Bersedialah wahai pelanggan PS Plus Asia, koleksi game gempak menanti anda!

Ini semestinya menjadi kepastian pada setiap bulan untuk meneka game apa lagi bakal diberikan secara percuma kepada pengguna PS Plus.

Berikut ialah lima game yang bakal tiba pada 5 April sehingga 9 Mei untuk PlayStation Plus Asia (R3):

Mad Max (PS4)

Membawa masuk inspirasi siri filem Mad Max ditiupkan ke dalam bentuk video game, Mad Max dibangunkan oleh Avalanche Studios dan menonjolkan game open-world pasca apokalips yang terbentang luas dengan padang pasir dan lembah-lembah terbiar.

Anda bermain sebagai Max Rockatansky yang mahu membalas dendam akan geng-geng yang merampas harta kepunyaanya yang diketuai oleh Scabrous Scrotus. Jadi, bagaimana cara paling terbaik dan bergaya untuk memburu geng-geng ini? Caranya adalah ambil satu penolong, Chumbucket dan membina kereta terulung di tanah kering-kontang iaitu dipanggil sebagai Magnum Opus. VROOM!

Heavy Rain (PS4)

Setiap keputusan yang anda pilih dalam Heavy Rain akan memberi impak berbeza terhadap karakter-karakter dalam game ini. Heavy Rain memperkenalkan 4 protagonis yang mempunyai cerita-cerita berbeza tetapi berkait paut dengan satu sama lain yang berlatarbelakangkan satu bandar di Amerika Syarikat yang asyik hujan lebat tak henti-henti.

Anda akan bermain sebagai Ethan Mars, seorang bapa kepada dua anak yang diculik oleh Origami Killer dan dia harus melepasi beberapa ujian yang diberikan oleh penculik untuk mendapatkan kembali anaknya. Namun, seorang ejen FBI bernama Norman Jayden ditugaskan untuk memastikan penculik bersiri ini dibawa ke muka pengadilan.

Seorang penyiasat persendirian, Scott Shelby juga menyiasat tentang kes Origami Killer ini dengan melawat keluarga-keluarga yang menjadi mangsa penculikan Origami Killer. Anda juga selami jalan cerita Madison Paige, seorang wartawan yang mengalami sakit insomnia terjebak dalam pencarian anak Ethan.

BlazBlue: Central Fiction (PS4)

Dibangunkan oleh studio yang membawakan francais Guilty Gear, siri BlazBlue diteruskan lagi dengan Central Fiction selepas kejadian berlaku dalam BlazBlue: Chrono Phantasma.

Kesemua 28 karakter pernah muncul dalam Chrono Phantasma kembali untuk game ini dan memperkenalkan 8 karakter baru seperti Hibiki Kohaku (penolong Kagura), Naoto Kurogane (protagonis utama Bloodedge Experience), Nine the Phantom, dan Hades Izanami. Dari segi gameplay pula, game ini masih mengekalkan ciri Chrono Phantasma dan ditambah dengan ciri terbaru Exceed Accel dan Active Flow.

Sky Force Anniversary (PS4, PS3, PS Vita – keluar pada 19 April sehingga 9 Mei)

Rindukan game klasik shoot em’ up seperti Galaga atau Contra? Sky Force Anniversary semestinya akan mengembalikan nostalgia game shoot em’ up yang membolehkan pemain untuk menaiktarafkan kapal mereka bagi mengalahkan bos besar serta musuh-musuh lain!

Toy Home (PS3)

Siapa kata anda perlukan kereta berjenama mahal untuk berlumba? Anda hanya perlu kereta mainan dan berlumba dalam persekitaran rumah bersaiz kecil bersama 4 orang sama ada online atau offline.

Objektif perlumbaan untuk kedua-dua mod single-player atau mod free-run adalah pastikan anda mengumpul syiling, temui pingat tersembunyi dan lalu semua checkpoint sebelum masa tamat. Bukan itu sahaja, anda juga akan menerima markah tambahan setiap kali kereta anda buat ‘stunt’ melompat dan berputar-putar.

Bagi yang belum berkesempatan untuk melihat koleksi game PlayStation Plus pada bulan Mac yang antaranya menampilkan Bloodborne, dapatkan koleksi game bulan Mac dengan kadar segera sebelum tiba 4 April 2018.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.