Temasya sukan terbesar Asia semakin menghampiri!

Beberapa hari lalu, kami telah melaporkan daripada satu sumber tentang enam game yang bakal dimasukkan sebagai pertandingan pertunjukan untuk esport dalam Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.

Terkini, kata rasmi telahpun dikeluarkan, membenarkan laporan sebelum ini.

Persekutuan Sukan Elektronik Asia ( Asian Electronic Sports Federation – AESF) telah mengumumkan secara rasmi enam game yang akan dipertandingkan sebagai demonstrasi Sukan Asia 2018, yang terbahagi kepada Acara Berpasukan dan Acara Individu:

Acara Berpasukan:

  • League of Legends
  • PES 2018
  • Arena of Valor

Acara Individu:

  • StarCraft II: Legacy of the Void
  • Hearthstone
  • Clash Royale

Pertandingan demonstrasi ini adalah anjuran bersama Majlis Olimpik Asia (Olympic Council of Asia – OCA), Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (Indonesia Asian Games Organizing Committee – INASGOC) dan AESF. Ia merupakan persediaan bagi menghadapi pertandingan pingat di Sukan Asia Hangzhou, China pada tahun 2022.

Melalui laman web rasmi AESF, mereka menyatakan yang kesemua 45 negara ahli telah dijemput oleh OCA untuk menyertai pertandingan esport ini.

Seterusnya, mereka juga telah mengumumkan pusingan kelayakan untuk setiap game yang akan dipertandingkan. Terdapat 5 rantau pusingan kelayakan (tidak termasuk tuan rumah) untuk 6 game ini, yang terdiri daripada Asia Timur, Asia Selatan, Asia Tengah, Asia Barat dan Asia Tenggara.

Finalis dari setiap rantau kelayakan ini akan datang bersama-sama di Jakarta dalam acara kemuncak nanti.

Kami telah menghubungi Persatuan Esukan Malaysia (ESM) untuk mendapatkan komen mereka tentang bagaimana pemain-pemain esport Malaysia dipilih untuk menyertai Sukan Asia 2018 ini.

Comments

comments