Anda mahukan Mass Effect: Andromeda di konsol terbaru Nintendo? Mungkin hasrat itu tidak akan kesampaian, buat masa ini.

Kita masih belum mengetahui secara rasmi apakah spesifikasi yang bakal ditawarkan oleh Nintendo Switch. Sama ada ia akan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan PS4 dan Xbox One atau tidak – ia masih menjadi tanda tanya. Namun, ia tidak mampu untuk menutup mulut para peminat yang tertanya-tanya tentang adakah game yang dijadualkan dikeluarkan untuk PC, PS4 dan Xbox One ini, akan turut dibangunkan untuk Switch.

Bercakap kepada Stevivor, wakil BioWare, Michael Gamble menyatakan bahawa tiada versi Switch dirancang untuk Mass Effect: Andromeda, sekurang-kurangnya buat masa ini. Walau bagaimanapun, studio tersebut masih terbuka kepada idea tersebut, kata beliau.

“Kami tidak merancang untuk itu. Jika Switch dilancarkan dan semua pihak mahukan Mass Effect, siapa tahu,” tambah beliau.

Satu-satunya Mass Effect yang pernah muncul di platform Nintendo adalah Mass Effect 3.

Namun, usah risau mengenai persoalan ini. 13 Januari nanti, Nintendo bakal mengadakan satu acara khas, Nintendo Switch Presentation, mendedahkan segala info yang perlu kita ketahui mengenai konsol ini – termasuklah harga, senarai game semasa pelancaran dan spesifikasi.

Mass Effect: Andromeda dijangka dilancarkan di PC, PS4 dan Xbox One pada suku pertama 2017.

Comments

comments