in , ,

12 Minutes: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Terdapat dua perkara yang membuatkan 12 Minutes menarik perhatian ramai sejak pertama kali diperkenalkan. Pertama, ceritanya yang mengetengahkan konsep gelung masa (time loop) dan barisan pelakon suara bertaraf bintangnya.

Dan kedua-dua tarikan ini bukan hanya sekadar indah khabar dari rupa. Ia benar-benar menjadikan 12 Minutes sebuah game indie yang cukup istimewa.

12 Minutes merupakan sebuah point-and-click adventure game yang dibangunkan oleh Luis Antonio, dan diterbitkan oleh Annapurna Interactive. Ia dilancarkan pada 19 Ogos 2021 untuk PC, Xbox Series dan Xbox One.

Game Ini Macam Mana?

12 Minutes dimulakan apabila Si Suami baru pulang ke rumah dari tempat kerja. Ianya kelihatan seperti hari-hari biasa. Isterinya akan menyambut kepulangannya, sediakan juadah ringan dan ada satu kejutan yang ingin dikongsikan bersama suaminya itu.

Namun, hari mereka kelihatan berubah apabila seorang anggota polis telah mengetuk pintu 5 minit selepas itu, memberitahu mereka bahawa Si Isteri dikatakan telah membunuh bapanya sendiri pada lapan tahun lalu. Apa sahaja kita cuba lakukan, seperti mengikut sahaja arahan, bergelut melawan atau memberitahu Si Isteri tidak bersalah, salah seorang daripada mereka — Si Suami, Si Isteri atau anggota polis — akan mati.

Apabila salah seorang mati, atau secara tepatnya pada minit ke-10, putaran waktu akan kembali semula (loop) kepada waktu Si Suami baru pulang ke rumah itu.

Maka, pemain diberikan masa 10 minit tepat mencari segala klu, agar time loop ini dapat ditamatkan. Sekiranya gagal, waktu akan loop sekali lagi.

Jangan Main Sorang-Sorang

Penulis menyarankan agar game ini tidak dimainkan seorang diri bukan disebabkan game ini seram atau menakutkan, tetapi akal tambahan diperlukan untuk menyelesaikan segala teka-teki yang disiratkan dalam game ini.

12 Minutes merupakan sebuah game single-player. Dalam kata lain, hanya seorang pemain boleh main dan kawalnya. Namun, game ini sebenarnya lebih seronok jika sekurang-kurangnya seorang dua lagi teman yang turut menonton game ini bersama.

Penulis memainkan game ini bersama-sama dengan dua rakan lain yang mana ketiga-tiga kami telah memerah otak berjam-jam untuk merungkai misteri dan time loop yang cukup rumit ini.

Bahkan, tidak keterlaluan untuk penulis katakan, agak mustahil untuk seorang individu sahaja mampu untuk menyingkap apakah sebenarnya yang berlaku di dalam apartment kecil mereka itu.

Letih Tapi Geram

Bermain game yang berkonsepkan begini sememangnya meletihkan. Tersilap langkah, tersilap pilih dialog, tersilap ambil barang, semuanya bakal berakhir dengan time loop sekali lagi dan pemain perlu buat semula apa yang dirancang dari awal.

Tapi disebabkan konsep time loop ini juga membuatkan kami begitu geram, dan mahu terus bermain dan main sehingga dapat sesuatu yang signifikan sehingga kami benar-benar puas hati.

Lebih-lebih lagi, menambahkan kegeraman dan membuatkan kami tidak mahu berhenti bermain adalah apabila setiap kali loop, ada sahaja klu dan butiran baharu yang ditemui, yang akhirnya membuatkan kami ingin mencuba sesuatu yang baharu dan berlainan dalam time loop yang seterusnya.

Game Ini Genius

Sukar untuk penulis nyatakan ini, namun inilah hakikatnya: 12 Minutes merupakan sebuah game yang genius, dan antara game indie terbaik pernah penulis mainkan.

Dari segi konsep time loop, kerumitan ceritanya, plot twist yang benar-benar menjadi, penggunaan kamera dari atas (top-down), pengarahan seni, pemilihan pelakon suara — semuanya diadun dalam satu rencah yang amat baik.

Pembaca mungkin akan mengatakan penulis saja melebih-lebih dan menokok tambah, namun realitinya penulis benar-benar meremang bulu roma apabila setiap satu plot twist berjaya dirungkai. Ya, ada beberapa plot twist yang besar dalam game ini, dan setiap plot twist terdedah adalah lebih besar skalanya daripada plot twist yang sebelumnya.

Skop jalan cerita yang disajikan dalam game ini kecil sahaja — menampilkan tiga watak utama sahaja, serta 2-3 watak tambahan lain, dan dimainkan dalam ruang apartment yang cukup kecil. Walau bagaimanapun, bagaimana pencipta game ini menyusun dan mengembangkan cerita, menyembunyikan butiran-butiran penting yang sebenarnya berada di depan mata selama ini, kemudian mendedahkan plot twist pada waktu yang tepat — dalam persekitaran time loop — membuatkan penulis merasakan ini merupakan satu karya yang sungguh bijak.

Perencah terakhir (dan mungkin terpenting) game ini tentunya kehadiran tiga bintang pelakon suara yang bukan calang-calang: James McAvoy (Si Suami), Daisy Ridley (Si Isteri), dan Willem Dafoe (anggota polis). Penulis juga rasakan 12 Minutes adalah game indie ‘paling Hollywood’ pernah penulis mainkan.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

12 Minutes memiliki asas cerita dan persekitaran yang ringkas, namun bagaimana ia dirumitkan menjadi satu penceritaan time loop yang kompleks membuatkan ia mengangkat game indie ini menjadi sebuah karya yang menyegarkan.

Sekiranya korang mahu memerah otak, merungkai segala misteri dalam penceritaan time loop yang sangat, sangat berselirat, serta gemarkan game yang mempunyai banyak penamat (multiple ending) 12 Minutes adalah game BOLEH BELI. Sememangnya RM46 yang berbaloi (di Steam).

Namun, seandainya korang tidak suka bermain sebuah game yang meletihkan, mengulang-ulang kembali banyak babak yang sama, tidak gemar untuk mencari klu-klu tersembunyi, serta ingin sebuah jalan cerita yang menghidangkan penamat yang muktamad, tentu sekali game ini BOLEH BLAH.

Seperti yang penulis katakan, 12 Minutes merupakan sebuah point-and-click game. Pentas permainannya terhad, bukan open world, tiada level up, tiada aksi-aksi blokbuster. Konsep permainan yang berulang ini mungkin boleh menjengkelkan sesetengah pemain yang kurang daya kesabaran.

+ Asas cerita ringkas, tapi dirumitkan dengan baik
+ Plot twist yang tidak disangka
+ Game point-and-click, mudah dimainkan semua, termasuk bukan gamer
+ Seronok ditonton beramai-ramai
+ Pelakon suara bertaraf bintang

– Agak mustahil dimainkan seorang diri kerana misterinya terlalu sukar

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

7 Juta Pengguna Baru Daftar Epic Games Store Semasa GTA V Diberikan Percuma Tahun Lalu

Belum Lagi Dilancarkan, Cheat Untuk Battlefield 2042 Dah Mula Dijual