Jakarta dan Palembang sudah mula memanggil!

Persekutuan Sukan Elektronik Asia (Asian Electronic Sports Federation – AESF) baru sahaja mengumumkan beberapa maklumat penting tentang pertandingan demonstrasi esports yang bakal diadakan dalam Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang. Antara pengumuman yang dibuat adalah senarai video game yang akan dipertandingkan, rantau pusingan kelayakan, dan tarikh akhir untuk menghantar nama atlet bagi setiap negara.

Kini, apa yang bermain dengan kencang di minda pemain dan penggiat industri esports tanah air adalah — apa langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh badan yang bertanggungjawab bagi menghadapi Sukan Asia 2018?

Seperti yang semua sudah maklum, 9 Mei lalu telah menjadi titik permulaan baru bagi sebuah negara bernama Malaysia. Kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah selama lebih enam dekad telah digantikan oleh rakyat dengan kerajaan baru Pakatan Harapan.

Peralihan kuasa bukannya sesuatu yang mudah. Ia memberi kesan bukan sahaja kepada pemerintahan tertinggi negara, tetapi juga memberi impak kepada keputusan yang ingin dibuat dalam pelbagai aspek negara, termasuklah juga industri esports kini.

AESF telah menegaskan, melalui laman web rasmi mereka, bahawa setiap negara/rantau boleh menghantar nama pemain esports yang ingin menyertai Sukan Asia 2018 dari 10 hingga 31 Mei 2018. Dalam erti kata lain, 31 Mei ini adalah tarikh akhir untuk pendaftaran. Ya, ia sangat sudah suntuk.

Untuk rekod, semasa artikel ini ditulis, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Esukan Malaysia (ESM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang perkara ini. Adakah Malaysia akan menghantar perwakilan esports ke Sukan Asia 2018? Jika ya, siapa yang akan dihantar? Jika ada pemilihan, bila?

Mungkin ada sesetengah pihak luar yang mengatakan “mengapa perlu melatah sedangkan ia hanyalah sebuah pertandingan demonstrasi. Ia tidak memberikan sebarang pungutan pingat kepada kontinjen negara pun”.

Di mata orang luar, ia mungkin hanyalah sebuah pertunjukan. Namun, dari kaca mata seorang penggiat industri esports, yang telah memperjuangkan sukan ini sejak sekian lama, ia adalah satu langkah yang cukup besar.

Ya benar. Ia sesuatu yang sukar untuk dinilai buat masa sekarang kerana Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad (TDM) masih lagi belum mengumumkan barisan kabinet yang baru secara penuh. Pastinya kerja-kerja di bawah kementerian tidak dapat dijalankan dengan lancar selagi kementerian dan menterinya tidak diumumkan lagi.

Lebih-lebih lagi, sekiranya terdapat pecahan atau gabungan terhadap mana-mana kementerian memandangkan TDM sebelum ini telah menyatakan yang beliau ingin mengecilkan jumlah kementerian berbanding bilangannya dalam kerajaan sebelum ini.

Jadi, kami di industri esports ini benar-benar berharap agar TDM dapat mempercepatkan pengumuman ini agar segala keputusan terhadap penglibatan atlet kita dalam Sukan Asia 2018 dapat diputuskan dengan segera.

Kami benar-benar berharap agar ada sinar harapan yang baru untuk industri esports ini daripada kerajaan yang baru. Kerajaan sebelum ini telah memulakan beberapa langkah awal dalam memastikan industri ini diangkat menjadi sebuah industri yang lebih besar.

Kerajaan lama melalui Kementerian Belia & Sukan, bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin, Majlis Sukan Negara telah mewujudkan Unit Sukan Elektronik bagi mempersiapkan atlet esports negara bagi menghadapi persaingan pingat dalam Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

“Sukan elektronik ini sudah diiktiraf sebagai satu sukan dan kita tak boleh ketinggalan dalam melatih lebih ramai atlet bagi sukan ini,” kata bekas menteri itu pada Disember tahun lalu.

Bukan itu sahaja, pada Januari lalu, MSN telahpun mengiktiraf pemain-pemain PES dan FIFA sebagai wakil rasmi negara untuk pergi ke kejohanan luar negara. Suatu majlis penyerahan Jalur Gemilang telah diadakan di Bukit Jalil untuk empat pemain PES yang berangkat ke Bangkok, Thailand dan seorang pemain FIFA yang berangkat ke Barcelona, Sepanyol.

Semasa acara itu, Datuk Latt Shariman Abdullah, Presiden ESM berkata, “Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (Esports Malaysia – ESM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sedang merancang untuk menghantar perwakilan negara ke Sukan Asia 2022 & Olimpik Paris 2024 nanti.”

Datuk Latt mengesahkan pada ketika itu yang ESM dan MSN sedang mempertimbangkan acara-acara esports yang popular dan akan dianjurkan di Sukan Asia 2022 & Olimpik Paris 2024 – dan seterusnya akan mula menilai wakil-wakil esports yang berbakat untuk dibawa bertanding di acara-acara sukan bertaraf antarabangsa tersebut.

 

Jangan dilupa pula, baru sahaja diumumkan bulan lalu, ESM telah mengumumkan program Pemilihan Pasukan Esports Kebangsaan 2018 di Orange eSports Stadium. Program yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini merupakan inisiatif menyediakan kontinjen esports negara ke pertandingan esports peringkat antarabangsa di Olimpik 2024 nanti.

Program Pemilihan Pasukan Esports Kebangsaan 2018 yang dirancang akan bermula dari Julai ke September 2018 ini dijangka akan melibatkan penyertaan daripada 15,000 atlit esports di 6 zon merentasi 14 negeri serata Malaysia, dan melalui penyertaan 30 kelab esports kolej/universiti.

Kemuncak kepada program ini nanti akan berlangsung di Ipoh, Perak sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Selain butiran program ini, sistem perlesenan pemain esports kebangsaan turut dijelaskan oleh Rinie Ramli, Setiausaha Agung Esports Malaysia. Menurut beliau, hanya pemain-pemain esports berlesen yang diperakui ESM dan MSN akan layak menyertai program-program pemilihan pemain esports mewakili negara.

Dan sebagai ganjaran, mereka yang memegang status pemain esports negara akan menerima elaun dan tajaan penuh ke pertandingan-pertandingan esports antarabangsa

Maka, persoalan yang telah bermain dalam minda penulis sejak minggu lalu — apa akan terjadi kepada perancangan-perancangan MSN dan ESM di bawah kerajaan baru? Jawapan skema yang diberikan sekiranya ditanyakan tentang persoalan ini pastinya adalah mereka akan mengkaji terlebih dahulu.

Timbul pula persoalan baru, berapa lama ia akan dikaji? Apa akan terjadi kepada perwakilan negara untuk ke Sukan Asia yang terdekat ini? Adakah peluang berharga ini akan dilepaskan begitu sahaja?

Harus diingat juga, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah mengiktiraf esports sebagai industri baru negara. “Ini (esport) industri baharu untuk Malaysia. Kita mesti sediakan orang kita (generasi muda) supaya jadi penjana, pembekal dan peserta aktif dalam cyber games,” kata Najib semasa berucap di Malaysia Cyber Games 2018 (MCG18) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Januari lalu.

Apakah TDM akan turut mengiktiraf industri esports ini?

 

Kita sekali lagi berharap supaya kerajaan baru dapat meneruskan dasar-dasar esports kerajaan lama, jika tidak menambahbaiknya lagi. Apatah lagi apabila semasa berkempen, Syed Saddiq yang kini Ahli Parlimen Muar pernah berjanji untuk memberi tumpuan kepada esports dan membina e-stadium sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya.

Melalui aura yang beliau timbulkan, kita berharap industri esports tidak dianaktirikan. Kerajaan kini perlu giatkan lagi platform yang sudah dibina kerajaan lepas, demi pembangunan sahsiah muda masakini yang cenderung memilih esports sebagai cabang kerjaya dan ekonomi baru masa depan. Kami percaya dengan anak muda seperti Syed Saddiq.

Berbalik kepada pengumuman tentang demonstrasi esports dalam Sukan Asia 2018, mungkin juga kita tidak boleh menyalahkan satu pihak sahaja dalam kelewatan memilih wakil Malaysia. Bagi penulis, pihak AESF juga agak lewat serta kurang memberikan penjelasan dalam mendedahkan info-info penting tentang pertandingan demonstrasi esports ini.

Jadi, ia memang satu situasi yang berselirat, yang mana akhirnya, atlet-atlet esports berbakat tanah air yang menjadi mangsa.

JomBaca: Sukan Ataupun Bukan – Wajarkah Esports Dimasukkan Ke Dalam Sukan SEA, Sukan Asia Dan Olimpik?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.