Semalam telah berlangsungnya Regional Qualifiers AESF e-Masters yang diadakan di Bangkok, Thailand.
Sukacitanya untuk JomGaming laporkan bahawa dua pemain PES 2020 tanah air, Norhaikal Md Noh dan Mohamed Azha Bin Ab Talib telah mempamerkan aksi cukup memuaskan, sekaligus melayakkan diri ke Grand Final AESF e-Masters yang dijadualkan berlangsung di Chengdu, China pada 22 hingga 28 Februari 2020.
Dalam pusingan Regional Qualifiers di negara Gajah Putih itu, Malaysia diletakkan di kumpulan B untuk kelayakan rantau Asia Tenggara. Malaysia menduduki tempat kedua dalam kumpulan B di belakang Indonesia, dan berjaya mendudukkan Myanmar dan Kemboja.
Perlawanan separuh akhir menyaksikan Malaysia bertemu juara kumpulan A iaitu Vietnam. Pasukan negara terpaksa tunduk kepada gergasi PES itu dengan keputusan 2-0, dan perlu melalui perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat.
Semangat tidak mudah mengalah menjadi azimat. Malaysia bangkit dalam perlawanan ketiga/keempat — menumbangkan Thailand dengan keputusan 2-1. Pemenang perlawanan ini menghidupkan sisa harapan untuk layak ke negara Tembok Besar kerana bakal menentang tempat kedua dari kelayakan rantau Asia Tengah, iaitu India.
Walaupun kalah dalam perlawanan pertama, Malaysia sekali lagi bangkit untuk menewaskan India dengan keputusan 2-1 — sekaligus dengan jayanya melengkapkan misi utama, iaitu melayakkan Malaysia ke Grand Final di China.
Bersama-sama Malaysia, negara lain dari Asia Tenggara yang turut layak ke Grand Final ialah Vietnam dan Indonesia.
Tahniah dan syabas JomGaming ucapkan kepada para pemain, pihak pengurusan serta semua pihak yang terlibat dalam merencana kejayaan ini. Semoga kita membawa berita gembira dari Chengdu, China kelak!
Comments
Loading…