Kemunculan pelakon terkenal siri The Matrix dan John Wick iaitu Keanu Reeves di E3 2019 untuk mengumumkan tarikh keluaran game Cyberpunk 2077 telah mengejutkan ramai peminat yang menantikan lama game keluaran CD Projekt RED itu.

Namun, menggunakan pelakon terkenal untuk mempromosikan game terbaru bukanlah sesuatu perkara yang baru. Malah, sebelum Keanu Reeves, ada ramai pelakon yang terlibat dalam industri video game sama ada dari segi promosi atau dalam pembikinan game. Berikut adalah 13 pelakon terkenal yang terlibat dalam industri video games:

1. Bruce Willis – Apocalypse

Apocalypse ialah sebuah game menembak yang dihasilkan oleh Activision untuk Sony PlayStation 1. Game ini merupakan contoh terawal menggunakan pelakon terkenal dalam video game. Walaupun game ini menggunakan proses motion-capturing dan 3D scanning pada karakter Bruce Willis. Tapi malangnya pada masa itu, kekuatan pemprosesan grafik pada PS1 tidak mampu untuk menawarkan grafik yang baik.

2. Jet Li – Rise to Honor

Rise to Honor merupakan sebuah game seni bela diri yang dikeluarkan pada tahun 2004 untuk PlayStation 2. Game ini menggunakan pelakon Jet Li sebagai watak utama dalam video game ini iaitu Kit Yun, seorang anggota polis yang berada dalam penyamaran ditugaskan untuk menjaga keselamatan anak perempuan ketua penjenayah.

3. Jean Reno – Onimusha 3: Demon Siege

Onimusha 3: Demon Siege merupakan game ketiga dalam siri Onimusha. Protagonis, Hidemitsu Samanosuke Akechi merentas masa ke zaman moden Paris. Namun, perjalanan merentas masanya telah menyebabkan dia bertukar zaman dengan seorang anggota polis bernama Jacques Blanc yang dibawa ke zaman feudal Jepun. Jacques Blanc dilakonkan oleh pelakon Perancis iaitu Jean Reno.

4. Chow Yun-Fat – John Woo’s Stranglehold

Stranglehold merupakan salah satu contoh terbaik dan menarik dalam membawakan pelakon terkenal ke dalam video game. Game ini merupakan sekuel kepada filem arahan John Woo iaitu Hard Boiled. Chow Yun-Fat kembali melakonkan wataknya sebagai Inspector “Tequila” Yuen dalam membawakan kembali aksi bullet-time menerusi video game.

5. Nathan Fillion – Halo

Nathan Fillion menyertai francais Halo pada tahun 2007 dengan Halo 3. Pada masa itu beliau bertindak sebagai pelakon suara kepada karakter Gunnery Sergeant Reynolds. Seterusnya, beliau melakonkan watak suara karakter lain dalam Halo 3: ODST iaitu Gunnery Sergeant Buck. Buck kemudiannya kembali dalam Halo 5: Guardians.

6. Kristen Bell – Assassin’s Creed

Kristen Bell melakonkan watak Lucy Stillman dalam siri game Assassin’s Creed. Lucy diperkenalkan dalam game pertama sebagai pembantu Dr. Warren Vidic, membantu Desmond mengakses masuk ke dalam memori keturunannya iaitu Altair.

7. Sam Witwer – Star Wars: The Force Unleashed

Walaupun pelakon Sam Witwer sangat dikenali dalam kalangan peminat Star Wars sebagai pelakon suara kepada karakter Darth Maul dalam Star Wars: The Clone Wars dan Solo: A Star Wars Story. Namun, dalam Star Wars: The Force Unleashed, beliau melakonkan watak lain sebagai pembunuh upahan rahsia kepada Darth Vader iaitu Starkiller.

8. Aaron Staton – L.A. Noire

L.A. Noire merupakan sebuah game yang memfokuskan kepada teknologi “MotionScan” pada tahun 2011. Teknologi itu meningkatkan tahap penggunaan motion capture kepada setiap para pelakon dari segi pergerakan raut wajah dari pelbagai arah, membenarkan pemain untuk mengecam perubahan raut wajah atau emosi yang mana ia merupakan elemen penting dalam gameplay L.A. Noire. Protagonis, Detective Cole Phelps dilakonkan oleh Aaron Staton.

9. Ellen Page – Beyond: Two Souls

Beyond: Two Souls merupakan sebuah game cinematic adventure yang dikeluarkan pada tahun 2013. Ellen Page melakonkan watak seorang perempuan yang mempunyai hubungan dengan entiti mistik bernama Aiden. Page dengan pelakon lain seperti William Defoe telah melakukan proses motion capture untuk game ini.

10. Kevin Spacey – Call of Duty: Advanced Warfare

Francais Call of Duty mempunyai sejarah yang lama dalam menggunakan pelakon Hollywood dalam video game mereka. Dalam Call of Duty: Advanced Warfare, pelakon Kevin Spacey diangkat sebagai muka hadapan game tersebut yang mana beliau melakonkan watak antagonis, Jonathan Irons.

11. Hayden Panettiere – Until Dawn

Until Dawn, sebuah game survival horror yang menggabungkan elemen dari filem seperti Friday the 13th dan The Evil Dead. Game ini menampilkan pelakon Hollywood, Hayden Panettiere dan juga beberapa pelakon lain seperti Rami Malek, Brett Dalton dan Peter Stormare.

12. Norman Reedus – Death Stranding

Pelakon The Walking Dead, Norman Reedus akan membintangi dalam game terbaru ciptaan Hideo Kojima, Death Stranding. Reedus akan melakonkan watak Sam Bridges, seorang karakter yang ditugaskan untuk membantu menghubungkan penduduk-penduduk terpencil di dunia pasca-apokalips Amerika Syarikat. Walaupun Reedus merupakan muka hadapan game ini, namun game ini juga menampilkan beberapa pelakon terkenal seperti Mads Mikkelsen, Léa Seydoux, Lindsay Wagner, Guillermo del Toro dan Nicolas Winding Refn.

13. Keanu Reeves – Cyberpunk 2077

Ini merupakan penampilan yang paling mengejutkan dan tidak dijangka oleh peminat di E3 pada tahun ini. Kemunculan Keanu Reeves di atas pentas semasa persidangan Microsoft mengejutkan semua orang di mana beliau mengumumkan tarikh keluaran game Cyberpunk 2077. Keanu Reeves akan membawakan watak bernama Johnny Silverhand.

JomKomen!