Dua pertandingan wildcard yang berlangsung pada hujung minggu lalu telah melengkapkan empat slot wakil negara yang akan dihantar ke Bangkok, Thailand dalam PES SEA Finals 2019.

Penerbangan mereka telahpun bertolak ke negara jiran itu pada pagi tadi, untuk mereka berentap pada hari esok, Ahad, 3 Mac 2019 — dalam kancah pertandingan tahunan PES terbesar Asia Tenggara.

Kata orang, tak manislah kalau wakil-wakil negara ini pergi mengharumkan nama tanah air tanpa kita mengenali mereka. Jadi, siapa empat pemain handalan PES negara kita ini?

Jika ingin disimpulkan dalam satu ayat, para wakil kita dibarisi dengan pemain senior yang berpengalaman, pemain-pemain baru serta bintang “wonderkid” yang sudah sentiasa meniti di bibir komuniti sejak beberapa tahun lalu. Bagi penulis secara peribadi, senarai pemain ini mungkin barisan paling seimbang yang pernah Malaysia hantar, sejak pertama kali ia dipertandingkan pada 2016.

Ahmad Muazz

Selain membawa tekanan pertama kali mewakili negara, Ahmad Muazz Amir Rosaedi memegang satu lagi status yang cukup besar. Beliau merupakan pemain di ranking nombor satu untuk musim 2018/2019 dalam PESMalaysia.com. Senang cerita, beliau merupakan antara pemain favourite yang semestinya tidak boleh dipandang serong oleh pemain lawan.

Walau bagaimanapun, Muazz menganggap segala status yang berat ini tidak penting kerana apa yang lebih mustahak ialah beliau fokus untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan Malaysia.

“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk bermain di PES SEA Finals kerana Malaysia mempunyai ramai pemain yang berkaliber. Gelaran tidak memberi apa-apa makna jika saya tidak dapat memberikan yang terbaik di Thailand,” ujar Muazz.

Bercakap tentang perasaannya mewakili tanah air buat kali pertama serta persiapannya, ini komen beliau:

“Terlalu gembira dan sangat teruja untuk beraksi di peringkat Asia Tenggara, dalam masa yang sama perlu lebih fokus untuk mengatasi kelemahan dalam taktikal dan formasi. Persiapan lebih dari segi mental, untuk lebih positif ketika bermain kerana hanya satu game di peringkat kumpulan, dan perlu ketahanan mental yang lebih tinggi.”

Hafizan Jamil

Nor Hafizan Jamil juga merupakan pemain baru yang pertama kali mewakili negara. Saat paling manis beliau sepanjang kempen 2018/2019 pastinya apabila berjaya memotong mata Zainul Ariffin Burhanuddin (NeST|Zainul13) dalam ranking PESMalaysia.com di saat-saat akhir, sekaligus melayakkan dirinya ke kedudukan kedua, seterusnya berjaya mewakili negara.

Ketika ditanya tentang detik bermakna itu, Hafizan berkata, “Sangat-sangat teruja. Sebab itu impian saya dari tahun 2018. Perasaan saya sangat bersyukur. Saya amat berterima kasih kepada abang saya, iaitu Hafiz Angah sebab banyak sokong saya dari belakang.”

Menjelang acara terbesar hujung minggu ini, beliau melakukan persiapan dengan memperbanyakkan latihan dari segi gameplay dan sering menonton perlawanan PES di Youtube melibatkan pemain-pemain yang hebat.

Tengku Erwan

Siapalah yang tidak kenal dengan Tengku Erwan Martino Tengku Ismail? Pemain senior dalam arena PES tempatan yang sudah berkecimpung dalam pertandingan secara kompetitif ini selama belasan tahun. Erwan terus melebarkan rekod yang dipegangnya pada tahun ini — menjadikan beliau satu-satunya pemain dari Malaysia yang layak ke peringkat akhir PES SEA Finals — senang kata, Erwan sudah mewakili negara untuk empat tahun berturut-turut.

Apabila ditanyakan mengenai pencapaian cemerlangnya ini, beliau menzahirkan kesyukuran dan menyatakan sedikit tanggungjawab yang berbeza untuk tahun ini kerana tiga pemain lain dalam barisan negara adalah muka-muka baru.

“Alhamdulillah, untuk tahun ini rezeki masih berpihak kepada saya. Terasa bebanan tanggungjawab berat untuk kali ini kerana kebanyakan peserta lain merupakan muka baru. InsyaAllah, saya dan rakan-rakan yang lain akan buat yang terbaik di Bangkok nanti,” ulas Erwan.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada kelainan yang ketara dari segi persiapan dan latihan yang beliau terapkan untuk tahun ini. Apa yang menjadi tumpuan ialah latihan terhadap fokus mental dan fizikal, serta meningkatkan jam latihannya pada setiap hari.

Rafiq Firdaus

Penulis sudah mengenali Muhammad Rafiq Firdaus atau lebih mesra dengan panggilan Lapit ini sejak beliau berumur 16 tahun lagi. Pada ketika itu, ramai yang sudah mengatakan bahawa beliau adalah permata yang tidak lama lagi bakal menggegarkan arena PES tempatan mahupun di peringkat serantau.

Kini, usianya telah mencecah 19 tahun dan cakap-cakap komuniti PES pada suatu ketika dulu itu sudah menjadi kenyataan. Oleh sebab itu, penulis ingin mengatakan bahawa tiada pemain PES tempatan lain yang lebih layak untuk mengisi slot keempat ini selain Lapit. Penulis benar-benar tidak sabar untuk melihat persembahan Lapit di peringkat Asia Tenggara ini.

Bercakap mengenai cita-citanya ini, Lapit berkata, “alhamdulillah, akhirnya impian saya terlaksana jua untuk mewakili Malaysia. Perasaan gementar tetap ada sebab akan bersaing dengan pemain lain yang hebat-hebat di peringkat antarabangsa.”

Mengulas lanjut, ujar Lapit, “memang cita-cita saya nak beraksi di pentas luar. Alhamdulillah rezeki memihak kepada saya. Insyaallah saya akan bawa cabaran ini dengan sebaik mungkin. Pada masa yang sama saya nak buktikan kepada kedua-dua ibu bapa saya bahawa game PES mempunyai masa depan yang cerah.”

JomGaming turut sempat berbual dengan Pengarah PES Malaysia, Ahmad Yazid Abd Rahman untuk menyentuh tentang percaturan barisan pemain dari kontinjen Malaysia ke negara Gajah Putih itu nanti. Kata Yazid:

“Kalau kita lihat kepada 4 barisan pemain kita, 3 adalah muka baru dan 1 adalah pemain lama yang sudah biasa menjadi wakil PES Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini. Salah seorang pemain kita juga adalah pemain termuda yang PES Malaysia pernah bawa. Pada saya, ini akan menjadi suatu pengalaman yang berharga bagi setiap pemain yang mewakili negara pada edisi kali ini. Kami percaya, adanya elemen “underdog” ini adalah kunci terpenting yang ada pada kami. Selain Erwan, 3 pemain lain adalah baru dan mempunyai “element of surprise”. Erwan pula, memiliki pengalaman yang berharga untuk diketengahkan. Ini adalah kali ke-4 beliau mewakili PES Malaysia.”

Mengakhiri perbualan, penulis bertanyakan apakah harapan skuad PES Malaysia untuk tahun ini. Berapa jauh kita boleh pergi? Mampukah kita melihat pemain kita naik ke podium buat kali pertama? Ini komen Yazid:

“Harapan kami tetap sama dari dulu, iaitu untuk “mengembangkan” lagi potensi pemain yang ada di Malaysia. Di PES Malaysia, kami menyediakan platform untuk para pemain untuk mewakili negara ke peringkat yang lebih tinggi. Jika kita tengok secara keseluruhannya, negara kita semakin pesat dengan pembangunan PES. Sebelum ini, kita agak ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Tetapi semenjak kewujudan PES Malaysia yang dibangunkan dengan kerjasama semua pihak — komuniti, kerajaan, penaja dan lain-lain — kita boleh nampak yang kita sudah semakin digeruni di rantau Asia Tenggara.”

Ikuti perkembangan terkini acara PES SEA Finals 2019 ini laman PES South East Asia dan PES Malaysia.

JomGaming ingin mengucapkan selamat maju kepada keempat-empat pemain PES negara ini. Seperti biasa, doa kami di sini akan sentiasa mengiringi kalian di sana kelak, dan semoga membawa berita gembira apabila pulang ke tanah air nanti.

JomKomen!