Michael, Trevor dan Franklin versi Red Dead Redemption 2 pula? Betul ke bohong?

Menurut satu laporan daripada 4Chan, terdapat beberapa maklumat tentang Red Dead Redemption 2 telah leaked, yang dikatakan diperoleh daripada komunikasi dalaman Rockstar.

Laporan tersebut telah mengatakan bahawa Red Dead Online akan dilancarkan beberapa waktu selepas game tersebut dikeluarkan. Perkara ini dilakukan bagi mempersiapkan server dalam tahap terbaik serta memberi peluang kepada para pemain untuk mencuba dan memfokuskan game ini melalui story mode-nya terlebih dahulu.

Laporan tersebut turut mengatakan bahawa jalan cerita Red Dead Redemption 2 adalah prekuel, selain ia juga akan memiliki 3 watak protagonis untuk dimainkan. 3 watak tersebut dikatakan merupakan ahli kumpulan kepada geng lama John Marston yang telah ada sebelum waktu Red Dead Redemption yang asal. Walau bagaimanapun, John Marston bukanlah salah seorang daripada mereka.

Membawakan mode online sedikit lambat selepas ia dikeluarkan dan mempunyai 3 watak protagonis adalah pendekatan yang sangat mirip dengan apa yang ditampilkan dalam Grand Theft Auto V. Sekiranya laporan ini adalah benar, nampaknya Rockstar benar-benar ingin membawakan strategi yang telah membuatkan GTA V sebuah game yang cukup popular ke dalam Red Dead Redemption 2 pula.

Di tahap ini, laporan ini masih lagi kita boleh anggap sebagai khabar angin yang tidak berapa kukuh, namun daripada pengguna 4Chan ini jugalah beberapa leak tentang GTA V sebelum ini, yang akhirnya adalah laporan yang sahih. Senang kata, beliau adalah pemberi maklumat yang boleh dipercayai.

Jadi, apa pendapat anda? Adakah ini satu khabar angin liar atau ia mempunyai asasnya yang tersendiri? Kongsikan dengan kami.

Sebelum ini, terdapat analisis yang menjangkakan bahawa Red Dead Redemption 2 bakal terjual sebanyak 12 juta unit.

Red Dead Redemption 2 akan dilancarkan di PS4 dan Xbox One pada akhir tahun 2017.

Comments

comments