Nak kena rujuk mufti nih. Heheh

Star Wars Battlefront 2 terbitan EA dilihat sebagai game dengan sistem MTX dan loot box melampau – menggerakkan ramai gamers untuk tidak membeli dan menyokong game ini.

Beberapa bulan lepas, kita tersenyum melihat kebangkitan gamers menentang tindakan syarikat-syarikat game yang ingin menggerakkan microtransaction (MTX) dan penjualan lootbox dalam video game. (Kitorang jeling kat korang EA dan Bungie!)

Ahli-ahli politik, pakar ekonomi, media massa dari serata dunia masing-masing mula memantau dan menyiasat trend MTX dan loot box ini – dan kesan buruknya ke atas pembangunan industri video game dan juga pembangunan sahsiah gamers itu sendiri.

Hasilnya, Belgium telah mengesahkan – loot box diharamkan.

Bagaimanapun, Andrew Wilson, CEO EA semasa bercakap di pembentangan kewangan EA baru-baru ini mempertahankan model perniagaan tersebut dan berkata, “Kami tidak percaya FIFA Ultimate Team ataupun loot box itu satu bentuk perjudian!”

Melihat kepada FIFA Ultimate Team, gamers boleh membeli card packs yang mengandungi pemain bola, item kosmetik, dan consumables secara rawak. Wilson menegaskan gamers yang membeli card pack “akan mendapat sebilangan barang spesifik.” Wilson menambah, “mereka juga tidak menyediakan atau meluluskan sebarang cara untuk menjual item digital ataupun matawang maya di dalam game tersebut bagi mendapatkan matawang dunia sebenar.”

“Kami telah lama bekerjasama dengan pihak-pihak berkanun dan mereka telah mengesahkan bahawa FIFA Ultimate Team itu bukanlah satu bentuk perjudian,” kata beliau lagi.

Persoalannya, setiap pemain bola, item kosmetik, dan consumables yang didapatkan melalui card pack itu adalah RAWAK – jadi bukan-kah itu satu bentuk pertaruhan? Dan sememangnya EA tidak menggalakkan penjualan item digital/matawang maya – tapi bukan kita tak pernah terdengar gamers yang menjual akaun FIFA Ultimate Team hebat mereka dengan harga tak masuk akal?

Kenyataan daripada CEO EA ini tidaklah mengejutkan kita – syarikat-syarikat yang ingin menggalakkan kemajuan MTX dan loot box dalam industri video game ini pasti akan mengambil langkah sedemikian. Apatah lagi, FIFA Ultimate Team mengaut sejumlah USD500 juta setiap tahun buat Electronic Arts (EA). Pastinya mereka ingin memastikan perniagaan MTX dan loot box mereka tidak terjejas.

Walau apa pun alasan CEO EA ini, pihak-pihak berkuasa antarabangsa tidak bersetuju nampaknya. Belanda sudah meletakkan loot box sebagai “ditegah dari segi undang-undang” – dengan FIFA 18 dikaitkan di dalam keputusan perundangan ini.

Jerman, Hawaii dan Washington juga telah memperkenalkan rang undang-undang untuk ban atau menghad penjualan loot box. Undang-undang baru ini pastinya akan buat EA untuk merubah modus operandi mereka.

So, korang pulak macam mana? Bila sebut “loot box adalah judi”, tak terasa sangat. Bila sebut “FIFA Ultimate Team adalah judi”, apa pulak pendapat korang?

Comments

comments