Seperti dijanjikan, EA dan Respawn telah memperlihatkan Star Wars: Jedi Fallen Order buat kali pertama pada awal pagi tadi di Star Wars Celebration 2019.

Kalau korang terlepas livestream tersebut, ini kami kumpulkan semua info terbaru yang didedahkan setakat ini untuk game Star Wars akan datang yang sangat dinantikan ini.

Trailer Pertama

Berkongsi info tentang suatu game baru tidak akan sah tanpa kehadiran video trailer pertamanya. Buat masa ini, kita masih belum dapat melihat aksi gameplay untuk game ini, sebaliknya mereka hanya mengeluarkan trailer sinematik sahaja.

Cal Kestis

Protagonis utama game ini telah didedahkan, iaitu kita akan bermain sebagai Cal Kestis. Beliau merupakan seorang padawan yang terselamat selepas malapetaka Order 66 yang diarahkan oleh Emperor Palpatine bagi menghapuskan semua Jedi.

Maka secara langsung, game ini menggunakan latar belakang antara filem Episode 3: Revenge of the Sith dengan Episode 4: A New Hope.

Kita akan bermain sebagai Cal bagi meneruskan kehidupan sebagai seorang padawan yang terpaksa menyembunyikan identitinya yang mempunyai Force. Game ini akan membawakan pemain untuk membangunkan abiliti Force yang dimiliki Cal, mengasah teknik lightsaber, dan mengembara ke tamadun hilang purba yang penuh dengan misteri — dalam genre third-person action-adventure.

Second Sister

Antagonis dalam game ini juga telah diperkenalkan, iaitu digelar Second Sister. Wanita ini ditugaskan oleh Emperor untuk mencari dan menghapuskan secara total sisa baki Jedi yang ada di seluruh galaksi.

Second Sister semestinya menjadi mimpi ngeri kepada Jedi kerana wanita ini turut mempunyai Force serta lightsaber berbilah berganda, umpama lightsaber kepunyaan Darth Maul.

Purge Troopers

Membantu Second Sister dalam memburu Jedi ini ialah Purge Troopers, iaitu pasukan elite yang dikatakan bakal digerakkan terlebih dahulu sekiranya menerima laporan tentang kelibat Jedi. Mereka mempunyai sejenis senjata yang direka khas agar mereka dapat bertarung dengan Jedi yang memiliki lightsaber.

BD-1

BD-1 merupakan rakan droid yang membantu Cal dalam meneruskan perjalanan hidupnya sebagai seorang padawan yang terbuang. Antara bantuan yang mampu ditawarkan droid ini ialah seperti menyuluhkan lampu apabila memasuki kawasan gelap dan saiznya cukup kecil untuk dibawa Cal ke mana-mana.

Cere

Cere juga merupakan seorang Jedi Knight. Dalam trailer yang kita saksikan di atas, Cere nampaknya muncul apabila identiti Cal sebagai seorang padawan telahpun terbongkar dan dalam misi untuk lari daripada Second Sister.

Respawn mengatakan yang hubungan antara Cal dan Cere bukanlah seperti hubungan padawan dan Jedi tradisional yang selalu kita lihat dalam dunia Star Wars, namun Cere tetap akan memainkan peranan yang besar dalam mengasah penggunaan Force dan lightsaber yang dimiliki Cal.

Cameron Monaghan

Watak Cal Kestis akan dilakonkan oleh Cameron Monaghan, iaitu pelakon Joker dalam Gotham yang diterbitkan oleh Fox.

Bermakna, seorang lagi Joker telah menyertai universe besar Star Wars, selepas Mark Hammil, iaitu pelakon Luke Skywalker yang turut melakonkan suara Joker dalam Batman: The Animated Series.

Bukan Game Stealth

Walaupun dalam trailer kita melihat yang Cal bersembunyi dan menyelinap untuk melarikan diri daripada Second Sister, Respawn mengesahkan bahawa tiada elemen stealth dalam gameplay Star Wars: Jedi Fallen Order.

Mereka mengatakan yang mungkin pemain boleh menyelinap secara senyap untuk mengelakkan perhatian AI, namun mereka tidak menggalakkannya kerana mereka mahu para pemain berfantasi dan berseronok dengan kuasa Force dan lightsaber yang dimiliki oleh Cal.

Tarikh Pelancaran & Platform

Star Wars: Jedi Fallen Order akan dilancarkan pada 15 November 2019 untuk PC, PS4 dan Xbox One.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.