Beberapa hari lalu, seorang peminat, whattheefth telah memuatnaik beberapa gambar di Reddit, yang mana beliau mencipta rekaan PS5 yang bertemakan PS2. Sememangnya ia kelihatan sungguh menawan, dan korang boleh lihatnya di bawah:
(Katanya rekaan tersebut bertemakan ulangtahun ke-30 PlayStation. Tidak pasti mengapa ‘ke-30’ sedangkan tahun ini, PS1 baru berusia 26 tahun)
Setelah post di Reddit itu mendapat perhatian dan permintaan ramai, daripada hanya sebuah rekaan untuk suka-suka, beliau telah memutuskan untuk benar-benar mencipta rekaan tersebut untuk PS5 sebenar. Menurut GamingBible, laman web Sup3r5.com telah dibuka untuk mula menerima pra-tempah rekaan itu bermula 5 Januari ini.
Harga yang ditawarkan untuk rekaan bertemakan PS2 ini ialah USD99 (sekitar RM398) untuk controller DualSense dan USD649 (sekitar RM2,610) untuk konsol PS5.
Pra-tempah ini hanya dibuka untuk bilangan unit yang agak terhad — iaitu 500 unit DualSense dan 304 unit konsol. Memandangkan Sony buat masa ini secara rasminya hanya menawarkan satu warna sahaja iaitu berwarna putih, tentunya pra-tempah ini bakal laris dengan begitu pantas sekali.
Walau bagaimanapun, ramai menjangkakan yang pra-tempah ini akan mendapat tindakan undang-undang daripada Sony memandangkan mereka mencipta rekaan ini tanpa kebenaran Sony — sama seperti jualan plat sisi yang dijual sebelum pelancaran PS5 dulu lagi.
Comments
Loading…