in , , , ,

10 Misi Paling Susah Dalam Siri Grand Theft Auto

Siri Grand Theft Auto sememangnya terkenal dalam menawarkan jalan cerita yang menarik dan barisan karakter yang ada perwatakan pelbagai dan mudah diingati. Gameplay-nya juga menampilkan banyak misi yang engaging dan seronok. Tapi ada beberapa misi yang sangat susah sampai boleh buatkan korang campak controller korang. Ini adalah 10 misi paling susah dalam siri Grand Theft Auto.

1. Three Leaf Clover (Grand Theft Auto 4)

Dalam misi Three Leaf Clover, ia melibatkan pemain perlu membantu gangster Irish-American untuk merompak bank. Rancangan yang sepatutnya berjalan dengan lancar bertukar huru-hara apabila salah seorang tebusan berjaya mendapatkan senjata dan mula menembak.

Alarm mula berbunyi dan gangster tersebut terpaksa keluar dari bank. Pihak polis mengejar mereka dari stesen kereta api bawah tanah sehingga kembali ke atas di jalanan, terus melarikan diri dan pihak polis masih tidak berputus asa.

2. The Driver (Grand Theft Auto: Vice City)

Dalam misi ni, pemain perlu sertai perlumbaan jalanan. Bila pemain lihat kereta pesaing dah jadi masalah sebab pesaing pakai kereta Sabre Turbo yang lebih hebat, tapi pemain pakai Sentinel.

Nak tambah lagi masalah, kereta pesaing tu juga kalis peluru, kalis api dan kalis letupan. Jadi taktik kotor tak boleh pakai dalam perlumbaan ni. Jadi pemain hanya boleh berharap kereta pesaing lakukan kesilapan. Kalau tak, dengan senang Sabre Turbo boleh pecut dan potong pemain.

3. Espresso 2 Go (Grand Theft Auto 3)

Objektif misi perlukan pemain untuk musnahkan 9 buah kedai kopi, nampak mudah kan? Sebenarnya tak. Kerana lokasi setiap kedai kopi berselerak kat ketiga-tiga pulau. Dan ia memerlukan kemahiran pemain untuk ingat jalan-jalan pintas untuk sampai ke lokasi dengan lebih cepat. Bukan tu saja, korang berlumba dengan masa terhad. Lebih susah, lokasi kedai kopi takkan muncul dalam mini map sehingga korang berada dekat dengannya.

4. Supply Lines (Grand Theft Auto: San Andreas)

Walaupun hanya sekadar side mission, ia lebih susah dari 98 peratus misi-misi lain dalam game. Objektifnya mudah saja, tembak dan musnahkan beberapa buah van yang sedang melakukan penghantaran untuk Berkley. Tapi yang buatkan ia jadi susah sebab nak kawal kapal terbang RC. Korang yang pernah main GTA: San Andreas, korang tahulah bertapa payahnya nak kawal kapal terbang dalam game ni.

5. Keep Your Friends Close (Grand Theft Auto: Vice City)

Ini merupakan misi terakhir dalam GTA: Vice City, dan ia sememangnya mencabar. Sonny Forelli datang dari Liberty City untuk mengambil duit dari Tommy. Tapi Tommy tak sangka rakan kongsi dia, Lance akan mengkhianatinya demi Sonny. Tommy diserang hendap oleh kumpulan Sonny yang ramai dan pemain perlu pastikan setiap seorang dari mereka mati.

6. Death Row (Grand Theft Auto: Vice City)

Seperti nama misinya, korang akan mati…banyak kali. Kent Paul bagitahu kat Tommy yang Lance telah ditangkap kerana dia gagal membunuh Ricardo Diaz. Jadi Tommy perlu selamatkan Lance. Yang menjadikan misi ni susah adalah jika korang lambat, nyawa Lance semakin lama semakin turun. Dan orang-orang Diaz sudah lama menanti kedatangan Tommy untuk membunuhnya.

7. Bomb Da Base Act 2 (Grand Theft Auto 3)

Fasa pertama tak jadi masalah kat pemain. Yang jadi masalah bila masuk fasa 2. Korang ditugaskan untuk melindungi 8-Ball sedang dia masuk ke kawasan kapal kontena yang dijaga oleh Cartel. 8-Ball mahu letupkan kapal kontena tu. Misi ni taklah sesusah mana, tapi ia memerlukan pemain untuk selesakan diri dengan kawalan sniper rifle. Kerana ini kali pertama game ni berikan sniper rifle kat pemain.

8. The Exchange (Grand Theft Auto 3)

Ini merupakan misi terakhir dalam GTA 3. Catalina, ketua kartel telah menahan rakan-rakan Claude. Claude perlu membayar 500,000 dollar untuk melepaskan mereka. Tapi Catalina mungkir janji, dia bertindak mahu membunuh Claude. Claude mengejar Catalina sehingga ke empangan. Di sana, pemain berhadapan dengan pelbagai halangan termasuklah trak dan helikopter yang mahu membunuh pemain.

9. Demolition Man (Grand Theft Auto: Vice City)

Ada kurang dari 20 peratus misi dalam GTA Vice City yang melibatkan penerbangan. Tapi semuanya menyusahkan. Salah satunya ialah Demolition Man di mana pemain perlu mengawal helikopter RC, mengangkat 4 buah tong berisi bahan letupan untuk dibawa ke tapak pembinaan. Selain kawalan helikopter yang susah. Pemain juga perlu selesaikan dalam masa 7 minit sambil dihalang oleh para pekerja di situ yang cuba menembak helikopter RC.

10. Wrong Side of the Tracks (Grand Theft Auto: San Andreas)

“All we had to do, was follow the damn train, CJ!” Ini adalah dialog paling ikonik yang diucapkan oleh Big Smoke dalam misi ni. CJ dan Big Smoke perlu mengejar geng Vagos yang melarikan diri dengan menaiki kereta api. Yang jadi masalah kat sini bila motorsikal yang ditunggang menjadi sukar dikawal apabila berada kat atas landasan kereta api. Tembakan Big Smoke kat musuh jugak kadang-kadang kena tak kena. Lagi buatkan pemain stress dan kena berulang kali dengar dialog Big Smoke tu.

Jadi apa pandangan korang tentang senarai misi GTA yang susah ni? Bagi korang, misi GTA manakah paling sukar dan menarik yang korang takkan lupakan? Kongsi dengan kitaorang di ruangan komen. Jangan lupa like dan share. Adios!

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

EA SPORTS WRC – Trailer Rasmi Pertama

Roblox akhirnya akan dilancarkan ke PS4 & PS5 pada bulan depan