 10 pasukan terbaik dari 7 buah negara Asia Tenggara.

Satu-satunya wakil dari Malaysia AirAsia Saiyan (ASYN) telah mengumumkan yang pasukan mereka telah menarik diri daripada kejohanan ini selepas timbul bermacam kontroversi. Penarikan ini telah diumumkan oleh mereka melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi mereka.

Kontroversi berlaku atas dasar memprotes tindakan pihak penganjur, iaitu RevivalTV yang memaksa pasukan ASYN untuk mengadakan perlawanan semula (rematch) dengan pasukan dari Indonesia, iaitu Aerowolf.

Jam 11 malam tadi, pasukan ASYN telahpun mengesahkan slot mereka ke separuh akhir, namun kira-kira 1 pagi, pihak RevivalTV, Mooton dan Aerowolf telah berjumpa dengan pengurusan ASYN untuk berbincang sesuatu.

Isu timbul apabila berlaku kekeliruan dengan kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini. Pihak penganjur menjelaskan bahawa pasukan Aerowolf telah menandatangani kontrak yang berbeza dengan ASYN pada 3 Julai 2018 semasa sidang media MSC 2018. Kontrak Aerowolf adalah dalam bahasa Indonesia dan mereka juga menunjukkan buku peraturan pertandingan yang baru yang ditandatangani oleh pasukan Aerowolf dan RevivalTV.

Oleh itu, terdapat dua kontrak berbeza antara pasukan yang terlibat dengan MSC 2018, dan selepas perbincangan yang telah berlangsung selama 2 jam, pihak penganjur memutuskan untuk mengadakan rematch antara ASYN dan Aerowolf bagi menyelesaikan isu ini — dan sekiranya ASYN menolak, pasukan mereka akan disingkirkan (disqualify).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh ASYN:

“Kami berasa ini adalah satu keputusan yang tidak adil kerana kesalahan daripada pihak RevivalTV tidak sepatutnya menjejaskan integriti pertandingan ini, terutamanya apabila pengumuman kepada semua pihak telah diputuskan pada pukul 11 malam semalam. ”

“Sebagai wakil Malaysia di MSC, kami bersependapat bahawa integriti pertandingan amat penting untuk pembangunan esukan di Asia Tenggara, dan ianya bukanlah sesuatu yang kami boleh bertolak ansur dua kali, dalam dua hari pertandingan MSC ini.”

Pada hari pertama, bantahan ASYN untuk rematch telah ditolak selepas Aerowolf tidak bersetuju untuk melakukannya. Maka, ASYN berpendapat bahawa untuk kes ini, mereka mempunyai hak untuk menolak rematch untuk slot separuh akhir.

ASYN turut bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap RevivalTV atas kontrak yang telah mereka tandatangi sebelum ini.

“Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak RevivalTV kerana kontrak kami yang ditandatangi antara pihak ASYN dan RevivalTV.”

“Kami kecewa, tetapi kami percaya bahawa ini adalah keputusan yang betul demi pembangunan esukan untuk masa depan. Sekali lagi, kami ingin memohon maaf kepada penyokong-penyokong ASYN dan juga rakyat Malaysia kerana gagal mengibarkan bendera Malaysia pada hari ketiga MSC 2018.”

“Akhirnya, kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Aerowolf di peringkat separuh akhir MSC nanti.”

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Beberapa Screenshots Mengagumkan Terbaru Dalam Mod Fallout: New York Telah Dikongsikan

Senjata Kontroversi, Guided Missile Akan Kembali Dalam Fortnite Battle Royale