Arena Pro Evolution Soccer tempatan semakin hari semakin meriah. Pasukan-pasukan esports baru mula dibentuk bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Dari kiri, Tengku Erwan, Zainul Ariffin dan Mohamad Rusydi dari NeST Gaming.

Terbaru, sebuah lagi pasukan esports PES telah dibentuk, yang mereka gelarkan sebagai NeST Gaming. Apa yang membuatkan pasukan ini harus diberi perhatian secukupnya untuk peminat setia PES negara adalah senarai tiga pemain yang mereka telah umumkan adalah sangat garang.

Dua daripada tiga pemain ini adalah wakil negara yang telah membawa nama Malaysia dalam PES SEA Finals 2017 di Bandung, Indonesia, iaitu Tengku Erwan Martino bin Tengku Ismail dan Zainul Ariffin bin Burhanuddin.

Seorang lagi pula juga bukan calang-calang. Beliau yang bagi penulis merupakan antara pemain PES yang meningkat naik dengan cukup pantas, sehinggakan beliau kini adalah antara pemain PES negara yang paling digeruni, siapa lagi kalau bukan Mohamad Rusydi bin Idrus.

JomGaming berjaya menghubungi wakil Nest Gaming, untuk bertanya lebih lanjut tentang pasukan esports terbaru ini. Ini kenyataan yang dikeluarkan oleh NeST Gaming:

“NeST terhasil daripada idea bersama Zainul dan Erwan semasa mereka berada di Bandung. Selepas prestasi mengecewakan sekali lagi oleh squad PES Malaysia untuk 2 tahun berturut dan juga selepas berkongsi pendapat bersama pemain-pemain dari Vietnam, Thailand dan Indonesia, tercetuslah idea untuk membentuk satu pasukan baru ini.

Yang paling mencabar sekali untuk pasukan baru adalah mencari penaja. Jadi, pada masa itu Fauzi Zaini mula menawarkan diri untuk menjadi penasihat. Setelah pelbagai perbincangan dan idea, usaha untuk mencari penaja dan juga merekrut pemain baru dijalankan.

Pengalaman Fauzi sebagai bekas admin PES Malaysia sedikit sebanyak membantu. Hasil usaha bersama, kami berjaya merekrut Rush yang kami anggap salah seorang pemain yang boleh dikatakan paling banyak meningkat dalam masa yang singkat. Dengan pengalaman Erwan dan Zainul yang pernah bertanding dalam peringkat Asia Tenggara, kami berharap potensi Rush akan lebih meningkat pada masa akan datang.

Dalam masa terdekat ini, NeST akan umumkan lagi beberapa penaja yang sudi untuk bersama-sama menaikkan esports di Malaysia bersama NeST.”

Kami turut sempat berbual bersama ketiga-tiga pemain ini bagi bertanyakan tentang harapan mereka untuk musim PES 2018 selepas menyertai NeST Gaming. Ini kata-kata mereka:

Tengku Erwan:

“Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada clan terdahulu saya iaitu DEGASA kerana menjadi platform untuk diri saya memulakan penglibatan dalam arena esports ini. Saya berharap untuk PES 2018 apabila menyertai NeST ini, penglibatan saya dalam esports makin meluas dengan sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa menyokong saya selama ini. Diharap esports terutamanya PES semakin berkembang maju di Malaysia.”

Zainul Ariffin:

“Dengan adanya pasukan NeST ini, harapan saya adalah untuk meningkatkan skil permainan dan taktikal saya ke tahap yang lebih baik supaya setanding dengan pemain-pemain Asia Tenggara lain dan mungkin juga setanding dengan pemain bertaraf dunia.”

Mohamad Rusydi:

“Harapan saya dengan kehadiran Nest Gaming ialah saya dapat lebih maju dalam arena PES 2018 dan mungkin ini peluang saya untuk capai impian wakili Malaysia satu hari nanti. Sebaik sahaja saya mengetahui siapakah rakan sepasukan NeST Gaming sewaktu ditawarkan, saya terus setuju. Dengan ini saya dapat sedikit sebanyak tips dari mereka untuk jadi lebih hebat.”

Kami di JomGaming berharap dengan pembentukan pasukan esports dalam arena PES ini, lebih banyak pihak akan lebih berani untuk membentuk pasukan masing-masing. Lebih banyak pasukan yang ada, lebih baik persaingan sihat yang bakal muncul, dan secara tidak langsung, industri esports tanah air akan turut sama berkembang.

Comments

comments