in , , , , , , , ,

10 Berita Gaming Paling Hangat Dibualkan Pembaca JomGaming Sepanjang 2021

Di kala dunia keseluruhannya sedang cuba bangkit untuk sembuh daripada pelbagai kesakitan yang tak berkesudahan, industri gaming juga menghadapi pasang surutnya sepanjang tahun 2021.

Dari kempen mendukung Gaza melalui pembelian game buatan Palestin, filem Uncharted, jualan scalper PS5 hinggalah kepada malapetaka eFootball 2022 — dunia gaming tentunya mencorakkan hidup setiap gamer dengan caranya yang tersendiri dalam tahun yang penuh pancaroba ini.

Dalam artikel kali ini, kami akan mengumpulkan 10 topik yang paling hangat dibualkan di JomGaming, atau secara tepatnya apakah artikel-artikel yang paling mendapat perhatian pembaca kesayangan kami sepanjang tahun 2021.

Setiap artikel di bawah boleh dibaca artikel asalnya secara penuh dengan klik sub-tajuk tersebut.

10. Hanya Gunakan Mulut, Gamer OKU Ini Boleh Belasah Korang Dalam Call of Duty: Warzone

Sebelum membawa perwatakan seorang gamer, kita semua merupakan seorang manusia terlebih dulu.

Tiada apa yang dapat menjentik hati manusiawi seorang gamer selain melihat gamer lain yang berusaha sedaya mampu untuk bermain game di sebalik segala kekurangan yang ditempuhi.

Ryan Gunter, pada usia 16 tahun, pernah terlibat dalam satu kemalangan di kolam renang. Kepalanya terhentak, menyebabkan badannya lumpuh. Kini, lebih dikenali sebagai HO11YWOOD_QG, menggunakan mulutnya untuk bermain Call of Duty: Warzone melalui satu controller yang dicipta khas, digelar Quadstick.

Kini, berusia 27 tahun, beliau berkata “Adakah saya fikir saya lebih baik daripada kebanyakan pemain dalam Warzone? Saya rasa ya. Tanpa keraguan.”

9. Pemain GTA V Ini Habiskan Story Tanpa Terkena Satu Tembakan/Tercedera Langsung

Senarai berita paling hangat tidak akan sah sekiranya tiada berita daripada game yang boleh dikatakan sebagai antara game paling popular sepanjang zaman.

Pada Mei lalu, kita dikejutkan dengan seorang pemain ini yang bermain story single-player Grand Theft Auto V dari mula sampai tamat tanpa menerima sebarang tembakan atau tercedera langsung.

Pemain itu mendedahkan yang kejayaan itu hadir semasa kali ke-48 percubaannya.

8. Ahli Parlimen UK Mahu Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap Scalper PS5 – “Tidak Adil Kepada Pemain”

Golongan yang membeli sesuatu barang dan kemudian menjualnya semula dengan harga melambung, atau lebih mudah kita panggil sebagai scalper, merupakan isu besar yang dialami oleh gamer seluruh dunia, terutamanya apabila dua jenama gergasi konsol, Xbox dan PlayStation melancarkan konsol terbaharu masing-masing pada zaman pandemik.

Apabila seorang Ahli Parlimen di United Kingdom (UK) menyatakan usul untuk mengambil tindakan terhadap scalper PS5, ia tentunya mendapat perhatian orang ramai, termasuklah pembaca JomGaming.

Lebih daripada setahun PS5 dilancarkan, masalah ini masih belum dapat diselesaikan oleh mana-mana negara, termasuk Sony sendiri.

7. Valve Umumkan Steam Deck, Pesaing Nintendo Switch – Segalanya Tentang Sistem PC Gaming Bimbit Paling Berkuasa Ini

2021 telah menyaksikan Valve mengumumkan sesuatu yang bukan sahaja mengejutkan ramai, malah mendapat maklum balas yang begitu positif.

Steam Deck telah diumumkan, sebuah sistem PC gaming bimbit (handheld) yang memfokuskan kepada kemampuan untuk bermain game-game yang ada di platform Steam di mana-mana sahaja.

Dengan bermacam ciri dan fungsi yang mengagumkan, tahun hadapan tentunya menjadi tahun yang amat dinantikan kepada gamer PC kerana Valve menjadualkan Steam Deck akan dilancarkan pada Februari 2022.

6. Pemain Berjaya Cipta Mod Third-Person Dalam Cyberpunk 2077, Saksikan Video Ini

Trailer Prolog Penuh Aksi Dan Gameplay Teknologi 'Braindance' Baru Cyberpunk 2077 Diperlihatkan

Tanpa perlu disangkal lagi, Cyberpunk 2077 telah melalui satu tahun yang penuh onak berduri setelah CD Projekt Red melancarkan game itu dalam keadaaan yang amat memalukan.

Dari sekian banyak kekurangan dalam game open-world itu, ada terselit satu ciri yang ramai gamer kurang gemar, iaitu pandangan first-person.

Apabila seorang modder ini telah menemui cara untuk bermain game futuristik itu dalam pandangan third-person, semestinya ia telah mendapat perhatian ramai pembaca JomGaming.

5. Gameplay eFootball Mula Tertiris – Korang Lihat Dan Nilaikan Sendiri

2021 merupakan tahun yang sungguh memilukan kepada penulis secara khususnya, serta kepada peminat tegar siri game bola sepak keluaran Konami secara amnya.

Konami telah melakukan satu langkah yang mungkin tidak pernah terbayang oleh mana-mana peminat tegar siri PES sebelum ini. Meninggalkan legasi jenama PES itu sendiri, serta bertukar ke arah model game percuma merupakan satu hirisan luka yang penulis sehingga ke hari ini tidak boleh terima lagi.

Kali pertama melihat video gameplay eFootball 2022 yang tertiris membuatkan ramai pembaca memperkatakannya dan melempiaskan kemarahan kepada Konami — yang kemudiannya terus menjadi game paling rendah rating dalam sejarah di Steam.

4. Jualan PS5 Warna Hitam Bertemakan PS2 Dibatalkan, Staf Terima Ancaman Keselamatan

Ada Peminat Mula Cipta (& Akan Jual) PS5 Dengan Rekaan Bertemakan PS2

Jauh sebelum Sony mengumumkan plat sisi rasmi untuk konsol PS5, banyak pihak yang sudah melakukan kerja yang lebih pantas untuk mereka dan menjual plat sisi tersebut.

Bahkan, satu syarikat ini pernah mencipta plat sisi bertemakan corak PS2 yang pada mulanya mendapat sambutan hangat, sebeleum menerima amaran untuk diambil tindakan undang-undang oleh Sony.

3. Ini Mungkin Game PS5 Dengan Grafik Paling Realistik – Sampai Rasa Macam Nak Muntah

Game perlumbaan motor mungkin tidaklah sepopular game-game lain. Namun satu video dari Ride 4 untuk PS5 telah mendapat perhatian yang cukup ramai apabila memaparkan grafik realistik yang begitu menakjubkan.

Dimuatnaik dalam 4K 60FPS, apa yang membuatkan video terasa seperti video perlumbaan sebenar adalah disebabkan ia memaparkan gameplay dari pandangan first-person.

Ada yang sampai terasa pening macam nak muntah apabila menonton video ini kerana terasa seperti ia dirakam melalui GoPro dari penunggang motosikal sebenar.

2. Gambar Baharu Filem Uncharted Dikongsikan, Para Peminat Mula Risau Melihat Penampilan Drake, Sully

Setiap kali adaptasi dari video game diumumkan, peminat setia game tersebut akan mulai resah. Apabila gambar pertama dikongsikan, ia tentunya semakin mendebarkan, apatah lagi apabila apa yang dilihat itu tidak mempunyai aura dari game asal.

Itulah apa yang dilalui peminat siri game Uncharted apabila melihat gambar pertama dari filem Uncharted. Apa yang membimbangkan adalah penampilan dan pakaian Nate dan Sully tidak menampakkan ciri-ciri dari game Uncharted itu sendiri, di mana mereka hanya memakai kostum yang generik seperti kebanyakan filem Hollywood lain.

Walau bagaimanapun, kebimbangan itu mungkin sudah semakin berkurangan kini selepas Sony telah mengeluarkan trailer terbaharu yang mungkin ada serba sedikit aura dari game.

1. Bantu Gaza Dengan Beli Game Buatan Pembangun Palestin Ini, Termasuk Percuma Ratusan Game Indie Yang Didermakan

Jun 2021 telah menyaksikan, sama seperti saban tahun sebelum ini, rejim zionis Israel terus menekan rakyat Palestin, terutamanya yang berada di Gaza.

Satu bundle di itch.io telah menggerakkan usaha untuk mengumpulkan dana membantu rakyat Palestin.

Dengan hanya bantuan serendah USD5 (sekitar RM20), kita akan mendapat game berjudul Liyla and the Shadows of War, sebuah game indie yang dibangunkan oleh pembangun berasal dari Palestin, Rasheed Abueideh.

Bukan itu sahaja, bagi merancakkan lagi kempen ini, ratusan pembangun game lain dari pelbagai negara telah bersama-sama untuk mendermakan game masing-masing ke dalam bundle ini secara percuma. Bermakna, dengan hanya membayar sekitar RM20, kita akan mendapat lebih daripada 800 game indie.

Artikel yang mengwar-warkan mengenai kempen ini telah menjadi artikel yang paling banyak dibaca (tentunya setelah banyak dikongsi!) oleh pembaca JomGaming sepanjang 2021.

Tahniah dan terima kasih kami ucapkan kepada semua pembaca kerana artikel yang paling hangat di JomGaming pada tahun ini bukanlah artikel kontroversi, bukanlah artikel kecaman, bukanlah artikel gosip — sebaliknya artikel yang mengajak kita semua bersama membantu saudara kita yang berada di sebuah tanah yang tidak henti-henti ditindas.

Salam perpisahan buat 2021. Semoga 2022 menyajikan lebih banyak kisah suka berbanding duka. Sama-sama kita kayuh perlahan-lahan.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Ini Trailer Kedua Filem Uncharted – Bergembiralah, Sully Dah Ada Misai!

Saksikan 2 Babak Penting Ini Yang Dipotong Netflix Dari Musim 2 The Witcher