Rasanya masih belum terlambat untuk JomGaming ucapkan syabas dan tahniah kepada kontinjen negara di Sukan SEA ke-29 yang baru sahaja berakhir beberapa hari lalu. 

Malaysia sebagai tuan rumah telah berjaya memperoleh pencapaian terbaik di pentas sukan tertinggi Asia Tenggara itu dengan mengumpulkan 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa. Cukup membanggakan!

Majlis penutup Sukan SEA ke-29 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Sumber: Facebook Kuala Lumpur 2017.

Esports Semakin Mendapat Perhatian Dunia

Tanpa melengahkan masa, jom kita beralih ke topik utama kita pada kali ini. Sekiranya korang mengikuti tentang esports khususnya, dan hal-hal yang berkaitan dengan sukan amnya, pasti korang akan mengetahui tentang hasrat pelbagai pihak untuk memasukkan pertandingan video game atau lebih kita kenali dengan terma esports ke dalam temasya sukan tradisional.

Sukan Asia ke-19 pada tahun 2022 yang bakal berlangsung di Hangzhou, China telah disahkan dengan kemasukan esports ke dalam temasya terbesar untuk benua ini. Ia telah diumumkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) semasa organisasi tersebut mendedahkan tentang kerjasama yang mereka lakukan dengan Alisports, sebuah syarikat internet sukan di bawah syarikat gergasi dari China, Alibaba.

Kontinjen Malaysia di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Esports akan menjadi demonstrasi di Sukan Asia Ke-18 yang akan diadakan pada tahun hadapan di Jakarta dan Palembang, Indonesia – sebelum ia akan dipertandingkan secara rasmi di Sukan Asia 2022.

Sebagai previu kepada apa yang bakal OCA tampilkan dalam Sukan Asia kelak, esports akan dipertandingkan di Asian Indoor and Martial Arts Games (AIMAG) pada September ini di Ashgabat, Turkmenistan. Di AIMAG ini, FIFA 17, game bergenre multiplayer online battle arena (MOBA) dan real-time strategy (RTS) akan dipertandingkan.

Manakala, apakah game yang akan menjadi demonstrasi di Jakarta-Palembang pada 2018, dan seterusnya pingat yang akan dipertandingkan di Hangzhou masih belum diumumkan.

JomBaca: Sukan Olimpik Paris 2024 Mungkin Akan Membuka Pintu Kepada Esports

Menambah rencah kepada kehangatan Sukan Asia membawakan esports ke dalamnya, baru-baru ini, Thomas Bach, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, telah memberikan sedikit kenyataan tentang peluang esports dimasukkan ke temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik.

Thomas Bach, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa.

Kata beliau, Sukan Olimpik ingin menarik lebih ramai pemuda tetapi hanya akan meliputi esports yang tidak menampilkan keganasan.

Esports yang mencerminkan sukan yang dimainkan di dunia sebenar – seperti bola sepak dan bola keranjang – mungkin boleh dipertimbangkan untuk Olimpik, tetapi game-game yang melibatkan keganasan dan pertumpahan darah yang tidak perlu adalah bertentangan dengan “nilai-nilai Olimpik”, tambah Bach.

Esports – Sukan Ataupun Bukan?

Penulis secara peribadi merupakan seorang peminat pelbagai sukan tradisional. Bola sepak, badminton, pencak silat dan bola jaring (ehem) adalah antara acara yang menjadi perhatian penulis pada Sukan SEA baru-baru ini. Dan pastinya, penulis juga seorang gamer yang pernah beberapa kali memasuki pertandingan esports.

Jika diajukan soalan kepada penulis, apakah wajar untuk memasukkan pertandingan video game kompetitif ke dalam temasya-temasya sukan seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau Sukan Olimpik?

Penulis akan katakan ia sangat tidak wajar.

Sukan Olimpik pertama kalinya dianjurkan pada tahun 1896 di Athens, Greece. Bermula dari edisi yang pertama lagi, ia merupakan sebuah kejohanan sukan tradisional yang melibatkan acara-acara fizikal.

Sukan tradisional dan esports adalah dua dunia yang berbeza. Persiapan dan latihan yang dijalankan oleh kedua-dua acara ini adalah jauh berbeza. Sukan tradisional memerlukan latihan yang lebih kepada fizikal seperti kekuatan otot, stamina, kecergasan dan lain-lain.

Bukan nak kata esports tidak memerlukan latihan yang mencabar dan terlalu mudah. Untuk menjadi seorang pemain profesional esports juga memerlukan latihan yang berterusan, namun ia melatih pemain dalam aspek-aspek yang lain pula seperti ketangkasan tangan, minda yang pantas membuat keputusan, refleks yang tinggi – atau dalam kata lain, aktiviti yang kurang melibatkan pergerakan fizikal yang banyak berbanding sukan tradisional.

Kita selami pula dalam satu lagi permainan yang sejak sekian lama ingin memasuki Sukan Olimpik, iaitu permainan catur. Catur adalah salah satu “sukan minda” yang sehingga kini belum mendapat tempat dalam Sukan Olimpik.

Catur sebenarnya telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, namun masih belum pernah dipertandingkan di mana-mana pentas Olimpik. Jika catur masih tidak “layak” untuk dipertandingkan di Olimpik, mengapa perlu esports?

Poin ini sahaja sudah cukup untuk tidak memasukkan esports ke dalam acara temasya yang sejak azali hanya dipertandingkan dengan sukan-sukan tradisional.

Pada hemat penulis, kemasukan esports ke dalam temasya sukan semata-mata kerana ingin menarik golongan muda, yang kini ramai terlibat dalam esports, untuk terus memberikan perhatian kepada temasya sukan tradisional. Ia samalah seperti apa yang telah diperkatakan oleh Thomas Bach sendiri baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, penulis tidak menafikan bagaimana format yang digunakan dalam mana-mana temasya sukan, iaitu memiliki kontinjen setiap negara, bertanding dan mengumpul seberapa banyak pingat untuk mengharumkan nama negara adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh esports untuk masuk ke dalam jiwa masyarakat arus perdana.

Penulis pasti ramai yang tidak tahu tentang IeSF World Championship, sebuah kejohanan esports yang mengetengahkan para atlet berdasarkan negara, dan semestinya mereka berpeluang untuk mengharumkan nama tanah air. Kejohanan ini merupakan satu usaha yang perlu dipuji memandangkan ia cuba untuk menaikkan esports ke satu tahap yang lebih baik. Tetapi mengapa masih ramai yang tidak kenal dengan IeSF World Championship ini?

Olimpik, Paralimpik Dan Mungkin E-limpik?

Maka, apa yang penulis boleh cadangkan adalah, temasya-temasya sukan ini boleh membawa acara-acara esports ke dalamnya, tetapi perlu mengasingkannya, sama seperti bagaimana mereka mengasingkannya antara para atlet biasa dan paralimpik. Sebelum ini, kebanyakan temasya sukan yang berakhir, ia akan diikuti oleh sukan yang disertai oleh paralimpik, dan dari sini, kita boleh pecahkannya kepada pentas esports pula – yang penulis ingin gelarkan sebagai E-limpik.

Ya, tidak dinafikan bahawa pada masa kini, terdapat beberapa kejohanan esports yang sudah mula menggunakan format kenegaraaan yang digunakan dalam temasya-temasya sukan tradisional. Namun, ia masih belum mendapat liputan yang meluas, kerana ia masih lagi berlegar antara gamers sahaja. Dan seperti yang penulis katakan tadi, untuk esports mendapat tempat di hati masyarakat arus perdana, ia perlu mendapat pengiktirafan oleh organisasi yang sama menguruskan sukan-sukan terbesar, Olimpik misalnya.

Melalui pengasingan ini juga, lebih tinggi peluang untuk memasukkan game-game yang lebih banyak. Seperti yang telah disebutkan di atas, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa tidak mahu memasukkan game-game yang ganas ke dalam Sukan Olimpik. Ini secara tidak langsung boleh merencatkan perkembangan industri esports itu secara amnya.

Cuba korang bayangkan, bagaimana jika esports diasingkan daripada sukan tradisional, dan memiliki arenanya sendiri untuk dipertandingkan, menjadi E-limpik, mengumpulkan pelbagai pingat dalam bermacam acara dengan bebas, tanpa sebarang sekatan seperti terdapat unsur keganasan dalam sesebuah game.

Jom kita buat kiraan kasar, berapakah acara yang boleh kita dapati dalam satu-satu game. Kita ambil game bola sepak (FIFA atau PES) sebagai contoh:

  1. Individu 1v1 (Lelaki)
  2. Individu 1v1 (Wanita)
  3. Co-Op 2v2 (Lelaki)
  4. Co-Op 2v2 (Wanita)
  5. Co-Op 2v2 (Campuran)
  6. Multiplayer 11v11 (Lelaki)
  7. Multiplayer 11v11 (Wanita)
  8. Berpasukan (1v1, 2v2, 1v1) (Lelaki)
  9. Berpasukan (1v1, 2v2, 1v1) (Wanita)
  10. Berpasukan (1v1, 2v2, 1v1) (Campuran)

Melalui satu game bola sepak sahaja, kita telah mempunyai 10 acara yang boleh dipertandingkan. Kita gandakan pula kepada dua (FIFA x PES), dan kita akan mempunyai 20 acara daripada dua game bola sepak paling popular di dunia.

Bayangkan berapa banyak acara yang kita boleh pertandingkan daripada pelbagai game esports di luar sana. DotA 2, Counter Strike: Global Offensive, League of Legends, Call of Duty, Tekken, Street Fighter, Rocket League, Rainbow Six Siege, Clash Royale, Mobile Legends dan banyak lagi game yang boleh disenaraikan.

Biarlah Esports Mekar Seiring Olimpik, Bukan Dalam Olimpik

Akhir kata, sekiranya temasya-temasya sukan masih ingin memasukkan esports dan gabungkannya ke dalam sistem pungutan pingat yang sama dengan sukan-sukan tradisional, kata penulis ia sesuatu yang sangat tidak wajar. Sebagai pencinta sukan, ia seolah-olah akan mencemari keunikan dan keindahan yang terdapat dalam sukan tradisional sejak sekian lama ia dipertandingkan.

Dan kalau juga temasya-temasya sukan ini masih tidak mahu mengasingkan antara sukan tradisional dan esports, seperti mana atlet biasa dan atlet paralimpik diasingkan, tidak terlalu keterlaluan untuk penulis kata peminat esports tidak perlulah terhegeh-hegeh untuk meraih populariti daripada temasya-temasya sukan ini.

Industri esports kini mempunyai para penyokongnya yang tersendiri dan ia sedikit demi sedikit telah menarik perhatian masyarakat di luar sana. Tanpa perlu perhatian daripada temasya-temasya sukan ini sekalipun, kita telah mempunyai sebuah pertandingan yang menyajikan hadiah terkumpul yang begitu besar, jauh lebih tinggi daripada hadiah yang pernah ditawarkan dalam mana-mana sukan tradisional dalam sejarah. Baru-baru ini, kejohanan DotA 2, The International 7 telah menyajikan hadiah kemenangan terkumpul lebih daripada USD20 juta!

Sukan tradisional dan esports – masing-masing mempunyai peminatnya sendiri, atletnya sendiri, kehangatannya sendiri, popularitinya sendiri, caranya sendiri – suatu yang penulis rasakan tidak mungkin dapat dijodohkan.

Ini hanyalah pandangan peribadi penulis. Bagaimana pula pandangan korang? Apakah wajar untuk memasukkan esports ke dalam temasya-temasya sukan seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik? Kongsikan komen korang, jom kita sama-sama bincangkan.

Comments

comments