Tinggal seminggu sahaja lagi untuk berjumpa dengan tiga android di bandar Detroit.

Tuan-tuan dan puan-puan, Detroit Become Human bakal tiba dalam jangka masa terdekat. Sekian.

Quantic Dream terkenal dengan game interaktif drama seperti Heavy Rain dan Beyond Two Souls yang menampilkan lagi sebuah game eksklusif PS4 yang bakal menyampaikan penceritaan lebih realistik daripada game mereka sebelum ini berjudul Detroit: Become Human.

Selain tampak realistik, Detroit: Become Human akan memperluaskan lagi efek rama-rama apabila secara rasminya diumumkan pada Paris Game Week (PGW) 2015 dan lebih banyak trailer dipertontonkan di E3 2016 dan juga E3 2017. 

Setelah mendapat taraf emas bersama satu demo bernama Hostage dilancarkan dan tarikh pelancaran semakin hampir, mari kita lihat 10 perkara anda wajib tahu tentang Detroit: Become Human.

1. Segalanya bermula dari demo tech Kara.

Masihkah anda ingat lagi demo pendek tech pada tahun 2012 selepas Heavy Rain baru sahaja dilancarkan? Walaupun Kara cuma demo untuk menguji teknologi enjin baru, pengarah dan penulis David Cage mengembalikan semula Kara dari demo ini ke dalam Detroit: Become Human apabila diumumkan secara rasmi di PGW 2015.

2. Dari sebuah demo kepada sebuah game penuh untuk PS4.

Perbandingan dilakukan antara trailer pertama Detroit: Become Human dan demo Kara

Secara asalnya, demo Kara ditonjolkan dalam PlayStation 3 semasa era Heavy Rain adalah untuk menunjukkan kebolehan teknik terbaru performance capture seluruh badan dan menguji enjin baru tanpa apa-apa perancangan langsung untuk membangunkan menjadi sebuah game. Malah, pada ketika ini, mereka sedang giat membangunkan Beyond Two Souls.

Menurut Polygon, David Cage berkata, “Studio kami bekerja dalam cara yang sangat berlainan dengan melakukan perkara yang tiada kena mengena dengan game yang kami bangunkan. Tetapi saya rasa ciri ini wujud dalam DNA studio kami dan kami berharap ciri ini disukai ramai kerana orang ramai (pemain) tidak tahu apa mereka akan dapat!”

3. Menampilkan tiga karakter berbeza dalam cerita sama

Dari kiri: Connor, Markus dan Kara

Detroit: Become Human membawakan tiga android yang mempunyai fungsi dan personaliti berbeza dalam satu naratif game yang berskala besar ini. Mari kita selidik satu per satu karakter dalam Detroit: Become Human.

Karakter pertama adalah model android RK800 bernama Connor. Connor adalah android diciptakan oleh CyberLife, ditugaskan untuk memburu android yang telah melanggar unsur protokol utama mereka bersama pasukan polis Detroit dengan analisa teknologi yang membolehkan dia mencantum kembali kejadian jenayah menggunakan klu-klu disekelilingnya untuk melihat bagaimana jenayah itu berlaku.

Karakter kedua adalah android bernama Markus, dimiliki oleh pelukis Carl Manfred yang kehilangan fungsi kedua-dua belah kaki. Markus ditugaskan untuk menjadi penjaga kepada Carl tetapi pelukis itu melayani Markus seperti anaknya sendiri sekaligus membangkitkan jiwa kemanusiaan dalam diri Markus.

Karakter ketiga adalah android yang kita lihat dalam demo bernama Kara, sebuah model AX400 yang boleh menjadi suri rumahtangga berkebolehan menjaga anak kecil, fasih bercakap 300 bahasa dan pandai memasak lebih daripada 9000 juadah hidangan.

4. Setiap pilihan mempunyai makna tersendiri

Dalam demo Detroit: Become Human sahaja terdapat enam pengakhiran untuk satu bab.

Dalam game ini, setiap android akan berdepan dengan keputusan yang mencabar untuk diri mereka dan terletak kepada tangan pemain sendiri. Markus akan mengetuai kebangkitan revolusi android tetapi dia harus berdepan dengan pelbagai dilema dari kedua-dua pihak: manusia dan android sama ada melakukan revolusi secara aman atau melalui keganasan.

Manakala, Kara dimiliki oleh Todd Williams, seorang pemandu teksi mempunyai seorang anak perempuan bernama Alice. Namun, oleh kerana Alice selalu didera oleh ayahnya, mereka berdua membuat keputusan untuk melarikan diri dari rumah dan mereka harus mempercayai satu sama lain dalam dunia luar jauh bapa Alice. Connor pula harus bekerjasama dengan detektif yang benci kepada android dan selami perasaan android yang tidak mengikut protokol asal mereka.

5. Tiada ‘Game Over’

Saat manis Kara bersama Alice.

Ya, ini adalah benar. Detroit: Become Human tiada memaparkan mesej ‘Game Over’ kerana game ini memberikan pelbagai pilihan yang boleh mencetuskan reaksi dan akibat berbeza-beza maka jalan cerita anda mungkin berbeza dengan orang lain yang main game sama, jadi ini menggalakkan pemain untuk bermain lagi sekali untuk mengetahui kesan lain terhadap sesebuah karakter dan cerita. Lebih-lebih lagi, konsep game tanpa ‘Game Over’ ini sudah lama diterapkan ke dalam game Quantic Dream sebelum ini seperti Indigo Prophecy (Fahrenheit), Heavy Rain dan juga Beyond Two Souls.

6. Detroit: Become Human mengambil masa selama 6 tahun untuk siap.

Game ini akan mengambil masa pemain selama 10 jam tetapi terdapat pelbagai pilihan yang menjaminkan ‘replayability’

Setelah Beyond Two Souls dilancarkan pada tahun 2012, David Cage mula menulis skrip sebanyak 2,000 ke 3,000 muka surat bersama penulis Adam Williams untuk dipersembahkan kepada pasukan pembangun terdiri daripada programmer dan pereka untuk membina dunia Detroit: Become Human.

Untuk skrip layar pula, Cage mahu memberikan lebih banyak pilihan kepada pemain, jadi beliau menggunakan rajah dan peta untuk melakarkan setiap keputusan yang pemain boleh dilakukan seperti bermain kiub Rubiks dan menulis sebanyak 5,000 hingga 6,000 keping nota. Proses penulisan ini berjaya disiapkan pada tahun 2016 setelah memakan masa lebih dari 2 tahun.

7. Trailer PGW 2017 mencetuskan kontroversi

Trailer Detroit: Become Human juga terpalit dalam kontroversi kerana menayangkan isu penderaan kanak-kanak dan keganasan rumahtangga. Ketika trailer PGW 2017 itu dilancarkan, sebuah organisasi membantu mangsa dera di United Kingdom dipanggil sebagai Voicing CSA menyuarakan rasa tidak puas hati bahawa game ini akan menggalakkan keganasan rumahtangga dan penderaan seksual kanak-kanak sebagai suatu gejala yang “normal”.

Namun dakwaan ini terus disangkal oleh pelakon android Connor, Bryan Dechart melalui Twitter beliau.

Dechart berkata, “Tidak. Ini bukan matlamat sebenar game ini. Adakah setiap orang yang menonton trailer itu dan berfikir keganasan rumahtangga itu bagus? Jalan cerita ini bergantung kepada pemain dan meluahkan rasa empati. Mungkin anda tertinggal klu disebalik judul game ini – Detroit: Become Human.”

8. Lebih daripada 250 pelakon terpilih dalam Detroit: Become Human.

Dari kiri: Valorie Curry sebagai Kara, Bryan Dechart sebagai Connor dan Jesse Williams sebagai Markus.

Detroit: Become Human antara game terbesar Quantic Dream pernah dibangunkan dengan ujibakat dilakukan di Paris, Los Angeles dan London untuk mencari lebih daripada 250 pelakon untuk memainkan 513 watak yang mengambil selama 324 hari untuk menyiapkan performance capture bagi setiap pelakon.

Tiga teraju utama game ini adalah Bryan Dechart sebagai Connor, Jesse Williams (anda mungkin kenal beliau dalam Grey’s Anatomy) sebagai Markus dan Valorie Curry sebagai Kara. Selain itu, watak sampingan juga dipegang oleh Clancy Brown sebagai Hank, Lance Henriksen sebagai Lance dan Minka Kelly sebagai North.

9. Mengisahkan isu mesin dan manusia

Pergolakan jiwa antara mesin atau manusia masih lagi menjadi isu hangat.

Isu android menyelami perasaan manusia sudah lama digunapakai dalam genre sains fiksyen. Cage mengambil inspirasi dari sebuah buku The Singularity Is Near yang menjelaskan elemen kemanusiaan meresap secara pantas dalam pemikiran mesin pada masa hadapan.

Quantic Dream merujuk nasihat pakar-pakar artificial intelligence untuk mereka android dengan lebih mendalam. Bentuk fizikal android dalam game ini direka sama seperti manusia tetapi tidak perlu makan dan minum, tidak perlu tidur dan tahan lama serta diciptakan untuk membantu manusia semata-mata.

10. Pemilihan bandar Detroit sebagai lokasi utama game ini

Bayangan bandar Detroit pada tahun 2038

Detroit: Become Human melihat pembentukan android hidup bersama manusia pada 20 tahun akan datang. Bandar Detroit di Michigan, Amerika Syarikat dipilih sebagai latar belakang kerana Cage jatuh cinta terhadap sejarah bandar Detroit yang mengalami pelbagai perubahan mendadak di mana suatu ketika dahulu bandar Detroit paling utama dalam industri permotoran tetapi masalah kenaikan harga minyak dan kadar jenayah tinggi melumpuhkan bandar Detroit sehingga disahkan jatuh bankrap.

Bercakap kepada Gamespot, Cage bersama pasukan pembangun Detroit: Become Human juga mengembara ke Detroit menjalankan lapangan kajian bagi mendapatkan aura sebenar masyarakat dan kehidupan di bandar Detroit untuk diterapkan masuk ke dalam game.

Berikut adalah 10 perkara yang anda mesti tahu tentang Detroit: Become Human sebelum tiba pada 25 Mei. Bagi yang sudah pre-order secara online, saiz fail game ini agak besar untuk dimuat turun, jadi siap sedia.

Nantikan review Boleh Beli or Boleh Blah!? dalam jangka masa terdekat. Adakah anda teruja dengan Detroit: Become Human? Kongsikan keterujaan bersama kami di JomGaming!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.