Melalui laman Facebook mereka, Metronomik telah mendedahkan beberapa info terbaru mengenai game pertama oleh studio mereka itu. 

Perkara pertama yang mereka dedahkan adalah judul game tersebut, iaitu ‘No Straight Roads!’. Walau bagaimanapun, ia adalah judul yang masih belum muktamad, dan masih boleh berubah pada masa akan datang.

Metronomik turut mendedahkan bahawa walaupun mereka baru sahaja bermula pada Disember 2017, mereka telah menyiapkan beberapa kerja pra-produksi yang agak baik.

 

Mereka mendedahkan serba sedikit bagaimana proses mereka membangunkan game ini. Dalam masa dua minggu, pasukan ini mengusahakan satu bentuk kerja yang dinamakan ‘Sprint’, yang mana setiap Sprint akan melibatkan semua pembangun seperti artis, programmer, penulis dan lain-lain bagi mencipta satu set fungsi dalam game.

Kemudian, apabila semuanya sudah siap dalam masa dua minggu itu, mereka akan bentangkan dalam satu papan untuk yang mereka yang lain lihat. Seterusnya, mereka sambung untuk Sprint yang akan datang.

Dalam post itu juga, Metronomik telah berkongsi dengan kita sekeping gambar, yang menunjukkan apa yang telah mereka semua bentangkan untuk Sprint kedua – memaparkan papan mood, seni konsep dan seni 3D untuk karakter; papan cerita untuk level pertempuran dengan boss; dan analisis membandingkan dengan game lain.

Korang boleh lihatnya di bawah:

Metronomik menjadualkan untuk melancarkan prototaip mereka apabila tiba hujung bulan April 2018, serta akan turut mendedahkan Sprint ketiga mereka tidak lama lagi.

Melalui laman Facebook peribadi Wan Hazmer pula, beliau menyatakan yang beliau berbangga dengan pasukannya di Metronomik setelah apa yang mereka telah capai dalam masa sebulan. Lebih menarik, Wan Hazmer mendedahkan yang pasukan mereka ini akan berada di GameDev Hangout Kuala Lumpur pada pukul 7 malam ini (12 Januari) di Komune, Bangsar South untuk mereka bentangkan kerja mereka ini kepada para pengunjung di sana.

Metronomik ialah sebuah studio tempatan baru yang diketuai oleh Wan Hazmer, anak Malaysia yang mencipta nama di Square Enix sebagai Lead Game Designer untuk Final Fantasy XV. Beliau telah meninggalkan studio gergasi di Jepun itu dan kembali ke tanah air untuk berbakti kepada industri gaming tempatan.

JomBaca: Metronomik, Studio Yang Diketuai Wan Hazmer Dedahkan Logo Mereka Dan Maksud Di Sebaliknya

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.