Mampukah Tango Gameworks dibawah naungan Shinji Mikami memberikan impak positif pada siri survival horror ini?

The Evil Within 2 adalah sebuah survival horror yang dibangunkan oleh Tango Gameworks dan diterbitkan oleh Bethesda Softworks untuk PC, PlayStation 4 dan Xbox One. Keluaran ini adalah sekuel kepada The Evil Within yang telah diterbitkan pada tahun 2014 dahulu.

Tak pernah main siri asal The Evil Within, boleh ke?

Pada pendapat penulis, mereka yang tidak pernah bermain siri asal tidak perlu khuatir untuk mencuba The Evil Within 2 kerana tragedi yang telah melanda Sebastian Castellanos dan keluarganya telah pun diterangkan dengan baik pada awal babak permulaan.

Pujian haruslah diberikan kepada sekuel ini kerana penyampaian cerita yang menarik dan tidak membosankan. Masalah mental Sebastian dikupas dengan cemerlang dan dibantu dengan penyampaian watak-watak antagonis yang tidak kurang hebat! Seni rekaan dunia dan watak-watak juga cukup unik, sesuai dengan dunia horror yang ingin disampaikan.

Bagaimana pula dengan gameplay?

Serupa dengan siri asalnya, The Evil Within 2 adalah sebuah survival horror game yang menggunakan perspektif third-person. Ia menyediakan tiga tahap cabaran iaitu Casual, Survival dan Nightmare. Produser siri ini, Shinji Mikami telah mengesyorkan untuk pada pemain-pemain untuk mencuba mode Casual bagi mereka yang pertama kali mencuba The Evil Within 2.

Dengan kawasan eksplorasi yang luas dan terbuka, pemain boleh memilih untuk bertarung secara terus dengan musuh atau memilih jalan yang lebih selamat dan menyelinap ke objektif yang telah ditetapkan. Cabaran bertambah menarik apabila pemain diletakkan dalam lorong atau bilik-bilik yang lebih sempit, boleh dikatakan Tango Gameworks berjaya memberikan pengalaman yang menarik pelbagai situasi.

Dalam The Evil Within 2, pemain perlu mengumpul sumber-sumber untuk menaik-taraf item dan senjata serta membuat peluru bagi senjata yang telah diperolehi. Apa yang menarik tentang crafting system diterapkan dalam keluaran kali ini, pemain perlu menggunakan sumber yang diperolehi dengan segera kerana bilangan inventori tidak terlalu besar. Pada pendapat penulis, ini adalah rekaan yang bijak bagi mengelakkan sikap mengumpul (hoarding) sumber/item yang keterlampauan.

Pemain juga akan diberikan akses kepada 5 cabang kebolehan untuk Sebastian iatu health, stealth, combat, recovery dan athleticism yang memberikan pelbagai kelebihan semasa melakukan eksplorasi. Sedikit ralat terasa dalam bahagian ini terutamanya dibahagian combat kerana ia seperti tidak terlalu berguna memandangkan pilihan untuk menaik-taraf senjata memberikan efek yang lebih memberansangkan.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH?

Kehadiran Shinji Mikami di Tango Gameworks sememangnya memberikan impak positif dan ia jelas dapat dilihat dalam The Evil Within 2. Studio tersebut telah mengambil komen-komen mengenai siri asal dan memperbaikinya dalam sekuel kali ini. Antara survival horror terbaik untuk 2017? Sudah pasti.

+ Penyampaian cerita yang cukup menarik
+ Rekaan dunia yang menarik untuk diterokai (open world dan juga linear)
+ Seni rekaan yang menarik, sesuai dengan genre horror

 AI yang kurang bijak dan mudah dieksploitasikan
 Ability system yang masih boleh diperbaiki
 Gerakan berjalan yang agak berat dan perlahan

The Evil Within 2 sudah boleh didapati untuk PC, PS4 dan Xbox One.

Comments

comments