Video game bola sepak dan bola keranjang ada peluang untuk dimainkan di Sukan Olimpik.

Sebelum ini, terdapat cakap-cakap yang mengatakan Sukan Olimpik 2024 di Paris mungkin akan membawakan kepada kita acara esports buat kali pertama.

Ia dikuatkan lagi apabila Sukan Asia 2022 yang akan diadakan Hangzhou, China akan membawakan acara esports. Dalam laporan sebelum ini, kita telah mengetahui bahawa game FIFA, satu game dari genre MOBA dan satu lagi game dari genre RTS akan dipertandingkan di Sukan Asia 2022 ini.

Mungkin ramai yang tertanya, kenapa game-game shooter seperti Counter Strike atau Call of Duty tidak dipertandingkan.

Mungkin kita boleh mengagak jawapan kepada persoalan di atas daripada kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Thomas Bach, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Sukan Olimpik ingin menarik lebih ramai pemuda tetapi hanya akan meliputi esports yang tidak menampilkan keganasan, kata Bach, menurut laporan The Star.

Thomas Bach, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Beliau berkata lagi, Sukan Olimpik telah membuka beberapa sukan yang popular dengan milenial, tetapi untuk esports, walaupun semakin meningkat naik, ia perlu diperhatikan dengan lebih mendalam.

“Kami mahu mempromosikan ketiadaan diskriminasi, ketiadaan keganasan, dan keamanan dalam kalangan masyarakat. Ini tidak padan dengan video game, yang mana tentang keganasan, letupan dan pembunuhan. Dan dari situ kita perlu menyatakan batasnya,” ulas Bach.

Esports yang mencerminkan yang dimainkan di dunia sebenar – seperti bola sepak dan bola keranjang – mungkin boleh dipertimbangkan untuk Olimpik, tetapi game-game yang melibatkan keganasan dan pertumpahan darah yang tidak perlu adalah menyalahi “nilai-nilai Olimpik”, kata beliau.

“Jadi, jika seseorang sedang bertanding dalam bermain bola sepak secara maya, atau bermain sukan lain secara maya, ini akan menarik minat ramai. Kami berharap, nanti mereka akan menyajikan persembahan sukan yang sebenar. Jika peminat akhirnya akan turut bermain sukan itu dalam dunia sebenar, kami akan lebih gembira,” tambah Bach lagi.

“Perbincangan ini masih berjalan. Ia akan masih memakan masa kerana industri ini kini sedang membentuknya dengan sendiri. Ia adalah industri yang berjaya, tetapi ia belum bertapak dalam cara berorganisasi.”

Salah satu kebimbangan besar beliau terhadap esports adalah kekurangan pengawal industri ini bagi memastikan pemain video game mematuhi peraturan yang telah dipiawaikan.

“Kamu perlu seseorang yang boleh memastikan kepada kamu yang atlet ini tidak melakukan doping, yang mereka mematuhi peraturan teknikal, yang mereka menghormati satu sama lain.”

Itu kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. Apa pula kata korang? Adakah game-game seperti Counter Strike dan Call of Duty baik untuk dibawa masuk ke Sukan Olimpik? Kongsikan pandangan korang dengan kami di ruangan komen di bawah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.