Walaupun sudah dilancarkan sejak tahun lepas, The Division masih lagi bertahan kuat.

Bercakap kepada IGN, pengarah urusan Massive Entertainment, David Polfeldt berkata Massive Entertainment bersama Ubisoft tetap akan merancang untuk memberikan yang terbaik selagi masih lagi ada pemain dalam The Division tetapi ini bukan bermakna pembangun tiada apa-apa perancangan untuk menyambung The Division ke dalam satu sekuel.

Walaupun Massive Entertainment sekarang tengah fokus membangunkan game Avatar, Polfeldt menyatakan hasratnya bahawa studio ini mahu mengembangkan lagi cerita The Division.

“Saya rasa ada banyak lagi benda menarik yang kami tidak tonjolkan dalam The Division 1. Saya rasakan ada banyak ruang untuk kesinambungan lebih daripada jadikan The Division  online tetapi saya tak boleh bercakap banyak tentang ini buat masa sekarang,” kata Polfeldt.

Usaha untuk menjadikan The Division online dan mengekalkannya supaya mod online game ini akan terus seronok bermain adalah masih lagi menjadi fokus utama studio Massive Entertainment.

Polfeldt berkata, “Bagi saya, menyokong game ini bersama pemain adalah seperti berada dalam satu hubungan akrab. Selagi kamu pergi keluar dating dengan pemain dan kamu berasa teruja tentang ini dan mereka turut berasa teruja, ini membuatkan kamu tidak berhenti keluar ber-dating.”

Melalui jalinan akrab antara pembangun dan pemain, semakin ramai pemain membanjiri The Division dan ini berada di luar jangkaan studio sendiri.

“Dulu, kami hanya jangkakan ada sejumlah pemain kecil buat masa sekarang sebab kami ingatkan untuk terus bangunkan game ini seperti banyak game RPG yang lain membangun mengikut masa. Tetapi apa yang telah terjadi adalah sejak dari patch 1.4, jumlah pemain semakin meningkat dan semakin ramai bermain The Division.

Oleh sebab sambutan menggalakkan daripada pemain, studio Massive akan meneruskan usaha kemaskini yang terbaik untuk memberikan pengalaman bermain terbaik. Kemaskini paling baru dan paling besar untuk The Division adalah patch 1.8 memberikan tempat lagi besar dan dua mod game baru.

“Dari perspektif kami, ia adalah menjadi satu keutamaan untuk membikin The Division lebih gempak dan ia adalah sesuatu yang tidak berhenti pada hari pelancaran sahaja,” seloroh Polfeldt.

Setakat ini, Polfeldt mewakili pasukan di Massive Entertainment berasa puas hati dengan penghasilan The Division dan mahu menjadikan The Division sebagai satu projek berterusan untuk masa akan datang.

Mungkinkah Massive Entertainment dan Ubisoft akan buat The Division 2? Kita tunggu masa sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.