Adakah keputusan Naughty Dog untuk memanjangkan DLC sehingga 8 jam ini Boleh Beli or Boleh Blah!?

Hmm… merenung masa hadapan.

Selepas berakhirnya Uncharted 4: A Thief’s End dengan jayanya, saya sebenarnya mahukan lebih lagi pengembaraan oleh Nathan Drake.

Namun pada Disember 2016, Naughty Dog membuat keputusan untuk membuat satu standalone DLC bertajuk Uncharted: The Lost Legacy yang menampilkan watak yang mula dikenali dalam Uncharted 2 iaitu Chloe Frazer dan juga watak dari Uncharted 4 iaitu Nadine Ross. Naughty Dog juga pernah bercadang untuk menampilkan beberapa pasangan dinamik yang lain sebelum Chloe dan Nadine terpilih untuk standalone ini.

Apabila pertama kali melihat pengumuman itu, saya sebagai peminat besar siri Uncharted amat teruja dengan berita itu kerana saya dapat main watak Chloe Frazer yang berkebolehan sama seperti Nathan Drake tetapi ada helah berbeza. Apa yang berbeza? Ikuti review kami! SPOILER sedikit bagi Uncharted 4: A Thief’s End di bawah.

Pengembaraan mencari harta karun dari perspektif Chloe Frazer.

Chloe Frazer bukan calang-calang orangnya. Apabila Chloe mula pertama diperkenalkan dalam Uncharted 2: Among Thieves, dia muncul sebagai seorang sidekick yang gilakan harta dan gunakan apa cara jua untuk mendapatkannya.

Seiring bersama dengan Nathan Drake dan Elena Fisher serta berkomplot dengan ketua pemberontak Zoran Lazarevic dan Harry Flynn sepanjang perjalanannya dalam Uncharted 2, Chloe sekaligus berubah 360 darjah.

Chloe melihat perspektif berbeza dalam ekspedisi mencari harta karun bukan sebenarnya hanya fokus terhadap khazanah yang bakal menjanjikan pulangan lumayan tetapi jelas faham bahawa semua pengalaman mencari harta karun ini tidak menjanjikan segala-galanya tanpa tujuan yang sebenar.

Chloe bersama Nadine mencari kota tersembunyi empayar Hoysala dalam hutan tebal di India.

Uncharted: The Lost Legacy membawa dua karakter ke dalam perjalanan ke selatan India dan game ini berlaku setahun selepas kejadian Uncharted 4: A Thief’s End.

Chloe berkolaborasi bersama Nadine dalam misi mencari Tusk of Ganesh, suatu simbol besar bagi empayar Hoysala semasa abad ke-10 sehingga ke abad ke-14.

Walaupun Tusk of Ganesh tersembunyi jauh ke dalam kota Balur, Chloe dan Nadine harus berdepan dengan Asav, seorang ketua pemberontak kejam dan lakukan apa sahaja untuk mendapatkan Tusk of Ganesh.

Dari kiri: Nadine dan Chloe harus menghadapi cabaran getir dari Asav.

Oleh sebab Tusk of Ganesh melambangkan satu simbol besar terhadap empayar Hoysala yang pernah pesat membangun masa zaman itu, Asav menganggap dia tahu akan sejarah Tusk of Ganesh itu dan mahu mengeksploitasi penggunaan artifak untuk dirinya sendiri.

Selain sentiasa dahagakan pengembaraan pula, Chloe memilih untuk mencari Tusk of Ganesh ini kerana sejarah empayar Hoysala memberi makna besar terhadap kehidupan peribadinya.

Pencarian ini juga adalah bukti besar kepada Nadine untuk meneruskan kehidupan setelah kehilangan pemilikan syarikat askar upahan, Shoreline selepas dikhianati oleh Rafe dan juga bekas leftenan kanan, Orca serta ditumpaskan oleh adik-beradik Drake.

Bagi saya, ianya agak pelik juga kenapa Nadine dipilih untuk berganding bersama dengan Chloe sedangkan Nadine ada sejarah hitam dengan pencari (atau pencuri?) harta karun seperti Nathan dan Sam Drake serta Rafe.

Namun, perjalanan mencari harta empayar Hoysala ini membawa makna peribadi berbeza yang mencerminkan sifat unik untuk setiap karakter sama ada protagonis atau antagonis.

Melihat kemusnahan dilakukan oleh Asav di lokasi terhimpit dalam kancah peperangan saudara.

Uncharted tanpa Nathan Drake sebagai watak utama.

Keempat-empat game dalam siri Uncharted diterajui oleh Nathan Drake dan kita sudah lihat pengembaraan Nathan dalam mencari harta karun sejak dari kecil sehingga dia menubuhkan satu syarikat bersama isterinya, Elena mencari artifak-artifak unik di seluruh dunia.

Apa yang saya paling suka tentang siri Uncharted adalah terdapat pelbagai karakter-karakter ditonjolkan di samping Nathan yang agak menarik dan layak diceritakan lebih mendalam.

Cakera yang menyimpan petunjuk ke arah Tusk of Ganesh.

Semangat pencarian harta karun di kota-kota tersembunyi ke lokasi seluruh dunia penuh dengan sejarah tersendiri serta berdepan dengan anasir jahat tidak pernah hilang dalam siri Uncharted.

Kali ini ialah giliran Chloe menyambung tradisi pengembaraan Uncharted dan Chloe berjaya menangkap semangat eksplorasi harta karun dengan gayanya tersendiri malah lebih menyeronokkan berbanding Nathan.

Apa yang seronok sangat main sebagai Chloe Frazer?

Chloe mempunyai beberapa kebolehan unik yang tidak pernah ditonjolkan dalam game Uncharted sebelum ini selain daripada dialog-dialognya agak lucu dalam interaksi bersama Nadine.

Antara kebolehannya adalah Chloe boleh membuka apa-apa pintu dan juga peti menggunakan ‘lockpick’.

Mudah sahaja untuk membuka peti ini dengan berpandukan gegaran diberikan oleh controller PS4 anda.

Chloe boleh mendapat akses senjata dan bom tangan serta C4 sebelum membuka banyak peti yang berserakan di serata Western Ghats selepas menggunakan kebolehan ‘lockpick’.

Pencarian artifak-artifak juga lebih mudah dengan aksesori gelang Queen’s Ruby. Untuk mendapatkan gelang Queen’s Ruby, pemain harus mencari setiap token tersembunyi melalui lokasi yang sudah ditandakan oleh Chloe dalam peta.

Satu token, dua token, tiga token…

Gelang Queen’s Ruby akan bercahaya serta controller PS4 anda akan bertukar menjadi warna merah jambu jika ada artifak yang tersembunyi di sekeliling Chloe.

Lebih senang untuk mengumpul artifak-artifak yang terselit di tempat-tempat kecil dalam persekitaran hutan (dan juga dalam air!) dan lengkapkan ke dalam koleksi artifak yang anda boleh lihat di menu hadapan game.

Chloe juga mempunyai sebuah telefon pintar tahan lasak bertujuan untuk mencatat perjalanannya dalam mencari Tusk of Ganesh sama sahaja seperti Nathan bersama jurnal peribadinya. Pemain juga boleh melihat kembali gambar-gambar yang telah ditangkap oleh Chloe.

Selain itu, pendekatan untuk menjatuhkan musuh juga agak berbeza bagi Chloe apabila dia dilengkapi dengan pistol senyap dan mempunyai serangan jarak dekat serta jarak jauh tersendiri.

Namun, sistem pertempuran dalam Uncharted: The Lost Legacy ini agak sama seperti Uncharted 4 di mana anda boleh memilih untuk pergi terus aksi tembak-menembak atau rancang untuk serangan hendap kepada semua musuh.

Paku, panjat, pandu, luncur dan lari.

Elemen gameplay Uncharted 4: A Thief’s End banyak diserap masuk ke dalam standalone game ini seperti penggunaan tali, gerakan meluncur, zipline dan juga penggunaan piton semasa memanjat.

Penggunaan tali membolehkan pemain berayun ke ruang lain ataupun digunakan untuk menjatuhkan musuh dari tempat tinggi. Serius dah rasa macam Tarzan.

Untuk game kali ini, Chloe dan Nadine buat zipline sendiri dari satu tempat ke satu tempat lain menggunakan selendang untuk berpaut ke wayar-wayar lampu.

Lara Croft ketepi, Chloe Frazer mari!

Berluncur adalah satu kemestian dalam pengembaraan bersama Chloe dan Nadine. Di mana-mana sahaja mereka berluncur seperti di atas bumbung rumah, di celah-celah gunung dan juga meluncur untuk menyelamatkan diri sendiri.

Weee! Meluncur seperti di taman tema air!

Penggunaan piton juga diteruskan ke dalam Uncharted: The Lost Legacy apabila Chloe dan Nadine memperoleh piton melalui alat-alat yang ditinggalkan oleh askar Asav. Ini memudahkan aktiviti memanjat dengan tikam piton ke arah batu bergerigi untuk mara ke destinasi seterusnya.

Chloe dan Nadine juga sewa satu jip untuk merentasi kawasan luas hutan tebal selatan India. Ini membolehkan pemain untuk meluangkan lebih banyak masa mengelilingi semua tempat menjadikan Uncharted: The Lost Legacy juga mengikut pendekatan open-world Uncharted 4.

Teka-teki tekak tekuk.

Siri Uncharted memang tidak pernah lari daripada teka-teki. Untuk menjadi pengembara (ehem, pencuri) harta karun berjaya, anda mestilah mempunyai otak serba geliga.

Teka-teki yang ditampilkan dalam Uncharted: The Lost Legacy pada kali ini agak mencabar dan pasti mengasah minda anda.

Opocot. Jangan penggal aku.

Tetapi jangan risau kerana Nadine akan memberitahu petunjuk atau tip baru kepada anda jika anda menggaru-garu kepala menyelesaikan teka-teki.

Photo Mode.

Keindahan Uncharted: The Lost Legacy bersama dengan perincian kecil dalam persekitaran luas ditonjolkan sekali lagi membuktikan standalone ini setanding bersama siri Uncharted lain.

Pendekatan Photo Mode kali ini berbeza sedikit berbanding Photo Mode Uncharted 4 dengan menampilkan lebih banyak filter, bingkai gambar, menukar posisi sudut matahari dan juga tambahan baru paling menarik sekali iaitu pertukaran ekspresi muka.

Saya memang ambil serius tentang ekspresi muka ini kerana setiap mimik muka menyingkap seribu makna. Berikut ialah screenshot hebat daripada saya:

Bingkai telefon pintar menampilkan swafoto Chloe dengan ekspresi muka terkenal zaman kini.
Alamak! Cepatlah buka pintu ni!
Tangkap gambar pelancong. Nak insta-story kejap.
Agak-agak kalau Chloe ada peluang jadi duta Fair & Lovely tak?

Photo Mode untuk Uncharted: The Lost Legacy agak iras-iras seperti Photo Mode Horizon: Zero Dawn dan saya harapkan Naughty Dog akan teruskan membawa ekspresi muka berbeza ke dalam The Last of Us Part II.

Multiplayer dan Survival Arena.

Selepas anda habis story mode, anda boleh layan multiplayer dan juga tambahan mod terbaru dari Naughty Dog iaitu Survival Arena.

Survival Arena boleh dimainkan secara solo atau online adalah salah satu spin-off daripada Survival Mode yang menampilkan sebanyak 100 wave baru dengan beberapa musuh terbaru, zon Siege terbaru dan juga pelbagai mod serangan wave tersendiri.

Lebih menarik lagi, pemilik Uncharted: The Lost Legacy boleh menyertai komuniti multiplayer Uncharted 4 jadi anda boleh berkomunikasi dengan lebih banyak pemain.

Saya ada cuba sekejap Survival Arena dan bagi saya, ia agak susah dan agak berulang-ulang sehingga membosankan saya.

Secara Kesimpulannya…

Walaupun hanya sedikit sahaja masa diberikan iaitu selama 8 jam, saya benar-benar suka Uncharted: The Lost Legacy dengan keindahan pemandangan merentasi Western Ghats di India, interaksi dinamik antara Chloe dan Nadine, bergandingan bersama individu yang saya tidak pernah sangkakan serta melawan Asav dalam pengembaraan penuh dengan keseronokkan dan cabaran.

Uncharted: The Lost Legacy ini penuh dengan elemen-elemen kejutan bersama dialog Chloe mencuit hati yang saya rindukan semasa bermain Uncharted 2 dan game ini berjaya mengembalikan memori itu.

Apa yang penting? Kerjasama!

Personaliti Chloe dan Nadine yang mempunyai perbezaan agak ketara juga memainkan peranan penting dalam game ini. Bagi saya, Chloe adalah cerminan Nathan Drake versi perempuan tetapi Chloe lebih tegas dalam kebolehan dan keputusannya.

Nadine pula mempunyai personaliti yang agak radikal kerana mempunyai pengalaman luas mengendali setiap situasi pertempuran dan juga pernah ditipu oleh orang seperti Chloe menjadikan penceritaan karakter Nadine lebih baik berbanding penglibatan dia dalam Uncharted 4.

Jika Uncharted: The Lost Legacy ditakdirkan menjadi game terakhir Uncharted oleh Naughty Dog, maka Naughty Dog berjaya memberikan pengakhiran terbaik bagi siri Uncharted.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Menikmati pemandangan matahari terbenam di pasar.

Bagi peminat tegar Chloe Frazer yang mahukan dia menjadi protagonis utama sejak dia muncul dalam Uncharted 2 dan Uncharted 3: Drake’s Deception, maka Uncharted: The Lost Legacy adalah game yang anda nanti-nantikan selama ini. Anda harus dapatkan game ini!

Bagi mereka yang mahukan pendedahan lebih tentang Nadine Ross (bagi saya, kurang diceritakan semasa Uncharted 4), standalone ini harus dimiliki.

Sekiranya anda tidak pernah sentuh siri Uncharted sama ada 1, 2 atau 3 tetapi pernah main Uncharted 4, anda masih lagi boleh menikmati game ini tetapi kurang pengetahuan tentang hubungan Chloe dengan Nathan Drake.

Kalau anda tidak pernah main mana-mana game Uncharted, maka game ini tidak sesuai bagi anda kerana terlalu banyak sangkut paut ceritanya. Lagipun, Uncharted: The Lost Legacy cumalah hanya satu standalone.

+ Pengakhiran hebat untuk siri Uncharted
+ Grafik yang amat lawa dan memukau
+ Photo Mode mantap
+ Penceritaan setiap watak yang mengagumkan
+ Mengembalikan nostalgia karakter Chloe Frazer dan Nadine Ross ke dalam cerita baru

 Sekejap sahaja hanya dalam sekadar 8 jam
 Musuh kadang-kadang agak menjengkelkan dan ada sedikit glitch
 Pencarian token mungkin merunsingkan pemain
 Multiplayer dan Survival Arena repetitif dan membosankan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.