Sekejap ada, sekejap tiada.

Kehadiran game PES 2018 dalam World Electronic Sports Games (WESG) untuk musim 2018/2019 telah menimbulkan beberapa kekeliruan. PES 2018 sememangnya telah diumumkan sebagai antara game yang akan dipertandingkan dalam Grand Finals WESG yang bakal berlangsung pada Mac 2019 di China.

Ia telah menimbulkan sedikit kontroversi apabila bagi pusingan kelayakan peringkat Asia Tenggara, PES 2018 tidak tersenarai. Isu ini menimbulkan amarah yang cukup besar kepada komuniti PES Asia Tenggara kerana rantau ini adalah satu-satunya rantau yang tidak mengadakan pusingan kelayakan untuk PES 2018.

JomBaca: Pendaftaran Untuk WESG Pusingan Kelayakan Asia Tenggara Kini Telah Dibuka – Masa Untuk Harumkan Nama Malaysia!

Sebagai makluman, WESG menawarkan 4 slot PES 2018 kepada pusingan kelayakan Amerika, Eropah (4), Asia Pasifik (5), Afrika (1), dan 2 slot jemputan — menjadikan jumlah pemain yang akan berentap di Grand Finals nanti adalah 16 pemain.

Terbaru, ada laporan yang berbeza pula. Ada peminat yang menanyakan tentang ketiadaan PES 2018 dalam pusingan kelayakan Asia Tenggara kepada Twitter rasmi WESG. Jawab akaun tersebut, pemain PES 2018 dari Asia Tenggara akan diambil, namun, ia akan melalui pemilihan secara online. Kata kenyataan itu lagi, pusingan kelayakan Asia Tenggara hanya menyedia 5 game yang dipertandingkan secara offline (LAN), manakala kelayakan PES 2018 pula akan berlangsung secara online.

Katanya lagi, pengumuman baru akan dibuat di laman web rasmi mereka tentang kelayakan PES 2018 ini, dan semasa artikel ini ditulis, semakan yang dilakukan oleh kami, masih tiada PES 2018 ditawarkan dalam pusingan kelayakan Asia Tenggara.

Mengapa pihak penganjur umpama menganaktirikan pemain PES di Asia Tenggara? Komuniti PES rantau ini ada teorinya tersendiri.

Tahun lalu, WESG 2017 telah mengadakan satu pertandingan pertunjukan untuk PES 2018. Hanya tiga negara terbabit dalam pertandingan ini iaitu China, Jepun dan wakil dari Asia Tenggara. Dua pemain dari Indonesia, Batara Riasta dan Lucky Ma’arif telah dijemput kerana berjaya menduduki tempat kedua dalam PES League Asia 2v2 yang diadakan pada Bangkok, Thailand.

Pertandingan pertunjukan PES 2018 di WESG 2017 ini telah menyaksikan kedua-dua pemain Indonesia ini membelasah para pemain China dengan jaringan-jaringan yang besar. Malah kedua-dua pemain Garuda ini berjaya menduduki tempat kedua dan ketiga, yang mana tempat pertama dimenangi oleh pemain Jepun, Karaage.

Kredit gambar: GamePrime.

Selepas ‘membawang’ dan kupasan yang mendalam, komuniti PES Asia Tenggara telah menyimpulkan bahawa pihak penganjur WESG, yang berasal dari China, telah serik dan takut untuk menjemput semula pemain-pemain Indonesia khususnya, dan pemain dari Asia Tenggara amnya ke dalam pertandingan esports ala Olimpik itu lagi selepas kekuatan yang dipamerkan oleh Batara Riasta dan Lucky Ma’arif.

Maka, disebabkan itulah, kata komuniti PES Asia Tenggara, WESG untuk musim baru ini tidak menawarkan pusingan kelayakan untuk PES 2018 di peringkat rantau ini.

Kata kami, itu mereka baru sahaja lihat kehebatan pemain Indonesia. Belum lagi melihat ketangkasan pemain-pemain dari Vietnam dan Thailand — dua negara yang sering mendominasi pertandingan PES rantau ini. Jangan dilupa, para pemain PES dari Malaysia juga cukup disegani dan sentiasa memberikan tentangan yang cukup hebat dalam mana-mana pertandingan yang dianjurkan.

Karaage, Batara Riasta dan Lucky Ma’arif semasa penyampaian hadiah di WESG 2017.

WESG merupakan tournament esports antarabangsa yang telah dianjurkan selama beberapa tahun sebelum ini oleh Alisports, anak syarikat Alibaba Group yang dimiliki Jack Ma.

WESG edisi 2018-2019 ini yang dicanang sebagai acara Olimpik Esports terbesar akan berlangsung dari Julai 2018 – Mac 2019 nanti dan akan melibatkan 38 buah negara dari rantau China, Jepun, AS, Kanada, Russia, Asia Tenggara dan Oceania!

Pada tahun ini, jumlah prizepool WESG telah mencapai USD5.5 juta dengan prizepool peringkat ASEAN mencapai USD150,000!

7 acara game yang diadakan untuk pusingan kelayakan Asia Tenggara, setakat ini, adalah:

  • DotA 2 (Kumpulan umum/campuran)
  • CounterStrike: Global Offensive (Kumpulan umum)
  • CounterStrike: Global Offensive (Kumpulan wanita)
  • Hearthstone (Kumpulan umum)
  • Hearthstone (Kumpulan wanita)
  • StarCraft II (Kumpulan umum)
  • Vainglory (Kumpulan umum)

JomBaca: Air Asia Ajak Atlit Esports Lelaki & Wanita 38 Negara Sertai WESG, Tourney Ala Olimpik

Akhir kata, artikel kali ini bukanlah semata-mata untuk membawang atau membuat spekulasi liar tentang mengapakah WESG menganaktirikan para pemain PES Asia Tenggara.

Apa yang cuba kami sampaikan ialah pemain PES yang ada di rantau ini memiliki skil yang bertaraf antarabangsa. Malah, komuniti PES di sini secara keseluruhan sangat aktif dalam menyokong dan memeriahkan siri game ini. Agak sayang apabila bakat pemain dan kemeriahan PES di Asia Tenggara dibiarkan begitu saja tanpa keterlibatan mereka dalam acara esports yang cukup besar seperti ini.

Terima kasih NEST Gaming sebab sudi bersembang dengan kami mengenai perkara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.