Saban tahun, E3 menjadi acara gaming tahunan yang paling ditunggu kerana ia akan menjadi pentas utama syarikat gaming gergasi untuk mendedahkan perancangan terbaharu mereka.
Walau bagaimanapun, disebabkan situasi global yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19, E3 2020 telahpun dibatalkan, dan banyak syarikat gaming mengambil keputusan untuk mengadakan acara masing-masing secara online pada sekitar waktu E3 2020 sepatutnya berlangsung iaitu sekitar Jun.
Penganalisis industri terkemuka, Daniel Ahmad telah mendedahkan bahawa ada penerbit dan pembangun game yang akan mengumumkan sesuatu di sekitar minggu E3 2020, namun ada juga yang akan mendedahkan sesuatu lebih awal.
Pendedahan lebih awal ini, katanya, akan turut melibatkan Sony dan Microsoft yang akan mengadakan acara pendedahan lebih lanjut secara rasmi untuk konsol generasi akan datang mereka, PlayStation 5 dan Xbox Series X.
https://twitter.com/ZhugeEX/status/1251961178961698816?s=20
Laporan senada juga telah dilaporkan oleh Video Games Chronicles, yang mana menurut sumber mereka, acara pendedahan untuk PS5 akan diadakan pada bulan Mei ini.
Walau bagaimanapun, kedua-dua sumber laporan ini juga mengatakan perkara yang sama iaitu acara pendedahan awal ini merupakan perancangan asal Sony, maka ada kemungkinan yang ia mungkin boleh berubah disebabkan situasi pandemik ini. Malah penundaan tarikh pelancaran The Last of Us Part II telah membuktikan banyak rancangan awal Sony telah terganggu, seperti yang kami laporkan sebelum ini.
Sekiranya laporan ini sahih, dan ianya masih lagi mengikut perancangan awal, kita mungkin akan dapat mengetahui lebih lanjut tentang PS5 dan Xbox Series X dalam masa kurang dari sebulan lagi. Sama-sama kita bersabar.
Comments
Loading…