in ,

Ahli Parlimen UK Mahu Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap Scalper PS5 – “Tidak Adil Kepada Pemain”

Konsol generasi terkini, PS5 dan Xbox Series X, mungkin sudah dilancarkan secara rasmi lebih daripada dua bulan. Namun, di Malaysia, seperti mana negara-negara lain, termasuk United Kingdom (UK), ramai pemain tidak dapat memilikinya kerana ketiadaan stok.

Punca asal ketiadaan stok tentunya kerana situasi pandemik global menyebabkan produski PS5 tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang. Walau bagaimanapun, ada satu isu yang mengeruhkan lagi keadaan, iaitu beberapa individu yang membelinya secara pukal, kemudian menjualnya dengan harga yang melambung tinggi — atau biasa kita panggil mereka ini sebagai ‘scalper’.

Kemarahan para pemain ini nampaknya telah mendapat perhatian beberapa ahli parlimen di UK, dan mereka sedang berusaha untuk membuat kerajaan di sana mengambil tindakan terhadap perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini, lapor GamingBible.

Ahli Parlimen Scottish National Party, Douglas Chapman mendedahkan yang beliau sedang mencadangkan satu bil yang mana akan menyelesaikan isu ini. Menurutnya, pada ketika ini, kebanyakan pengguna tidak mendapat akses adil kepada pasaran, yang mana ia merupakan satu masalah.

“Ia bukan semata-mata tentang pengguna mahu banyak stok dalam permintaan, [sebenarnya tentang] satu produk yang sangat mengujakan sedang dibeli secara pukal,” kata Chapman. “Ia tidak memberi pengguna biasa akses adil kepada pasaran.. Ia sangat tidak adil kepada orang biasa yang hanya mahu bermain game mereka atau memberikan hadiah kepada anak mereka semasa Krismas. Situasi ini akan menjadi bertambah teruk dan teruk.”

Chapman menambah yang beliau kecewa dengan respon kerajaan setakat ini terhadap isu scalper tersebut. Enam ahli Scottish National Party pada lewat tahun lalu telah menggerakkan cadangan legislatif untuk “mengharamkan penjualan semula konsol gaming dan komponen komputer pada harga yang terlalu tinggi daripada harga pasaran yang diusulkan oleh pengilang.”

Menurut Chapman lagi, pada ketika ini, hanya 30 ahli parlimen yang menyokong gerakan ini, menandakan ia sesuatu kerja yang agak sukar untuk terus menekan kerajaan bagi memandang perkara ini secara serius.

Semoga mereka berjaya mendesak kerajaan di sana memandang serius terhadap situasa ini, seterusnya menggerakkan kerajaan di negara-negara lain, termasuk Malaysia, agar mengambil tindakan keras terhadap mereka yang sebenarnya menindas hak orang lain ini.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Cooler Master Releases New Lightweight 49g Gaming Mouse, the MM720

Gabe Newell Mempertahankan CD Projekt Red Atas Pelancaran Teruk Cyberpunk 2077