Bertanding sudah, harumkan nama negara pun sudah. Tetapi hadiah dijanjikan kepada para pemenang masih belum kelihatan. Pihak penganjur, Platinum Eden Sdn Bhd masih berdiam diri. Apa dah jadi?

ages_timeline-cover_v2

ASEAN Games for E-Sports 2016 (AGES2016) merupakan temasya sukan elektronik terbesar yang pernah diadakan di Asia Tenggara dengan tawaran hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM1,000,000! Acara ini menyaksikan penyertaan dari 7 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja.

img_5161-large

Pada peringkat Grand Finals AGES 2016 pada 29 Mei 2016, kita menyaksikan bagaimana peserta-peserta Malaysia dalam acara FIFA 16, Counter Strike: Global Offensive (CS:GO) dan Defense of the Ancients 2 (DotA 2) telah mengharumkan nama negara setelah dinobat sebagai Raja eSports Asia Tenggara!

Happy Ending? Tidak Sama Sekali!

Selepas beberapa bulan, mula kedengaran rungutan dan aduan di media sosial berkenaan kelewatan pihak penganjur melunaskan bayaran hadiah wang kemenangan kepada para pemenang.

Antara yang menjadi rungutan utama pada ketika itu adalah kesukaran untuk menghubungi admin bagi Facebook AGES 2016 itu sendiri dalam menjelaskan isu ini. Pelbagai kenyataan PR dikeluarkan tetapi tiada tindakan susulan diambil menimbulkan rasa tidak puas hati dan amarah di kalangan pemenang dan peminat eSports tanahair. Kerana kesukaran ini, maka para pemenang mula mencari dan menyalahkan pihak-pihak yang terlibat dalam penganjuran AGES 2016 ini.

agesbanner

Berikutan daripada tu, bermulalah episod tuding-menuding jari di antara pihak penganjur Platinum Eden Sdn. Bhd., agensi pengiklanan Friends Worldwide Sdn. Bhd. yang dilantik Platinum Eden untuk menjaga Event Management & Communications AGES 2016 dan Esports Malaysia (ESM), organisasi yang menyelia sebarang kegiatan eSports di Malaysia, ditubuhkan di bawah kelulusan dan perhatian Kementerian Belia Dan Sukan (KBS). Acara AGES2016 telah mendapat kelulusan daripada ESM dan KBS.

Kenapa Gaduh-Gaduh Ni? Cuba Cerita Sikit.

Berbangkit daripada kerisauan kami di JomGaming terhadap kemelut yang melanda arena eSports tanahair, kami segera menghubungi Friends Worldwide selaku Event Management & Communications AGES 2016, bagi mendapatkan komen mereka.

Soalan pertama kami adalah, siapakah yang mengendalikan page Facebook AGES 2016? Kerana semua komen rungutan dan persoalan berkenaan hadiah wang kemenangan tidak dijawab dengan sempurna, malahan menimbulkan kesan negatif kepada brand image AGES 2016 itu sendiri.

Seorang sumber dari Friends Worldwide yang tidak mahu dinamakan berkata, “Ianya (Facebook AGES 2016) dikendalikan oleh pihak third-party (vendor)” di bawah kendalian mereka (Friends Worldwide).

Berikutnya, kami bertanyakan, adakah Platinum Eden menghadapi masalah melunaskan pembayaran wang kemenangan tersebut? Sumber kami berkata, “Wang kemenangan tersebut sudah tersedia, cumanya Platinum Eden perlu menyelesaikan beberapa masalah berbangkit dahulu.”

Apakah masalah berbangkit tersebut? Disini, sumber kami enggan meneruskan perbualan, lalu kami diminta bertanya terus kepada pihak-pihak yang terlibat. Beberapa nama diberikan seperti En. Ghin Farn / Ghin Chung, wakil daripada Platinum Eden, En. Rinie bin Ramli, Setiausaha Agung ESM dan En. Rizal Rozali, Head of Client Management di Friends Worldwide.

en-rizal-rozali

Kami berbual pula dengan En. Rizal Rozali, Head of Client Management di Friends Worldwide. Menurut beliau, benar bahawa “Platinum Eden adalah pihak penganjur AGES 2016 dan ESM adalah badan yang meluluskan penganjuran acara tersebut.”

Beliau menambah, “Sememangnya pembayaran hadiah wang tunai kepada pemenang sepatutnya datang daripada Platinum Eden. Malahan Friends Worldwide sendiri belum menerima sebarang pembayaran daripada Platinum Eden. Kerana itulah juga tiada sebarang jawapan di Facebook AGES2016, kerana vendor yang menjaga Facebook AGES 2016 juga belum dibayar.”

Apabila kami menyoalkan masalah berbangkit yang dihadapi Platinum Eden, beliau berkata, “Kemungkinan terdapat salah faham di antara Platinum Eden dan ESM di dalam mengumpulkan dana RM1,000,000 bagi AGES2016.”

en-ghin-farn-ghin-chung

Kami seterusnya cuba menghubungi En. Ghin Farn / Ghin Chung, wakil daripada Platinum Eden bagi mendapatkan komen daripada Platinum Eden.

Tetapi sehingga ke hari ini, masih tiada jawapan. (Kami di JomGaming memohon pihak Platinum Eden untuk menghubungi kami di [email protected] bagi menjelaskan situasi mereka dalam isu ini)

en-rinie

Kami kemudiannya menemubual En. Rinie bin Ramli, Setiausaha Agung ESM. Kami terus bertanyakan masalah sebenar kepada isu ini, apakah sebenarnya perjanjian di antara Platinum Eden dan ESM? Beliau berkata beliau tidak boleh menjawab secara spesifik, tetapi secara dasarnya perjanjian tersebut adalah; “Platinum Eden akan menyumbangkan RM1,000,000 wang hadiah kemenangan dan menampung semua kos dan belanjawan AGES 2016, dan ESM akan mengiktiraf AGES 2016 dan mendapatkan sokongan penganjuran dari negara ASEAN yang lain. Selain itu ESM juga akan membantu dari segi nasihat teknikal dan bantuan untuk menghubungkan Platinum Eden dengan brands dan vendors untuk tajaan berdasarkan ihsan.”

Jadi, apakah sebenarnya masalah berbangkit yang dihadapi Platinum Eden? “Platinum Eden mendakwa mereka tidak berjaya untuk mendapat wang tajaan yang secukupnya disebabkan kos penganjuran yang tinggi. Walhal merekalah yang sentiasa cuba menyakinkan kami bahawa mereka mempunyai dana yang cukup untuk menampung semua kos!”

Adakah bantuan hubungan tajaan tersebut berjaya dikumpulkan oleh pihak ESM? “Ya, ESM berjaya melunaskan bahagian kami di dalam perjanjian tersebut. Sekarang kami hanya menunggu maklumbalas daripada pihak Platinum Eden tentang bilakah sebenarnya mereka akan melunaskan bayaran wang kemenangan yang dijanjikan,” kata En. Rinie lagi.

Selain daripada menunggu jawapan daripada Platinum Eden, apakah usaha lain yang dilakukan oleh pihak ESM dalam memastikan para pemenang akan mendapat hadiah wang kemenangan mereka? “ESM telah merujuk kepada pihak guaman bagi memastikan langkah-langkah yang sepatutnya diambil dalam menjaga kepentingan bukan sahaja para pemenang, bahkan para marshals, casters dan vendors yang terlibat dalam menjayakan AGES 2016.”

“Untuk itu, ESM telah berhubung terus dengan pihak-pihak yang terlibat di dalam AGES 2016 dengan mengeluaran borang online* bagi mengumpulkan rungutan dari para pemenang yang belum menerima hadiah mereka.” *Borang online tersebut boleh dicapai di SINI

“ESM juga telah bertemu dengan pihak Platinum Eden melalui mesyuarat-mesyuarat bagi mendapatkan maklumbalas seterusnya daripada mereka. Hasil daripada mesyuarat tersebut, Platinum Eden telah mengeluarkan kenyataan berikut di Facebook AGES 2016. Mereka berjanji untuk mengeluarkan kenyataan pada 19 September 2016.”

agesannouncement

Tapi, sehingga ke hari ini (21 September 2016), Platinum Eden masih belum mengeluarkan sebarang berita/kenyataan. Sehinggakan salah seorang pemenang AGES 2016, En. Amirul Afandi telah mengeluarkan kenyataan begini di Facebook peribadi beliau.

amirul

Untuk makluman semua, En. Amirul Afandi, atau lebih dikenali sebagai AmTuah di kalangan penggemar game FIFA, merupakan Juara peringkat Asia Tenggara bagi acara FIFA 16 di AGES 2016. Beliau dijanjikan hadiah wang kemenangan sebanyak RM34,400. Wang kemenangan ini masih belum dilunaskan oleh pihak penganjur, Platinum Eden.

ages

Jadi, Apa Situasinya Dengan Platinum Eden Ni Sekarang?

JomGaming telah mengeluarkan artikel pengenalan bagi Platinum Eden semasa menghampiri kemuncak AGES 2016. Melalui artikel tersebut, kami telah melaporkan bahawa Platinum Eden, syarikat yang terlibat di dalam industri perlombongan, hartanah dan perdagangan antarabangsa itu telah menyumbangkan RM1,000,000 sebagai hadiah wang kemenangan.

222

Lebih meyakinkan kami pada waktu itu adalah status Pengasas dan Pengarah Urusan Platinum Eden Sdn. Bhd (PESB), En. Muhammad Taqiuddin, adalah anak kepada tokoh korporat billionaire Malaysia yang disegani, Tan Sri Halim Saad!

Bukan itu sahaja, En. Muhammad Taqiuddin dilihat hadir di press conference yang mengumumkan AGES 2016. Ini meyakinkan kami akan penglibatan individu tersebut. Tak sangka begini pula jadinya.

AGES-Picture-01

AGES-Picture-02

Melihatkan sikap Platinum Eden yang memilih untuk berdiam diri, tindakan undang-undang yang sewajarnya mungkin merupakan pilihan terbaik bagi menyelesaikan isu ini.

Kami di JomGaming berharap pihak Platinum Eden dapat menyegerakan urusan pembayaran hadiah wang kemenangan dan juga pembayaran perkhidmatan kepada pihak-pihak yang terbabit. Bukan apa, tak sedaplah industri eSports kita dicacatkan dengan masalah sebegini.

Akhir Kata

Bagi mereka yang masih menunggu dan terus menunggu, samada anda dari pihak pemenang, marshals, casters mahupun vendors dan tenaga kerja – hubungilah Esports Malaysia bagi aduan anda.

Sememangnya isu ini menjadi masalah sensitif yang melibatkan masa, tenaga dan sejumlah wang yang besar bagi semua pihak yang terbabit.

Janganlah kita menuding jari tanpa usul siasat. Sebaliknya sama-sama kita ketepikan emosi dan perbezaan pendapat dalam memastikan hak-hak mereka yang terlibat akan mendapat kesudahan yang sewajarnya.

JomGaming akan mengemaskini artikel ini sekiranya ada berita dan perkembangan terbaru. Sama-sama kita nantikan berita selanjutnya daripada pihak-pihak terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.