Setiap keputusan terletak di tangan anda.

Antara filem di Netflix yang sedang hangat dibualkan di Internet pada masakini adalah Black Mirror: Bandersnatch — sebuah filem interaktif yang diambil daripada siri Black Mirror.

Bagi anda yang belum tonton/cuba main filem interaktif ini, ia merupakan sebuah filem yang memberikan kebebasan kepada para penonton apakah yang perlu dilakukan oleh watak utamanya, seorang penggodam muda bernama Stefan Butler. Di akhir ceritanya nanti, setiap penonton akan mendapat penamat (ending) yang berbeza, bergantung kepada keputusan yang dibuat sepanjang perjalanan filem ini.

Bagi penonton umum, pastinya filem interaktif seperti ini sesuatu yang amat mengagumkan. Namun, bagi gamer yang pernah atau sering bermain video game interaktif, pastinya sudah tidak hairan lagi dengan pendekatan seumpama ini.

Jadi, apakah game interaktif yang terbaik di luar sana? Jom kita tengok 9 game interaktif yang perlu anda mainkan.

1. Life is Strange

Life is Strange mengisahkan seorang pelajar bernama Max Caulfield mempelajari seni foto di Blackwell Academy dalam perspektif berbeza. Selepas kejadian ribut dahsyat melanda Arcadia Bay, Max dikurniakan dengan kuasa luar biasa yang membolehkan dia mengawal masa sekaligus mempengaruhi hubungan Max di antara karakter-karakter lain terutamanya terhadap rakan baiknya, Chloe Price.

Antara game yang mempunyai penceritaan terbaik, Life is Strange penuh dengan pilihan emosional yang semestinya meruntun jiwa anda. Untuk pengetahuan anda, sekuelnya, Life is Strange 2 pula telah melancarkan episod pertamanya, daripada lima episod yang dijadualkan. Selain itu, kalau anda mahu mengetahui lagi jalan cerita di Arcadia Bay, anda boleh bermain prekuelnya menerusi perspektif Chloe bertajuk Life is Strange: Before The Storm.

2. Detroit: Become Human

Game ini membawa pemain dalam mesin masa 20 tahun ke hadapan di bandar Detroit, Amerika Syarikat. Pada tahun 2038, teknologi android dipasarkan secara meluas oleh CyberLife bagi membantu manusia dalam segala aspek pekerjaan dan cukup patuh terhadap segala arahan manusia.

Namun, secara perlahan-lahan, kebanyakan android semakin menyimpang jauh daripada kod program asal mereka. Malahan, robot seakan manusia ini membentuk naluri kesedaran mereka tersendiri dan boleh merasakan emosi simpati, ketakutan dan keberanian saling tak tumpah seperti insan biasa. Anda akan bermain sebagai Kara, Connor dan Markus — menelusuri dunia revolusi robotik yang penuh cacamarba.

JomBaca: Detroit: Become Human: Boleh Beli or Boleh Blah!?

3. Telltale’s The Walking Dead

Diinspirasikan dari komik terkenal yang juga melancarkan siri TV terkenal, The Walking Dead menampilkan sekumpulan manusia cuba melangsungkan hidup dalam dunia penuh dengan zombi. Dengan naratif hampir sama seperti Kara dan Alice dalam Detroit: Become Human, musim pertama The Walking Dead mengikut jalan cerita Lee Everett yang disabitkan kesalahan membunuh tanpa sengaja berjumpa dengan seorang budak kecil bernama Clementine dan dia harus melindungi Clementine dari sebarang serangan zombi.

Game berbentuk episodik ini sudah dibangunkan selama tiga musim dan dilancarkan dalam satu koleksi gempak berjudul The Walking Dead Collection sebelum ketibaan musim keempat dan musim terakhir The Walking Dead menampilkan Clementine sudah meningkat dewasa mengharungi halangan mencabar.

4. Until Dawn

Pastikan anda bersedia untuk rasai jumpscare daripada hantu kalau nak main game ini. Dalam Until Dawn, sekumpulan remaja kaya sedang berparti di rumah tersorok dalam hutan pada musim sejuk — digemparkan kejadian seram di mana sebuah entiti aktif memburu manusia jauh atas gunung.

Game ini mengambil apa yang anda suka tentang filem seram dan dijadikan sebagai pengalaman sinematik interaktif yang juga dibintangi oleh pelakon terkenal seperti Hayden Panettiere, Rami Malek dan Brett Dalton. Anda bertanggungjawab untuk hidup semua karakter sama ada mereka hidup atau dimakan hidup-hidup oleh entiti berkenaan.

JomBaca: Until Dawn: Boleh Beli or Boleh Blah!?

5. Dreamfall Chapters

Antara game yang berbentuk episodik, Dreamfall Chapters merupakan game ketiga yang memberi kesinambungan dari dua game pertama: The Longest Journey dan Dreamfall: The Longest Journey. Game 3D action-adventure yang berlatarbelakangkan dua dimensi berbeza iaitu dunia moden cyberpunk, Stark dan dunia penuh magik, Arcadia.

Sama seperti Detroit: Become Human, pemain akan melayani jalan cerita melalui dua karakter, Zoë berupaya untuk merentas ke dalam dunia berbeza antara Stark dan Arcadia dan Kian Alvane, seorang askar Azadi yang dikhianati oleh sekutu sendiri dalam Arcadia. Pemain berdepan dengan keputusan dan pilihan yang dapat mempengaruhi jalan cerita serta menghadapi cabaran teka-teki selari dengan jalan cerita game ini.

6. A Way Out

Detroit: Become Human membolehkan anda kawal tiga karakter berbeza yang akan bertembung sama satu lain dalam beberapa detik penting dalam game itu tetapi dalam A Way Out, anda wajib bermain secara co-op sama ada offline atau online sebagai Leo dan Vincent untuk meloloskan diri dari penjara. Game ini tampil dengan nafas baru dalam drama interaktif yang fokus dengan penceritaan keakraban antara Leo dan Vincent serta menampilkan gameplay unik yang bergantung kepada pilihan dua pemain.

Anda mesti tertanya-tanya, “kalau wajib main dua orang, wajib kena ada dua salinan ke?” Jangan risau, anda hanya perlukan satu salinan sahaja untuk layan game sinematik gempak ini. Sekiranya Red Dead Redemption 2 dan God of War tidak dilancarkan pada tahun 2018, pasti A Way Out akan menjadi game terbaik pilihan penulis untuk tahun lalu.

JomBaca: A Way Out: Boleh Beli or Boleh Blah!?

7. Beyond: Two Souls

Game ini mengisahkan Jodie Holmes yang mempunyai kuasa telekinesis apabila dia berhubung dengan entiti yang selalu berada di sisinya sejak dia kecil lagi yang bernama Aiden. Beyond: Two Souls juga diserikan dengan pelakon Hollywood terkenal memegang watak-watak utama seperti Ellen Page menggalas watak Jodie Holmes dan Willem Dafoe sebagai Profesor Nathan Hawkins.

8. Heavy Rain

Siapa lagi tak kenal Heavy Rain yang menyampaikan empat karakter: Ethan Mars, seorang ayah di mana anaknya diculik oleh Origami Killer; seorang ejen FBI, Norman Jayden; seorang wartawan, Madison Paige dan seorang penyiasat persendirian, Scott Shelby dalam perjalanan berbeza untuk memburu Origami Killer aktif semasa musim hujan yang menculik dan membunuh kanak-kanak dengan meninggalkan mereka lemas dalam takungan air hujan.

9. Fahrenheit: Indigo Prophecy

Antara game yang melonjakkan nama Quantic Dream, Fahrenheit (Indigo Prophecy di Amerika Syarikat) menyampaikan cerita tentang Lucas Kane membunuh lelaki tanpa sengaja dalam sebuah restoran dek kerana dia dirasuk oleh elemen ghaib secara tiba-tiba. Namun, pembunuhan itu melancarkan satu penyiasatan yang melibatkan Leftenen Carla Valenti dan Sarjan Tyler Miles dari NYPD.

Daripada 9 game yang kami senaraikan ini, game mana yang anda dah main dan habiskan? Mana yang terbaik?

Atau ada game interaktif lain yang kami terlepas pandang? Senaraikan dalam ruangan komen di bawah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.