Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (US Department of Justice, DOJ) telah mendakwa dua rakyat Malaysia dengan 23 pertuduhan jenayah siber seperti komplot, konspirasi, pencurian identiti, pemalsuan peranti akses, pelaburan wang haram dan lain-lain.

Menurut laporan Wired, Kedua-dua individu warganegara ini merupakan pegawai atasan SEA Gamer Mall, sebuah laman web yang menyediakan jualan kad-kad gedung platform gaming serta item dalam game seperti kad PlayStation Network, Steam, serta banyak game mobile yang popular.
Mereka yang tertuduh ini ialah CEO SEA Gamer Mall, Wong Ong Hua, 46, dan CPO SEA Gamer Mall, Ling Yang Ching, 32.

Mereka dilaporkan telah terlibat dengan jenayah siber ini bersama-sama dengan lima lagi individu warganegara China yang berada dalam kumpulan penggodam dikenali sebagai APT41.

Dalam pertuduhan mereka, DOJ telah menamakan kedua-dua rakyat Malaysia ini serta menghubungkan SEA Gamer Mall melalui satu bentuk aktiviti komplot melibatkan serangan gangguan komputer menyasarkan kepada industri video game di Amerika Syarikat, Perancis, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.
Pihak SEA Gamer Mall telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi terhadap pertuduhan ini di laman rasmi Facebook. Mereka mendedahkan yang kedua-dua individu tertuduh telah direhatkan bagi menyelesaikan isu ini.
Kenyataan ini turut menafikan yang mereka terlibat dengan mana-mana aktiviti haram seperti yang dituduh. Mereka menegaskan yang semua butiran peribadi pelanggan yang disimpan mereka adalah selamat.
Antara individu terkenal yang dikaitkan dengan isu hangat ini adalah Tan Sri Vincent Tan. Menurut laporan The Star, beliau telah menafikan bahawa syarikat yang ditubuhkannya, Berjaya Corporation Berhad Group of Companies berminat dengan SEA Gamer Mall. Saham yang dimilikinya dalam SEA Gamer Mall, katanya, adalah pelaburan peribadi yang mana beliau boleh sahaja tarik balik pelaburan itu apabila tiba masanya.
Para media sebelum ini telah mengaitkan syarikat Berjaya dan dua anak perempuan Vincent Tan, dengan SEA Gamer Mall. Vincent Tan menjelaskan bahawa kedua-dua anak perempuannya, Nerine Tan dan Chryseis Tan pernah menjadi pengarah bukan eksekutif, dan mereka telahpun keluar dari syarikat tersebut.

“Dua eksekutif SEA Gamer Mall itu mengaku tidak bersalah dan telah melantik penasihat undang-undang dari Malaysia untuk mewakili mereka,” kata Vincent Tan yang sudah 13 tahun menjadi pelabur pasif kepada SEA Gamer Mall, sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Sitiawan, Perak.
Comments
Loading…