Pembangunan industri esport akan menjadi perhatian kerajaan Malaysia yang baru.

Gambar fail. Sumber.

Antara manifesto Pakatan Harapan semasa berkempen di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah pembinaan e-stadium. Terbaru, dalam satu wawancara bersama Astro Awani, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), telah memperjelaskan lagi serba sedikit rancangan kerajaan untuk industri esport tanah air.

Salah satu perkara yang beliau tegaskan adalah pemain esport di Malaysia wajar diberi perhatian melalui penyediaan fasiliti sewajarnya demi memajukan sukan itu sendiri.

Beliau berkata kerajaan komited untuk membantu anak-anak muda yang berpotensi tinggi dalam industri ini menerusi pembangunan “stadium” e-sukan atau e-stadium.

“E-stadium yang dimaksudkan bukan mengenai pembangunan infrastruktur tetapi lebih kepada fasiliti.”

“Kita tidak boleh lupakan golongan (pemain esport) ini kerana golongan ini agak besar, khususnya golongan anak muda 25 tahun ke bawah. Kita perlu membantu mereka.”

“Contohnya dengan menyediakan latihan dan infrastruktur jika mereka mahu mewakili negara ke peringkat antarabangsa dan memastikan mereka mempunyai elaun yang cukup, supaya mereka dapat sara hidup dan membanggakan Malaysia di peringkat dunia.”

Mungkinkah kerajaan baru akan meneruskan atau menambahbaik program elaun untuk pemain esport negara yang diiktiraf Persatuan Esukan Malaysia (ESM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah diperkenalkan kerajaan lama?

Seterusnya, Syed Saddiq juga menyebutkan tentang hasratnya untuk mengubah pandangan negatif masyarakat luar terhadap gamers. Menurut beliau, esport merupakan sebahagian daripada evolusi sukan, dan sewajarnyalah stigma buruk mengenai gamers wajar diubah.

“Mungkin ada pihak akan kata kenapa mahu bantu mereka (pemain esport) yang malas duduk atas kerusi tidak membuat apa-apa. Tetapi, sukan berevolusi.”

“Kalau kita lihat pada kurun ke-18 atau ke-19, sukan yang ada sekarang mana ada wujud pada masa dahulu.”

“Kita perlu pandang ke hadapan. Kita sudah masuk ke fasa yang baru dan ia melibatkan esport,” tambah Syed Saddiq.

Apa-apa pun, kami berharap kerajaan dapat tampil ke hadapan dan menyelesaikan dengan segera beberapa isu penglibatan pemain esport dalam acara demonstrasi di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang pernah dibangkitkan oleh JomGaming.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.