Siri The Witcher yang akan ditayangkan di Netflix pada 20 Disember ini telah diadaptasi dari siri video games ciptaan CD Projekt Red dan novel Andrzej Sapkowski.

Pasti korang tertanya-tanya, ada ke video game lain yang diadaptasi dari sebuah buku? Jawapannya, mestilah ada. Berikut adalah 10 buah video games yang diadaptasi atau diinspirasikan dari sebuah buku:

1. The Witcher series

The Witcher, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam dunia industri video games. Diadaptasi dari novel dengan judul yang sama oleh penulis Andrzej Sapkowski dari Poland. Game ini merupakan projek pertama CD Projekt Red dalam menghasilkan video game mereka yang pertama.

Berlatarbelakangkan dunia fantasi, Geralt of Rivia ialah protagonis yang digelar sebagai The Witcher kerana kebolehannya untuk memburu raksasa dan mempunyai kuasa mistik. Populariti The Witcher telah melebarkan sayapnya dengan sekuel seperti The Witcher 2: Assassins of Kings dan The Witcher 3: Wild Hunt berserta beberapa lagi expansions.

2.  Tom Clancy’s Rainbow Six, Splinter Cell, Ghost Recon

Mendiang Tom Clancy telah banyak bertanggungjawab dalam menghasilkan novel-novel ketenteraan dan espionage seperti The Sum of All Fear, Clear and Present Danger, The Hunt For Red October dan banyak lagi. Namun, sumbangan terbesar beliau adalah apabila beliau membangunkan studio game-nya sendiri iaitu Red Storm Entertainment untuk mengadaptasi novel-novelnya seperti Rainbow Six, Splinter Cell dan Ghost Recon menjadi video games.

Game Rainbow Six (1999) telah memperkenalkan genre baru kepada industri video games iaitu tactical shooter di mana pertempuran realistik merupakan aspek utama. Pemain perlu merancang strategi dan juga perlu mengambil kira pelbagai aspek dari segi jenis senjata dan kelengkapan yang sesuai untuk digunakan bergantung kepada situasi. Walaupun mendiang telah meninggal dunia pada 1 Oktober 2013, namun legasinya tetap diteruskan dengan game seperti Rainbow Six Siege dan Ghost Recon Wildlands.

3. Metro 2033

Metro 2033 merupakan sebuah game FPS survival horror yang berlatarbelakangkan negara Rusia selepas perang dunia ketiga meletus sehingga mengakibatkan pelancaran bom nuklear. Pemain menyelami kisah kehidupan masyarakat Rusia yang tinggal di stesen kereta api bawah tanah iaitu Metro.

Diadaptasi dari novel tulisan Dmitry Giukhovsky, game ini telah mempunyai dua sekuel iaitu Metro: Last Light dan Metro: Exodus.

4. Spec Ops: The Line

Spec Ops: The Line merupakan sebuah game third-person shooter yang memfokuskan kepada kesan-kesan psikologi yang dihadapi oleh seorang askar semasa peperangan. Berlatarbelakangkan di lokasi Dubai, Captain Martin Walker perlu menyelamatkan tentera Amerika dan mangsa-mangsa yang terkandas dalam kejadian ribut pasir yang terburuk dalam sejarah.

Game ini diinspirasi dari novel Heart of Darkness oleh Joseph Conrad dan juga mengambil inspirasi dari filem Apocalypse Now (1979).

5. Bioshock

Walaupun game Bioshock bukan diinspirasikan atau diadaptasi dari mana-mana novel terkenal. Namun, lokasi dalam game ini iaitu Rapture dan lain-lain aspek dibina dari asas prinsip falsafah Objectivism iaitu dari buku Atlas Shrugged (1957) oleh Ayn Rand. Malah, salah satu nama karakter dalam Bioshock iaitu, Andrew Ryan juga merujuk kepada penulis buku itu.

6. Romance of the Three Kingdoms VIII

Romance of The Kingdoms VIII merupakan sebuah game taktikal strategi yang telah dikeluarkan pada tahun 2003 untuk platform PS2. Romance of the Three Kingdoms VIII diadaptasikan dari novel sejarah dari abad ke-14 dengan judul yang sama tulisan Luo Guanzhong. Ia mengisahkan tentang penyatuan semula negeri-negeri di China.

7. S.T.A.L.K.E.R.: Shadow of Chernobyl

Stalker atau S.T.A.L.K.E.R merupakan sebuah game FPS survival yang telah dihasilkan oleh GSC Game World. Game ini berdasarkan kepada sebuah novel berjudul Roadside Picnic yang telah diterbitkan pada tahun 1972 oleh Boris dan Arkady Strugatsky. Dalam novel tersebut, ia mengisahkan tentang seorang protagonis bernama Redrick “Red” Schuhart, seorang stalker yang berpengalaman di mana dia masuk ke dalam kawasan Zone untuk mencari artifak-artifak berharga yang boleh dijual.

8. Assassin’s Creed

Menurut produser Jade Raymond, game Assassin’s Creed yang pertama diinspirasikan dari sebuah novel bertajuk Alamut yang telah diterbitkan pada tahun 1938 oleh Vladimir Bartol. Novel tersebut berlatar belakangkan di Alamut, iaitu sebuah kubu Parsi sebenar yang terletak 60 batu dari Tehran, Iran. Pada abad ke-11, kubu Alamut tersebut telah dikawal oleh sekumpulan Assassins dan ketua mereka, Hassan-i Sabbah.

9. Parasite Eve

Jika video game lain mengadaptasi dari novel atau buku terkenal. Video game Parasite Eve pula bertindak sebagai sekuel kepada novel yang diadaptasinya. Novel Parasite Eve yang telah diterbitkan pada tahun 1995 oleh ahli farmakologi iaitu Hideaki Sena di mana ceritanya memfokuskan kepada ketakutan manusia terhadap sel-sel dalam badan manusia.

10. Bloodborne

Sama seperti Bioshock, Bloodborne tidak mengadaptasi, tapi meminjam elemen-elemen penting dari novel-novel karya H.P. Lovecraft yang menampilkan elemen seram dan Gothic di dalam permainan mereka.

JomKomen!