in , , , ,

18 Perkara Korang Perlu Tahu Tentang Battlefield 2042 Setakat Ini

Seperti dijanjikan, tepat jam 11 malam tadi telah menyaksikan EA dan DICE memperlihatkan secara rasmi Battlefield yang baharu.

Ada beberapa khabar angin sebelum ini yang tidak tepat, namun kebanyakannya adalah sahih, lebih-lebih laporan tentang judulnya, iaitu Battlefield 2042, yang tertiris beberapa hari sebelum pendedahan tersebut.

Oleh itu, bagi korang yang ingin mengetahui segala butiran tentang Battlefield 2042 yang sudah diumumkan setakat ini — diekstrak dari trailer pertamanya, laman web rasmi, serta dari beberapa Youtuber yang mendapat info terus dari DICE — inilah tempatnya.

Trailer Penuh Syahdu

Pemain biasa-biasa siri Battlefield mungkin tidak merasainya, namun peminat tegar telah menonton trailer pertama Battlefield 2042 dalam keadaan bulu romanya meremang, malah mungkin ada juga yang menitiskan air mata.

DICE telah menghidangkan trailer ini dengan penuh nostalgia, terutamanya membawakan bermacam babak-babak ikonik dari dua game Battlefield paling berjaya, Battlefield 3 dan Battlefield 4.

Permulaan trailer sahaja disajikan dengan babak seakan terjunan beramai-ramai dalam mode Rush, map Damavand Peak dari Battlefield 3. Kemudian, dihidangkan pula dengan rampasan dogtag, kejar-mengehar helikopter, taktik penggunaan quad bike untuk menghentam helikopter.

Dan kemuncaknya adalah apabila mencipta semula gerakan RendeZook — pemain dalam jet menarik jet musuh ke altitud lebih tinggi, kemudiannya keluar dari jet dan menghapuskan jet musuh dengan tembakan tepat RPG — satu gerakan ‘Only in Battlefield’ cukup popular yang sangat sukar untuk dilakukan.

Masa Hadapan Dekat

Seperti yang tertera dalam judulnya, Battlefield 2042 menggunakan latar masa pada tahun 2042, iaitu 100 tahun selepas latar masa game Battlefield yang pertama, Battlefield 1942 (2002), juga 100 tahun sebelum latar masa Battlefield 2142 (2006).

Walaupun ia bukanlah sekuel atau prekuel, kerana mana-mana story campaign Battlefield tidak pernah bersambung antara satu sama lain (apatah lagi Battlefield 2042 tiada story campaign), latar masa ini sememangnya agak menarik.

Maka, disebabkan latar masa tahun 2042 digunakan, Battlefield 2042 akan menyajikan sebuah game yang menggunakan teknologi masa hadapan dekat (near future). Dalam kata lain, kita akan dibawakan dengan gajet dan senjata yang sedikit futuristik, namun tidak terlalu jauh ke hadapan kerana masih lagi berteraskan teknologi masa kini.

Tiada Story Campaign, Fokus Multiplayer

Asal-usul siri ini, dalam Battlefield 1942, tidaklah mempunyai story campaign. Namun beberapa game Battlefield terkini tidak pernah ketinggalan dalam membawakan story campaign.

Kali ini, untuk Battlefield 2042, mereka melakukan keputusan yang berani untuk tidak membangunkan sebarang story campaign, sebaliknya 100 peratus fokus kepada Multiplayer.

Tiada Battle Royale

Apabila mengatakan yang mereka akan memfokuskan kepada Multiplayer, mungkin ada yang menyangka mode Battle Royale juga akan dicuba sekali lagi dalam siri ini. Ternyata tidak.

Battlefield 2042 tidak akan mempunyai mode Battle Royale. Mereka hanya akan memfokuskan kepada mode-mode yang klasik, serta yang baharu, dalam Multiplayer sahaja.

128 Pemain

Seperti yang dihangatkan dalam laporan-laporan sebelum ini, Battlefield 2042 telah disahkan akan mengumpulkan jumlah pemain maksimum seramai 128 orang.

Dalam kata lain, ini merupakan bilangan pemain paling ramai pernah dibawakan oleh francais ini — sekaligus membawakan pertempuran berskala besar dalam map yang sesuai untuk dimainkan dengan jumlah pemain tersebut.

Walau bagaimanapun, 128 pemain ini hanya dibawakan ke platform PC, PS5 dan Xbox Series. Untuk platform konsol generasi lama, iaitu PS4 dan Xbox One, hanya 64 pemain maksimum, serta map juga akan dikecilkan sesuai dengannya.

Kehadiran AI

Menurut JackFrags, Battlefield 2042 akan memperkenalkan kehadiran bot atau AI dalam game-game Multiplayer. Antara tujuannya adalah untuk memudahkan sebilangan pemain baharu yang ingin menyesuaikan gameplay terlebih dulu.

Kehadiran bot juga dikatakan untuk mengisi atau memenuhi mode-mode besar terutamanya yang memerlukan 128 pemain. Maksudnya, sekiranya ada server yang tidak penuh dengan 128 pemain sebenar (atau 64 pemain), pusingan tersebut akan disisi dengan bot untuk sentiasa melengkapkan jumlah askar dalam pusingan itu.

Mode-Mode Yang Ada

Secara dasarnya, Battlefield 2042 dibahagikan kepada tiga mode utama: All-Out Warfare, Hazard Zone, dan satu lagi mode misteri yang bakal diumumkan bulan hadapan.

All-Out Warfare akan menampilkan dua mode yang cukup sinonim dengan siri ini. Pertama, mode klasik Conquest, dan kedua, mode Breakthrough yang ada dalam Battlefield 1 dan Battlefield V.

Ada sedikit perbezaan antara Conquest kali ini dengan Conquest yang pernah ada dalam Battlefield sebelum ini. Disebabkan Battlefield 2042 membawakan pemain yang begitu ramai sehingga 128, maka kawasan untuk menawan (capture) akan dibahagikan kepada kepada beberapa sektor. Dan sektor ini pula akan mempunyai beberapa bendera untuk ditawan. Untuk menawan sektor tersebut, kesemua bendera dalam sektor itu perlu dikuasai terlebih dulu.

Bagi yang tidak pernah main Breakthrough, mode ini umpama gabungan Conquest dan Rush, yang mana dua pasukan bertempur, terdiri daripada Attackers dan Defenders.

Hazard Zone pula merupakan sebuah mode baharu. Dalam deskripsinya, ia mengatakan sebuah mode yang berasaskan skuad, satu nafas baharu dalam pengalaman multiplayer moden, yang dikatakan sangat berbeza dengan All-Out Warfare.

Satu lagi mode misteri masih belum diumumkan apakah namanya dan bagaimanakah ia akan dimainkan. Mode ini akan diperlihatkan buat pertama kali semasa acara EA Play Live pada 22 Julai kelak.

Specialists

Battlefield 2042 tidak lagi membawakan kelas-kelas tradisional seperti game-game sebelum ini. Sebaliknya pemain akan diberi pilihan untuk memiliki sekumpulan abiliti yang boleh dikatakan seperti abiliti yang ada dalam Apex Legends atau Rainbow Six Siege.

Digelar Specialists, setiap daripadanya mempunyai dua abiliti iaitu Specialty dan Trait. Sebagai contoh, Webster Mackay memiliki Grappling Hook (gajet seumpama Spider-Man atau Pathfinder dalam Apex Legends) dan Nimble (bergerak lebih pantas ketika membidik).

Maria Falck pula memiliki Syrette Pistol (mempunyai picagari yang boleh ditembak ke rakan untuk menambah nyawa, apabila ditembak ke musuh akan mengurangkan nyawa musuh) dan Combat Surgeon (revive rakan dan mereka akan hidup dengan nyawa penuh — semua pemain boleh revive rakan tapi Specialist lain hanya revive tanpa nyawa penuh).

Buat masa ini, DICE hanya mendedahkan empat Specialists yang korang boleh bacanya di sini. 10 Specialists akan ada semasa pelancaran nanti, dan lebih banyak Specialists pada masa akan datang.

7 Map Kesemuanya

Sebanyak 7 map sudah didedahkan yang ada semasa pelancaran kelak. Berikut ialah nama map tersebut berserta inspirasi lokasinya dari dunia sebenar:

  • Orbital: Kourou, French Guiana.
  • Hourglass: Doha, Qatar.
  • Kaleidoscope: Songdo, Korea Selatan.
  • Manifest: Pulau Brani, Singapura.
  • Discarded: Alang, India.
  • Breakaway: Queen Maud Land, Antartika.
  • Renewal: Eastern Desert, Mesir.

Belum dinyatakan apa-apa tambahan map pada masa akan datang, namun tentunya akan ada kelak.

Bencana & Kemusnahan

Seperti yang dapat kita lihat dalam trailer pertamanya, Battlefield 2042 akan mengejutkan kita dengan banyak bencana dan kemusnahan dinamik yang akan muncul dalam game.

Antara yang disebut adalah ribut pasir, pelancaran roket yang menggegarkan dan ribut taufan — semuanya berbeza mengikut map yang sedang dimainkan.

Battle Pass & Season

Tiada lagi model bisnes Premium seperti beberapa Battlefield sebelum ini. Sebaliknya Battlefield 2042 akan memperkenalkan Battle Pass (percuma dan berbayar) seumpama game-game moden masa kini.

Game ini turut akan disajikan dengan Seasons untuk membawakan Battle Pass dan tema-tema kandungan baharu. Sama seperti kebanyakan game lain, Seasons dalam Battlefield 2042 juga berlangsung selama tiga bulan sebelum ditukar ke Seasons yang baharu.

Ada Elemen Free-To-Play?

Buat masa ini, Battlefield 2042 merupakan sebuah game berbayar. Namun, kita mungkin akan mendengar mengenai elemen free-to-play pada masa akan datang.

Ini menurut JackFrags yang hadir ke taklimat DICE yang turut dihadiri beberapa media. Apabila ditanya tentang perkara ini, DICE tidak mahu menjawabnya secara jelas, malah mengatakan yang mereka akan berkongsi mengenainya pada masa akan datang.

Ada Cross-Play?

Buat masa ini, DICE belum mendedahkan sama ada akan menyokong cross-play ataupun tidak. Mereka dijangka akan menjawab persoalan ini dalam masa terdekat.

Apa Ceritanya?

Walaupun tiada story campaign, Battlefield 2042 tetap membawakan kisah latar belakang (lore) tersendiri.

Pada tahun 2042, dunia di ambang peperangan. Satu jenis kumpulan askar yang tidak bernegara telah muncul dari krisis terbesar dalam sejarah manusia.

Di laman web rasmi Battlefield 2042, ia sudah mempunyai susur masa apa yang berlaku pada tahun-tahun membawa kepada 2042. Misalnya, tahun 2033 menyaksikan dunia digempurkan dengan Hurricane Zeta, kemudian pada 2034, berlaku kekurangan makanan dan minyak mentah sehingga mencetuskan Second Great Depression, dan banyak lagi malapetaka yang berlaku sehingga menjelang 2042.

Standard, Gold & Ultimate

Di bawah adalah senarai dan perbandingan edisi yang ada untuk Battlefield 2042 — Standard, Gold dan Ultimate Edition — dan kami sediakan sekali pautan untuk setiap platfom.

Pautan untuk pra-tempah:

Bila Open Beta?

Sesi percubaan beta akan diadakan beberapa bulan menjelang pelancaran penuhnya kelak untuk semua pemain. Untuk mereka yang melakukan pra-tempah, korang akan mendapat akses kepada sesi beta lebih awal.

Gameplay Pertama?

Gameplay penuh pertama akan diperlihatkan pada 14 Jun ini, 1 pagi (waktu Malaysia) semasa acara E3 2021 di pentas Xbox.

Tarikh Pelancaran

Battlefield 2042 akan dilancarkan pada 22 Oktober 2021 untuk PC, PS5, Xbox Series, PS4, dan Xbox One.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Ini Trailer Sinematik Pertama Battlefield 2042 Penuh Memukau, 128 Pemain Disahkan, Dilancarkan Oktober Ini

CD Projekt Red, Netflix Umum Kerjasama Untuk Bawakan Acara WitcherCon Pada Julai – Janjikan Banyak Kejutan