JomGaming telah mencuba game pertarungan jarak dekat terbaru daripada Ubisoft, For Honor buat kali pertama. Jom baca pandangan penulis mengenai versi beta ini.

Bukan Hack-and-Slash Biasa

Sekiranya anda menjangkakan bahawa For Honor merupakan salah sebuah game hack-and-slash yang biasa terdapat di luar sana, anda semestinya silap. Mungkin sekali pandang apabila kita melibas askar-askar AI dalam game mode 4v4 (minions), kita akan dapat lihat seperti sebuah game hack-and-slash yang tipikal. Namun, apabila pemain bertemu dengan pemain lain, seterusnya memulakan pertempuran 1v1, ia akan menjadi sebuah game yang lain.

Apa yang membuatkan ia berbeza dengan game-game perlawanan pedang lain adalah ia bukan sekadar memiliki butang heavy attack, light attack dan menahan (block) sahaja. Setiap heavy attack, light attack dan block itu memiliki tiga arah yang perlu dipilih dan diputuskan dalam jangka kurang daripada satu saat apabila sedang bertarung.

Apa yang membuatkan penulis begitu seronok memainkan game ini adalah, ia mungkin adalah game perlawanan pedang paling unik dan realistik pernah penulis mainkan. Setiap pukulan dan blocking yang dilakukan haruslah disusuli dengan tiga arah tersebut, membuatkan setiap pertarungan 1v1 itu akan sentiasa menjadi lain daripada pertarungan sebelumnya.

Jika diulas dengan lebih lanjut, For Honor mempunyai mekanik pertarungan yang agak kompleks. Heavy attack, light attack, blocking, break the block, dodge, dan ditambah dengan serangan istimewa menggunakan d-pad membuatkan pertarungan game ini adalah sangat mendalam. Sehinggakan, terdapat beberapa rakan penulis yang mencuba versi beta ini juga, tidak mahu memainkannya lagi kerana mereka mengatakan butang-butang yang perlu ditekan adalah terlalu banyak dan sukar.

Komunikasi Adalah Penting

Versi beta ini menampilkan 3 game mode, iaitu 1v1, 2v2 dan 4v4. Apabila memainkan 1v1 atau 2v2, ia lebih kepada skill individu itu sendiri bagi menentukan kemenangan perlawanan tersebut. Namun, apabila bermain 4v4, komunikasi dan kerjasama adalah sangat penting.

Bermain 4v4 membuatkan penulis merasakan, ini adalah game perang zaman pertengahan yang penulis nanti-nantikan selama ini. Umpama peperangan sebenar, strategi untuk menumpaskan pihak musuh perlu disusun dengan rapi. Permainan akan terasa lebih seronok dan seterusnya membuatkan kemenangan itu dapat dicapai apabila para pemain sepasukan bersatu, berkomunikasi serta bekerjasama dalam usaha untuk menumbangkan musuh.

Apabila rakan sepasukan membantu dalam situasi 2v1 melawan musuh, pastinya mereka dapat ditumpaskan dengan lebih mudah. Dan semestinya sebaliknya, jika mendapat rakan sepasukan yang tidak mahu bekerjasama, situasi 1v2 menentang musuh pastinya menyukarkan lagi keadaan.

Satu Perlawanan Terlalu Singkat

Tiada banyak yang boleh diulas untuk game mode 2v2 dan 1v1 kerana ia merupakan game yang hanya berlawan bersemuka sesama pemain sahaja dan tiada objektif yang perlu dimainkan. Walau bagaimanapun, sebagai sebuah game mode yang memiliki objektif dan bermain secara 4v4, game mode Dominion secara peribadi bagi penulis perlu ditingkatkan jangka masa satu perlawanan itu.

Dominion secara ringkas seperti game mode Domination yang sering terdapat dalam game-game shooter yang lain. Memiliki tiga objektif/flag yang perlu ditawan dan apabila sesebuah pasukan menguasai majoriti objektif, mata pasukan akan bertambah. Untuk game mode Dominion dalam For Honor ini, jumlah 1000 adalah mata yang perlu dicapai untuk memenangi sesebuah perlawanan itu.

Bagi penulis, bagi mendapatkan kepuasan bertarung dalam suasana peperangan itu, sekurang-kurangnya mata yang perlu dicapai untuk memenangi sesebuah perlawanan itu harus ditingkatkan kepada 2000. Ini bagi membuatkan sesebuah perlawanan itu dapat dimainkan dengan tidak terlalu singkat serta kepuasan bermain dalam sesebuah perlawanan itu dapat dirasai.

Pelbagai Lagi Boleh Diperbaiki

Adat bermain versi beta, pasti banyak fungsi-fungsi yang belum lagi dibangunkan dengan baik. Server masih lagi tidak stabil, dengan kerap kali berlaku disconnection daripada server. Frame drop juga dapat dirasai sesekali, lebih-lebih lagi apabila pertarungan sedang rancak berlaku antara 3 hingga 4 pemain dalam satu-satu masa.

Namun, jika hendak dibandingkan dengan sebuah lagi game Ubisoft, For Honor memiliki pengalaman versi beta yang jauh lebih baik berbanding versi beta Rainbow Six Siege. Untuk squad-up bersama rakan-rakan sentiasa lancar dalam beta For Honor ini dan jarang sekali berlaku kesukaran untuk bermain bersama rakan.


Apa-apa pun, tidak banyak yang mampu kami ulas dalam versi beta ini. Nantikan review penuh For Honor daripada JomGaming apabila ia akan dilancarkan sepenuhnya pada 14 Februari kelak. For Honor – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Comments

comments